top of page

Ulasan Buku: Tetamu Tuhan 50 Hari

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Tajuk: Tetamu Tuhan 50 Hari

Penulis: Hilal Asyraf

Tahun Terbit: 2019

Halaman: 415 m/s


Tetamu Tuhan 50 Hari (2019) ialah sebuah novel karya Hilal Asyraf yang diterbitkan pada tahun 2019. Novel ini akan membawa pembaca menyelami perjalanan rohani yang penuh makna tentang pengalaman dalam menunaikan haji. Watak utama di dalam novel ini adalah seorang lelaki berusia 30-an iaitu Wasim yang sering terperangkap dalam dosa silam. Namun, saya juga akan mengulas dari sudut masalah psikologi yang di hadapi oleh Wasim daripada novel ini. Novel ini sebenarnya adalah sebuah gambaran manusia iaitu Wasim yang sering terperangkap dalam pemikiran negatif secara psikologinya. Wasim sering merasa rendah diri, dihantui rasa tidak cukup baik, tidak yakin pada rahmat Tuhan dan takut pada dosa silam. Beliau sebenarnya telah mengalami konflik diri dan sering mensabotaj dirinya sendiri (self-sabotage). Masalah psikologi dalam novel ini sebenarnya membawa kita untuk lebih mengenal dan memahami tentang diri sendiri dengan lebih mendalam yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat dalam cara mereka berfikir pada hari ini. Namun, pemikiran yang salah ini boleh diubah dengan cara mengubah cara pandang atau melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza.


Kisah ini bermula apabila Wasim telah mendapat surat jemputan dari pihak Tabung Haji dan namanya telah dipanggil untuk menunaikan haji selama 50 hari. Beliau tidak pernah menyimpan duitnya di dalam Tabung Haji apatah lagi berniat ingin menunaikan haji. Namun, ini adalah kerana ibunya secara senyap telah menyimpan duit ke dalam akaun simpanan beliau sejak dari kecil tanpa pengetahuannya. Beliau terpaksa melakukan haji ini bagi menunaikan hasrat ibunya walaupun beliau merasakan tidak layak untuk menjejakkan kakinya ke Tanah Suci. Malah, beliau tidak mempunyai duit untuk ke sana sedangkan beliau sendiri mengalami kewangan yang tidak stabil dalam hidupnya bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau juga tidak mengikuti sebarang kursus haji apatah lagi mempunyai inisiatif sendiri untuk mendengar sebarang kuliah secara online sebagai persiapan untuk menunaikan haji.


Tambahan lagi, sikap Wasim juga dapat dilihat sebagai seorang yang malas. Beliau sering melewat-lewatkan untuk menunaikan solat Subuh. Tidak pernah ke masjid. Beliau juga tidak gemar bergaul dengan ramai orang termasuk jiran sebelah di rumahnya. Beliau mengalami ketagihan merokok sehingga sehari dihisapnya boleh mencecah sehingga tiga kotak. Namun, disebalik kekurangan Wasim ini, beliau telah diberikan isteri yang sabar, baik hati dan solehah. Isteri yang patuh kepada agama termasuk menjaga solat dan menjauhi perkara-perkara haram. Isterinya tetap menerimanya sebagai suami dan sentiasa menyokongnya walaupun beliau sudah berjanji untuk mengubah sikap dan tabiat buruknya. Beliau dan isterinya pernah belajar di sebuah sekolah agama yang sama suatu ketika dahulu. Sikapnya berubah setelah beliau berputus asa kerana setelah berkali-kali bertaubat dan berazam untuk mengubahnya namun tetap tersungkur.


Namun, perjalanan ke Tanah Suci membawanya berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kebanyakannya berpunca daripada pemikiran negatifnya sendiri. Sedangkan sehingga kini kasih sayang Allah kepadanya tidak pernah terhenti. Allah juga tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran, ayat 182:


"(Azab) yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, dan bahawasanya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba-Nya."


Wasim sering terperangkap dalam cognitive distortion iaitu sejenis corak pemikiran negatif yang tidak rasional. Sikapnya yang sering mensabotaj diri sendiri. Beliau merasakan dirinya tidak layak untuk menunaikan haji kerana dosa-dosanya yang lalu. Beliau sering menyalahkan dirinya, merasa tidak berguna, dan berputus asa untuk berubah. Selain sabotaj diri, pemikirannya hitam putih. Beliau merasakan sebagai seorang yang gagal hanya kerana beberapa kelemahan yang kecil. Pemikirannya yang tidak rasional atau terlalu negatif ini sebenarnya telah membuatkan dirinya berasa mustahil untuk berubah.


Di dalam cognitive distortion, ini dikenali sebagai overgeneralization iaitu membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu atau dua pengalaman. Kebanyakan daripada kita pada hari ini sering mengalami perkara yang sama seperti Wasim, di mana kita sering berfikiran negatif dan membuat kesimpulan tanpa melihat aspek dengan lebih menyeluruh sehingga kepercayaan itu telah menguasai diri sendiri dan mula menyalahkan diri sendiri.


Selain itu, Wasim merasakan doa-doanya tidak pernah dimakbulkan. Beliau sering bertaubat namun sering kali tersungkur dan membuatkan Wasim terus hanyut dan tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik walaupun beliau sedar dia perlu berubah untuk dirinya dan keluarganya. Namun, Hilman memberitahu kadang-kadang apa yang kita minta, Allah tidak terus makbulkan. Allah makbulkan pada masa yang tepat. Ada pula doa yang Allah memang tidak makbulkan, tetapi Allah kurniakan kita sesuatu yang lebih baik. Ujian ini adalah untuk melatih untuk kita menjadi seorang yang sabar dan terus bersangka baik kepada Allah. Dalam psikologi, yang dialami oleh Wasini ini disebut sebagai cognitive dissonance, iaitu keadaan di mana seseorang mengalami ketegangan mental apabila pemikiran atau kepercayaan mereka bercanggah dengan tindakan atau realiti.


Wasim juga sering bergelut dengan konflik dalamannya (internal conflict). Antara keinginan untuk berubah dan ketakutan bahawa dia tidak cukup baik. Dia juga merasa bersalah kerana gagal menjadi suami dan anak yang baik, tetapi pada masa yang sama tidak tahu bagaimana untuk memperbaiki dirinya. Watak Hilman pula memainkan peranan yang penting dalam jalan penceritaan ini. Hilman merupakan jemaah haji yang sama penerbangan dengan Wasim. Hilman merupakan seorang graduan Usuluddin di sebuah universiti di Jordan. Hilman mempunyai karakter yang kuat, sering bersikap positif dan selalu melihat sesuatu dari sudut yang positif walaupun ujian berat menimpa dirinya. Hilman sentiasa menjadi pendorong kepada Wasim supaya Wasim tidak memandang ujian yang menimpa dirinya sebagai sesuatu yang buruk bagi dirinya. Di dalam novel ini, Hilman adalah pendorong (extrinsic motivation) yang membantu Wasim untuk terus berusaha dan perubahan Wasim telah berlaku sepanjang pengalamannya di Tanah Suci yang telah meningkat motivasi dalaman (intrinsic motivation).


Kita juga dapat lihat bahawa Wasim pada mulanya berada dalam external locus of control, di mana beliau sering menyalahkan keadaan. Dugaan Wasim semasa di Tanah Suci kita dapat lihat apabila beliau sangat beremosi tentang Pak Cik Rasyid sering meninggalkan tandas dalam keadaan yang kotor. Malah lantai sekitar tempat letak tong sampah juga kotor. Malah, berdengkur kuat akibat masalah pernafasannya. Selain itu, jemaah lain telah menggunakan ampaiannya tanpa izinnya. Kemudiannya, diuji apabila beliau dikenakan caj 50 riyal perkhidmatan teksi dari Rehab al-Janadariyah ke Masjidil Haram yang jaraknya begitu dekat. Ujian tidak terhenti setakat itu, Wasim terus diuji dengan tempat solatnya menjadi sempit disebabkan orang berhimpit-himpit di Masjidil Haram. Pengalaman yang dilalui oleh Wasim hakikatnya adalah berada di luar kawalannya. Tetapi selepas beliau mempelajari sesuatu daripada Hilman, beliau mula mengawal emosinya dan mengubah persepsinya kepada internal locus of control. Dalam psikologi, ini berkaitan dengan konsep locus of control iaitu sejauh mana seseorang percaya bahawa kehidupannya dikawal oleh faktor dalaman yakni daripada usaha sendiri atau faktor luaran iaitu takdir yang telah ditetapkan Tuhan dan sebagainya.


Wasim telah mengalami kesedaran sedikit demi sedikit sepanjang berada di tanah suci. Wasim merasakan tanah suci ini seperti magis kerana telah banyak mengubahnya. Namun, Hilman telah mengingatkan kepada Wasim bahawa tempat ini suci tetapi tidak menyucikan. Hilman menekankan bahawa perubahan diri bukan terjadi secara magis, tetapi hasil daripada persekitaran yang baik (biah solehah).


"Perubahan yang engkau rasakan, bukan kerana engkau berada di Tanah Suci. Tetapi kerana engkau berada di dalam suasana yang baik. Engkau fikir kembali selepas seminggu lebih berada di sini. Apa beza di sini dengan rutin engkau di Malaysia? Engkau tidak berubah kerana magis Tanah Suci. Agama kita bukan agama magis. Tetapi antara pemacu perubahan seseorang ialah biah solehah (suasana atau persekitaran yang baik)."


Apabila seseorang itu berada dalam suasana yang baik, maka dia akan terpengaruh dan cenderung untuk melakukan hal-hal kebaikan. Tanah suci hanyalah sebuah peluang yang terbuka. Sesiapa yang memanfaatkan peluang ini ke arah kebaikan, maka dapatlah kebaikan. Begitu juga sebaliknya.


Menurut teori psikologi sosial, persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku manusia. Apabila seseorang dikelilingi oleh suasana yang mendorong kepada kebaikan seperti di Tanah Suci, mereka akan lebih cenderung untuk berubah ke arah yang positif. Tetapi persoalannya, adakah perubahan itu akan kekal apabila suasana kembali kepada keadaan yang biasa atau persekitaran yang tidak mendorong kepada kebaikan? Oleh itu, Tanah suci hanyalah sebuah peluang yang diberi Tuhan. Sesiapa yang memanfaatkan peluang ini ke arah kebaikan, maka dapatlah kebaikan. Begitu juga sebaliknya.


Dari sudut konsep agama pula, ibadah haji dan umrah bukan sekadar ritual tetapi sebuah perjalanan mendidik jiwa dan menanam nilai-nilai kebaikan dalam diri. Banyak dalam kalangan kita yang terlalu taksub mengejar fadhilat tertentu seperti mencium Hajarul Aswad atau mengejar peluang untuk solat di Raudhah sehingga mengabaikan hubungan baik sesama Muslim. Perkara-perkara sunat ini tidak wajar dilakukan dengan cara berkasar hingga mengabaikan keselamatan jemaah yang lain.


Kita juga diingatkan bahawa tujuan utama ibadah ini adalah untuk membentuk diri menjadi insan yang lebih baik, bukan untuk berbangga dengan gelaran haji atau hajah atau mengejar pahala yang dikumpul di Tanah Suci sahaja. Sepatutnya adalah mendidik untuk lebih sabar, merendah diri, ikhlas, tidak mementingkan diri sendiri dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Kita sentiasa hanya fokus pada ibadah, tetapi lupa untuk menjaga akhlak dan hubungan dengan orang lain.


Ibadah Haji juga memberi peluang untuk muhasabah diri. Orang yang tidak berbuat apa-apa dalam mengisi masa yang terluang, mudah terjebak dalam perbuatan sia-sia atau maksiat. Oleh itu, teruskan membuatkan kebaikan. Isi masa dengan dengan melakukan kebaikan. Adalah penting untuk memahami bahawa ibadah ini bukan semata-mata ritual, tetapi cara untuk memperbaiki diri dan masyarakat apabila kita selesai mengerjakan haji. Haji yang mabrur adalah tentang keseimbangan antara menjaga hubungan dengan Allah dan juga menjaga hubungan sesama manusia.


Kesimpulan daripada keseluruhan novel ini, selagi seseorang itu berusaha untuk berubah dan bergerak ke arah kebaikan, itu tandanya bahawa imannya masih hidup. Jangan biarkan pengaruh dan bisikan syaitan membuatkan kita berputus asa. Setiap usaha ke arah perubahan adalah bukti bahawa rahmat Allah masih ada untuk kita sebagai hambaNya. Malah, peluang untuk menjadi lebih baik sentiasa terbuka.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page