Tajuk: Travelog Mr. Traveller
Penulis: Meor Farid Asyradi
Tahun Terbit: 2015
Halaman: 310 m/s

Buku "Travelog Mr Traveller" merupakan sebuah karya yang mampu membawa pembaca memahami secara 'surface' tentang perjalanannya di benua Eropah dengan menaiki tren. Buku ini turut juga terdapat refleksi tentang kehidupan serta nilai-nilai Islam yang boleh diambil oleh pengembara sebagai pengajaran. Dengan berbekalkan hanya sekeping tiket Eurail Global Pass, beliau telah berjaya mengembara ke lebih 15 buah negara di benua Eropah dalam tempoh 15 hari. Kos peruntukannya untuk dua bulan di benua Eropah hanya sekitar RM 8,000.
Oleh kerana ini merupakan karya pertamanya yang diterbitkan sendiri tanpa melalui penerbit buku, saya telah menjangkakan bahawa terdapat beberapa kelemahan dari segi cara penyampaiannya yang membuatkan pembaca tidak dapat merasai perjalanannya. Namun, saya mempunyai perspektif yang berbeza terhadap buku ini. Bagi saya, buku ini sebuah kisah perjalanan yang ditulis terus dari hati penulis, saya masih mendapat beberapa poin penting yang ingin disampaikan olehnya dengan gaya yang santai.
Salah satu bahagian yang paling menarik dalam buku ini adalah kisah pengembaraannya di Eropah. Hanya dengan sekeping tiket Eurail Global Pass, beliau berjaya menempuh perjalanan sejauh hampir 10,000 kilometer, merentasi 15 buah negara dalam masa 15 hari. Tambahan lagi, Schengen Visa pula telah membolehkan kita sebagai warganegara Malaysia mengembara ke 26 buah negara European Union (EU) tanpa memerlukan cop pasport di setiap negara yang dilawati. Selain kereta api, penulis turut berkongsi pengalamannya menaiki kapal persiaran dari Sweden ke beberapa negara lain seperti Finland, Estonia, dan Latvia.
Dari Sweden ke Copenhagen, dari Jerman ke Perancis, dari Itali ke Romania, setiap perjalanan memiliki kisahnya tersendiri. Walaupun tiket Eurail Global Pass boleh digunakan untuk hampir kesemua jenis tren di lebih 24 negara Eropah, namun terdapat beberapa jenis tren perlu melakukan tempahan terlebih dahulu dengan sedikit penambahan kos. Sebagai contoh, tren malam untuk ke Turki ini, perlu ditempah untuk mendapatkan katil dengan kos tambahan sekitar 40 Euro. Selain itu, saya sedari buku ini ditulis banyak memberi fokus pengalamannya di dalam tren.
Sebagai seorang Muslim yang mengembara di negara-negara yang majoritinya bukan Islam, cabaran terbesar yang dihadapi adalah dalam aspek makanan halal serta ibadah iaitu solat. Penulis berkongsi kisah bagaimana beliau berusaha memastikan solatnya tetap terjaga meskipun berada dalam keadaan yang mencabar seperti solat di dalam kereta api yang bergoyang, menyesuaikan diri dengan ruang yang sempit, serta menggunakan kompas bagi menentukan arah kiblat.
Isu makanan halal pula menjadi satu cabaran lain kerana mata wang Euro yang sangat tinggi dan mahal. Maggi segera, roti, sardin, dan gula-gula menjadi penyelamat di saat sukar mendapatkan makanan yang sesuai. Malah, gula-gula digunakan sebagai cara psikologi untuk mengurangkan rasa lapar. Ia satu kisah yang boleh diterima pakai bagi mereka yang pernah mengembara dengan bajet.
Namun, pengembaraan bukan hanya tentang keseronokan semata-mata. Penulis juga berkongsi tentang sisi gelap di Eropah seperti penyeluk saku, sindiket dadah, serta individu tidak dikenali yang cuba mengambil kesempatan dengan cara meminta sedekah. Salah satu kisah yang mendebarkan ialah apabila pegawai polis dengan anjing pengesan memasuki gerabak kereta api untuk melakukan pemeriksaan dadah. Insiden ini memberikan peringatan kepada pengembara tentang pentingnya sentiasa menjaga barang peribadi dan tidak mudah mempercayai orang asing. Setiap kali mengembara, pastikan beg sentiasa berada bersama. Jangan sesekali meninggalkan beg kepada sesiapa sekiranya bergerak secara solo, walaupun ke tandas sekalipun.
Pengalamannya di Romania pula, biliknya berkongsi dengan berlainan jantina. Penulis tidak pernah melalui pengalaman sebegini sepanjang hidupnya yang membuatkannya rasa ganjil, tidak berasa selesa dan selamat. Penulis menceritakan lagi, sisi gelap yang diraikan orang-orang Barat ini, apabila melihat mereka yang bercumbuan di tempat awam antara lelaki dengan lelaki atau dipanggil LGBT. Sepanjang dalam tempoh mengembara, penulis sentiasa menjadikan al-Quran adalah manual tarbiahnya. Penulis sedar bahawa iman manusia ini sifatnya turun dan naik. Sudah pasti mudah hanyut jika kita tidak mampu menahan nafsu atau meletakkan Islam di luar kehidupan sebagai Muslim.
Penulis juga menceritakan pengalamannya berinteraksi dengan penganut agama lain, khususnya dalam perbualan mengenai agama, isu semasa, dan politik. Penulis menceritakan pengalaman bertemu dengan pelbagai individu bukan Islam, termasuk seorang wanita yang bertugas sebagai seorang sister (paderi) di gereja yang berkongsi strategi dalam usaha mengembangkan agama Kristian. Maka, ini dapat dilihat bagaimana agama lain juga mempunyai caranya tersendiri dalam penyebaran ajaran mereka. Maka, peranan umat Islam dalam menyampaikan dakwah sangat diperlukan. Dakwah bukan sahaja dilakukan melalui ceramah dan forum, tetapi juga melalui penulisan, filem, video, komik, dan nyanyian. Pendekatan yang pelbagai ini mencerminkan betapa luasnya peluang dalam menyebarkan Islam kepada masyarakat.
Pengalaman lain pula, penulis telah berdepan dengan cabaran dalam berkomunikasi semasa mengembara. Sukar untuk berinteraksi dengan orang tempatan yang tidak memahami pertanyaannya serta sikap sombong pelancong lain. Lebih mengecewakan, terdapat rakyat Malaysia sendiri kadangkala enggan bertegur sapa antara satu sama lain ketika berada di luar negara. Pentingnya sikap mesra dan keterbukaan ketika mengembara. Pengalaman ini turut mencerminkan betapa sifat individualistiknya mereka ini apabila berada di negara asing.
Selain itu, penulis turut berkongsi pengalamannya tidur di stesen kereta api seperti seorang gelandangan (homeless) demi menjimatkan kos dengan hanya jaket sebagai alas dan tuala sebagai selimut bagi merasai sendiri pengalaman tersebut. Hal ini secara tidak langsung, ingin memberitahu kepada pembaca tentang sisi tidak menyeronokkan yang dilalui oleh pengembara.
Di sebalik sisi gelap, terdapat juga sisi yang menyeronokkan iaitu apabila terima kebaikan orang yang tidak dikenali sewaktu penulis beada di luar negara. Kisah bagaimana Puan Teh Zaiton atau dipanggil sebagai 'Aunty', seorang individu yang hanya dikenali di Facebook telah menghulurkan bantuan kewangan kepada penulis. Begitu juga dengan insan bernama Lejla Karcic, sahabatnya di Sweden. Beliau juga merupakan seorang pelajar untuk program SMA-APIUM Summer Camp di Universiti Malaya yang bukan sahaja menyambut kedatangan penulis ke rumahnya, tetapi turut menghadiahkan sebuah buku puisi Jalaluddin Rumi berserta pemberian duit kertas 500 Swedish krona bersamaan RM 250.
Di akhir penulisan, penulis turut berkongsi tentang bagaimana bagaimana beliau mengumpul duit sehingga boleh melawat banyak negara. Penulis menyatakan bahawa pentingnya niat yang baik. Dengan berpegang pada prinsip bahawa minat yang disertai niat yang baik akan dipermudahkan oleh Allah. Aspek lain yang utama yang ditekankan adalah pengurusan kewangan yang bijak. Bezakan antara keperluan dan kehendak. Berbelanja secara berhemah dan hanya membeli apa yang perlu merupakan satu pengajaran penting yang dapat membantu pembaca mengurus kewangan dengan lebih baik yang membolehkan untuk terus mengembara. Penulis juga mengingatkan kepada kita bahawa jangan sesekali meninggalkan iman sebagai seorang Muslim sewaktu mengembara di luar negara.
Dengan lafaz Basmalah, penulis memulakan pengembaraannya. Moga ulasan buku travelog ini dapat memberi inspirasi kepada pembaca.