Pada awal tahun ini, saya masih teringat tentang satu isu yang pernah tular di platform X mengenai seorang wanita yang sudah berkahwin dan berstatus isteri, yang mengembara secara solo ke beberapa buah negara di Eropah. Isu tersebut telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, terutama tentang hukum wanita mengembara seorang diri. Malah, wanita ini turut menerima kecaman, terutamanya daripada pihak lelaki. Hakikatnya, isu seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini. Namun, saya memilih untuk mengambil pendekatan yang lebih berhikmah dan berlapang dada.
Sebagai seorang pengembara yang telah berkecimpung dalam dunia pengembaraan ini selama hampir 10 tahun, saya juga tidak terlepas daripada menerima teguran sama ada secara langsung (direct) mahupun sinis. Sebagai orang awam, saya akan mendapatkan panduan daripada mereka yang ahli dalam bidangnya termasuk merujuk kepada fatwa.
Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut, artikel saya sebelum ini, 'Kenapa Saya Memilih Mengembara Solo?', boleh dibaca di pautan ini.
Jadi, apakah sebenarnya hukum wanita mengembara secara solo? Ada yang berpendapat ia dibenarkan, manakala ada pula yang mengatakan sebaliknya. Apakah garis panduan yang telah Islam tetapkan berkenaan isu ini? Artikel ini akan membahas isu ini secara mendalam, dengan penulisan yang mudah difahami oleh pembaca. Selain itu, artikel ini turut disokong oleh pandangan rakan kolaborasi saya, saudara Luqman yang merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Pemikiran Akidah Tokoh untuk memberikan perspektif tambahan.
Dari sudut pandangan Islam, sebarang persoalan hukum perlu merujuk kepada dua sumber utama, iaitu Al-Quran dan Hadis, yang menjadi asas tertinggi dalam menentukan hukum syarak. Dalam konteks ini, terdapat beberapa hadis yang telah berbangkit berkenaan isu ini.
"Tidak boleh seorang wanita bermusafir kecuali bersama mahramnya." (Riwayat al-Bukhari)
Hadis lain pula menyatakan,
"Janganlah seorang wanita bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada kedua-dua hadis ini, jelas terdapat larangan bagi wanita bermusafir tanpa ditemani mahram, walaupun untuk tempoh yang singkat. Penekanan perkataan 'janganlah' dalam kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa Islam mengambil berat soal menjaga kepentingan dan maruah wanita. Ini bertujuan melindungi mereka daripada sebarang bahaya atau situasi yang boleh menjejaskan keselamatan wanita.
Namun, menurut Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid, seorang tokoh akademik dan pendakwah Islam, telah menyatakan bahawa hukum wanita bermusafir tanpa mahram telah berubah mengikut perubahan zaman. Sekiranya dahulu pengangkutannya adalah unta - lebih terdedah kepada qattaa’ al-tariq (gengster jalanan) dan penyamun padang pasir, kini kapal terbang dicipta bagi memudahkan urusan manusia dan ciri-ciri keselamatan dicipta supaya perjalanan lebih selamat dan tiada lagi kebimbangan mendatangkan bahaya bagi wanita musafir bersendirian. Maka, hukumnya telah berubah. Hukum boleh berubah mengikut perubahan uruf iaitu adat tempatan.
Menurutnya lagi, syariat Islam iaitu Al Quran dan Hadis tidak boleh diubah, namun, bab hukum fekah itu adakalanya masih boleh dan terdapat ruang perubahan kerana konteks zaman dahulu dalam beberapa keadaan sudah berubah. Isu wanita musafir tanpa mahram perlu dilihat secara lebih luas. Daripada konteks ini, kita dapat lihat apabila teknologi berkembang maju, ciri-ciri keselamatan telah dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko atau bahaya. Selagi mana wanita itu pandai menjaga diri dan maruah mereka daripada bahaya dan fitnah.
Selain itu, menurut seorang pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah yang dimuatnaik di akhbar Sinar Harian pada 20 Oktober 2023, mengatakan hukumnya adalah bergantung kepada jenis permusafiran. Terdapat jenis pengembaraan yang dibolehkan dan sebaliknya. Jelasnya lagi terdapat 3 kategori utama iaitu:-
Safar wajib - haji, umrah atau menuntut ilmu.
Safar sunat - haji dan umrah sunat, urusan perniagaan.
Safar harus - perjalanan lain seperti melancong.
Kategori ini terdapat berbeza pandangan ulama'. Jumhur ulama' mengatakan TIDAK HARUS kecuali bersama suami atau mahramnya.
Namun, beliau telah mengatakan ulama' tersohor dunia yang berpengetahuan luas daripada lulusan Universiti al Azhar yang bergiat dalam bidang dakwah yang banyak menyentuh realiti dunia masa kini seperti Dr Yusuf Al Qaradhawi turut mengatakan wanita boleh bermusafir bersendirian sekiranya terjamin keselamatannya. Menurut beliau, wanita boleh mengembara secara solo untuk kategori safar sunat dan safar harus, seperti yang dipersetujui oleh sebahagian ulama fuqaha (mereka yang memahami ilmu fekah). Beliau juga menekankan pentingnya fatwa dan pandangan ulama dalam menentukan hukum, terutamanya untuk menjadi panduan kepada orang awam.
Bagi menguatkan lagi hukum berkenaan isu ini, sebagai penyelesaian akhir, fatwa telah bersepakat bahawa hukum wanita bermusafir secara solo adalah HARUS, dengan syarat tiga (3) perkara berikut untuk dipenuhi:
Keadaan perjalanan aman dari segi keselamatan diri, agama, dan maruah, baik sebelum, semasa, mahupun selepas perjalanan.
Keizinan daripada mahram atau wali yang terdekat.
Tujuan perjalanan yang tidak melibatkan tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau mudarat kepada diri.
Untuk menguatkan lagi hujah ini, saya percaya bahawa di zaman moden ini, teknologi telah menyediakan pelbagai kemudahan komunikasi yang boleh diakses hanya di hujung jari. Bagi wanita yang ingin mengembara secara solo, langkah yang lebih berhikmah adalah dengan membuat perancangan rapi yang mengambil kira pelbagai aspek keselamatan sebelum memulakan perjalanan dan maklumkan kepada ahli keluarga atau kenalan terdekat yang dipercayai mengenai keadaan setiap masa supaya mereka mengetahui keadaan diri selamat dan tidak menimbulkan kerisauan terhadap mereka.
Selain itu, terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk berkongsi lokasi secara langsung dengan keluarga, bagi memudahkan mereka memantau kedaan terkini. Ini bukan sahaja memberikan ketenangan kepada ahli keluarga, tetapi juga memenuhi konsep syariatullah (peraturan agama) dan sunnatullah (hukum alam). Strategi ini adalah langkah yang bijak sebagai persediaan bagi wanita yang ingin mengembara secara solo.
Disemak dan disunting semula oleh: Luqman Z.
Rujukan: