Tajuk: Secangkir Teh Pengubat Letih
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Tahun Terbit: 2010
Halaman: 267 m/s

Siapa yang tidak kenal dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, seorang penulis yang telah berjaya menghasilkan lebih daripada 20 buah buku dan prinsipnya yang mengkritik terhadap isu pendidikan di Malaysia secara matang dan penuh hikmah. Setiap karya beliau mampu memberi kesan mendalam kepada jiwa pembaca termasuk saya sendiri. Saya sangat menghargai karya atau hasil penulisannya kerana beliau telah berjaya mendidik dan membuka hati saya untuk bersikap kritis iaitu membaca dan mengkaji, terutamanya apabila melibatkan isu agama. Selain itu, Ustaz Hasrizal sering menekankan kepentingan akhlak, bukan hanya menekankan soal fiqh atau syariat. Karya beliau benar-benar memberi perubahan cara saya berfikir (kognitif) dan saya mudah untuk menerima dan yakin tentang Islam itu adalah agama yang penuh hikmah dah menyeluruh. Selain HAMKA yang berkaitan travelog tarbiah, saya cenderung memilih karya beliau.
Secangkir Teh Pengubat Letih (2010) adalah catatan kembara penulis di bumi Turki yang penuh dengan pengajaran dan inspirasi selain sarat dengan cara budaya dan kehidupan orang Turki. Buku ini menggalakkan kita mengembara dengan menggunakan mata hati dan memahami cara kerja Allah melalui konsep Syariatullah dan Sunnatullah. Apakah sebenarnya Syariatullah dan Sunnatullah? Saya akan kupaskan mengenai konsep Syariatullah dan Sunnatullah dalam konteks mengembara untuk artikel pada masa akan datang.
Dalam buku ini, penulis telah menyentuh pelbagai aspek seperti sejarah, politik, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya di Turki. Terdapat salah faham yang selalu kita dengar, contohnya dakwaan bahawa Islam sudah tiada di Turki dan rakyatnya sudah menjadi sekular atau mengamalkan sekularisme. Penulis telah menekankan bahawa pandangan sebegini tidak adil memberi persepsi sedemikian rupa. Ternyata ada benarnya. Hakikatnya negara ini perlu dilihat dari dalam. Bak kata penulis,
“Kalau mahu kenal manusia secara individu, kita belajar psikologi. Kalau mahu kenal manusia secara berkelompok, kita baca sejarah. Apabila kita mula bertanya KENAPA, bermulalah falsafah.”
Mengapa Turki menjadi seperti yang kita lihat pada hari ini? Ini disebabkan oleh berlakunya krisis identiti yang kronik. Kerajaan dan tentera Turki bersikap menekan rakyat dengan tindakan yang tidak mengikut keinginan mereka. Sebagai pemimpin, sepatutnya kerajaan mewakili rakyat, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Pertembungan antara Islam dan sekularisme pula membuatkan ketegangan yang lebih besar sehingga membawa kepada konflik yang memberi kesan kepada rakyat. Ayat yang lebih mudah difahami, rakyat sendiri yang menjadi mangsa hasil daripada pemerintah.
Namun, kita tidak boleh bertindak mengikut emosi sehingga memukul sama rata. Kita tidak boleh melupakan sejarah kegemilangan Islam di era Othmaniyyah iaitu tokoh Sultan Muhammad Al-Fateh. Sehingga kini, masih terdapat rakyat Turki yang masih mempertahankan Islam, membuktikan bahawa Turki bukanlah negara sekular sepenuhnya kerana masih memiliki majoriti yang komited dengan Islam. Sebaliknya, ia adalah medan pertembungan antara Timur dan Barat, antara Islam dan jahiliah, serta antara Islam dan sekularisme.
Ekonomi
Turki menjadi porak peranda bukan disebabkan sekularisme, tetapi disebabkan kejatuhan nilai mata wang Lira yang sangat teruk. Pada tahun 1998, kejatuhan nilai mata wang ini berlaku selepas kerajaan menarik balik pembekuan apungan mata wang. Dalam keadaan inflasi (kenaikan harga barang), rakyat menderita kerana wang mereka 'dirompak' oleh pemimpin atasan. Malah, rasuah dan penyeludupan wang turut berlaku.
Syarikat Islamik seperti Ihlas jatuh bankrap, manakala syarikat seperti Kompasan ditekan sehingga barangan mereka tidak dapat dijual. Syarikat Ulker, pengeluar biskut terbesar, juga terjejas selepas tentera Turki melabelkan mereka sebagai “syarikat pelampau Islam.” Walaupun menerima tekanan, orang Islam yang teguh dan komited dengan Islam, mereka tetap melawan untuk membeli produk keluaran umat Islam. Ada yang memilih kereta jenama Proton buatan Malaysia kerana menganggapnya sebagai hasil usaha umat Islam.
Selain itu, bank-bank persendirian dan kroni terus disokong, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem perbankan dan mula menyimpan dalam mata wang asing seperti Dolar Amerika dan Mark Jerman. Lebih memburukkan keadaan lagi, kewangan negara tidak cukup untuk melunaskan hutang yang bersandarkan riba yang membuatkan Turki menjadi lebih parah.
Pendidikan
Pengambilalihan kuasa oleh tentera Turki pada 28 Februari 1997 turut membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara di Turki. Banyak institusi Islam seperti sekolah agama telah ditekan dan pusat hafalan Al-Quran telah ditutup. Di peringkat universiti pula, Fakulti Teologi turut terkesan dengan pengurangan kemasukan pelajar, penghapusan pengajian sesi petang, dan penamatan biasiswa kepada pelajarnya. Pelajar perempuan pula dilarang bertudung dan mereka membuat keputusan untuk memilih gagal peperiksaan demi mempertahankan prinsip mereka terhadap Islam. Manakala, Universiti Fatih di Istanbul yang berteraskan konsep Islam, tidak lagi menjadi pilihan dan bakal ditutup. Sekolah Imam dan Khatib turut ditekan. Pelajarnya dilarang bekerja di sektor kerajaan atau tidak lagi boleh memohon untuk menganggotai polis. Latihan perguruan di Fakulti Teologi juga ditutup.
Kerajaan juga mewajibkan pendidikan rendah selama 8 tahun bertujuan untuk menyekat sekolah-sekolah tahfiz. Pada tahun 1997, tindakan keras tentera Turki menyebabkan sekolah tahfiz diserang, dan mashaf Al-Quran disepak terajang di hadapan pelajar dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun. Secara tidak langsung telah menghapuskan peluang pendidikan agama di Turki.
Politik
Perkembangan politik di Turki sangat membimbangkan rakyat. Parti Refah dan Parti Fazilet telah diharamkan. Tekanan yang keras pada ceramah politik. Mereka hanya dibenarkan membincangkan isu hak asasi manusia dan demokrasi, tanpa menyentuh tentang Islam atau berkaitan parti. Necmettin Erbakan (pemimpin Parti Refah) dan Recep Tayyip Erdogan (bekas Datuk Bandar Istanbul) menjadi tahanan politik dan disekat daripada berpolitik selama lima tahun atau berkemungkinan hukuman boleh dilanjutkan lebih daripada itu.
Hakikat pada hari ini, perjuangan umat Islam di Turki tidak bersifat diktator, mereka saat ini sedang menghadapi cabaran besar seperti orang Yahudi, konspirasi Barat, Greek yang rakus, krisis bangsa Kurdi yang tersepit antara kezaliman tentera Turki sekular dan sosialis Ocalan dengan sebagainya seperti yang ditulis oleh penulis.
Sosial
Krisis ekonomi yang teruk telah menyebabkan pelbagai masalah sosial. Bagaimana seorang ayah menikam anak dan isterinya akibat tekanan wang. Kejatuhan ekonomi menyebabkan ramai orang meninggalkan bandar besar dan pulang ke kampung, tetapi mereka telah menjual hampir semua harta benda mereka ketika berpindah ke bandar yang menyebabkan mereka tiada kewangan yang cukup. Tekanan hidup dan rasa malu mereka terhadap penduduk kampung menyebabkan mereka tidak lagi berinteraksi. Mereka menjalani kehidupan penuh trauma.
Gempa Bumi Bahasa dari Tuhan
Pada 28 Februari 1997, beberapa peristiwa besar berlaku sebagai peringatan atau 'bahasa' daripada Tuhan. Salah satu peringatan tersebut adalah gempa bumi dahsyat yang berlaku di Kocaeli pada tahun 1999. Ribuan nyawa telah hilang dan banyak bangunan runtuh. Pada malam kejadian, pihak tentera Turki bersama pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat dan Israel telah mengadakan satu persidangan. Khabar angin ada yang mengatakan mereka berbincang mengenai golongan "terrorist" Islam dan strategi untuk menghadapi mereka. Mereka turut mempersendakan Islam dan mengoyakkan mushaf Al-Quran. Setelah tamat persidangan tersebut, pelbagai jenis kemaksiatan berlaku termasuklah membawa pelacur-pelacur dari Rusia. Pada Ogos 1999, gempa bumi melanda Kocaeli dan kawasan sekitarnya hingga ke Istanbul yang telah mengorbankan banyak nyawa termasuk tentera Turki, Amerika, dan juga Israel.
Layanan dan Kebaikan Orang Turki
Selepas melalui pelbagai isu ekonomi dan sosial yang telah menekan emosi saya, saya dapat melihat pula sisi keindahan budaya orang Turki. Penulis menceritakan pengalaman beliau dan rakannya yang dilayan baik oleh seorang pak cik di Canakkale. Orang Turki terkenal dengan sifat ramah mereka. Sepanjang pengembaraan saya di Turki selama dua bulan, saya juga menerima layanan yang baik daripada mereka, sama seperti orang Iran. Pak cik tersebut memberi mereka tempat menginap di hotel bertaraf tiga bintang tanpa bayaran kerana bagi beliau melayan tetamu se-Islam adalah suatu kewajipan. Inilah hakikat apabila mereka yang mengembara, kebaikan datang secara tiba-tiba dalam pelbagai bentuk yang tidak semestinya dalam bentuk wang.
Sejarah Canakkale
Canakkale merupakan sebuah bandar pelabuhan yang menyimpan sejarah pahit. Diceritakan bahawa askar-askar Muslim dari India dipaksa menyertai tentera British pada zaman dahulu. Mereka ditipu oleh askar British dengan laungan "Allahu Akbar" sebagai taktik menyerang tentera Muslim dari india. Mereka dibawa ke Canakkale untuk memerangi tentera Turki Uthmaniyyah yang merupakan saudara seagama mereka. Dari tahun 1915 hingga 1916, hampir 5000 askar Muslim India terlibat dengan 1000 daripadanya terkorban bersama ratusan ribu nyawa yang lain.
Sejarah Antakya
Di Antakya, saya mengikuti jejak penulis yang menceritakan kisah pak cik Omar Mokthar yang banyak berkongsi tentang budaya orang Turki. Antakya pernah ditakluki oleh umat Islam pada tahun 638M dan menjadi bandar pertama yang dibina gereja pertama untuk kaum Nasrani (Kristian). Antakya juga merupakan bandar ketiga terbesar dalam empayar Rom, selepas Rom (Itali) dan Iskandariah (Mesir). Nama Antakya juga dikenali sebagai Hatay kerana didapati nama Antakya mencerminkan identiti Arab.
Budaya Menghafal Al Quran
Di Turki, budaya menghafal Al-Quran adalah perkara biasa, terutamanya di bahagian timur negara itu. Kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun biasanya menghafal Al-Quran. Mereka yang bekerja sebagai petani, pengembala kambing, atau penyapu sampah adalah penghafal Al-Quran, meskipun mereka melakukan kerja yang sering dipandang rendah oleh masyarakat kita. Dalam tradisi Turki, di sesetengah kawasan, orang tua menawarkan anak mereka untuk berkahwin dengan orang yang pandai membaca Al-Quran. Pada zaman Ataturk, ramai yang takut untuk membaca Al-Quran secara terbuka. Ada yang terpaksa menanam Al-Quran di dalam tanah di lantai untuk mengelakkannya daripada dikesan. Untuk memastikan Al-Quran tidak hilang atau pupus, mereka mengambil inisiatif untuk menghafalnya. Ini mengingatkan saya kepada sejarah penurunan Al-Quran ketika Rasulullah menerima wahyu pertama dan Al-Quran disimpan dalam dada Rasulullah. Kini saya memahaminya. Pada masa itu, terdapat lebih daripada 1000 masjid di Istanbul, dan kebanyakan masjid mempunyai kelas tahfiz, di mana setiap sekolah menghasilkan sekurang-kurangnya 10 penghafal Al-Quran setiap tahun.
Bediuzzaman Al-Nursi & Risalah Al-Nur
Penulis menceritakan bahawa pak cik Omar Mokhtar adalah salah seorang murid Bediuzzaman Said Al-Nursi yang masih hidup. Risalah Al-Nur dapat diumpamakan seperti menuntut ilmu dengan ribuan ulama. Dalam Risalah Al-Nur, terdapat jawapan kepada semua persoalan yang difikirkan manusia. Seumpama kita tidak perlu membaca buku yang lain. Ini mengingatkan saya kepada Allahyarham Ahmad Ammar yang tekun mengkhatamkan Risalah Al-Nur dalam bahasa Turki dalam tempoh yang singkat.
Muhammad vs Mehmet
Di Turki, jarang sekali nama penuh "Muhammad" digunakan. Kebanyakan orang memanggilnya Mehmet. Mereka yang komited dengan Islam berpendapat meletakkan nama "Muhammad" bimbang dicemari oleh sikap yang tidak sesuai dengan akhlak Nabi Muhammad. Penulis juga melahirkan rasa jengkel terhadap golongan sekular di Turki kerana mereka berpendapat orang Turki sukar menyebut nama Muhammad dengan betul. Erti kata lain, pelat untuk menyebut nama Muhammad. Akhirnya, nama Muhammad ditukar kepada Mehmet. Ternyata ini tidak benar sama sekali.
Perkara-perkara kecil yang perlu dipelajari daripada orang Turki
Orang Turki sangat menitikberatkan bab kebersihan dan mereka sangat tertib. Kebanyakan rumah di Istanbul mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Bilik mandi biasanya berkarpet. Lantai yang sentiasa kering. Ini mengajar kepada kita supaya cermat dalam dalam mengambil wuduk dan apabila mandi pastikan supaya lantai tidak basah. Di masjid, pengunjung yang memakai stokin yang tidak sesuai mungkin diminta keluar. Apabila keluar dari masjid, mereka perlu menjunjung kasut mereka ke atas. Pada zaman Turki Uthmaniyyah, Sultan Suleyman Al-Qanuni (1520-1566) membina sebuah masjid dengan mengeluarkan wangnya sendiri dan baginda telah mewajibkan pekerjanya mengambil wuduk semasa membina masjid tersebut. Memang tiada dalam rukun jika dilihat, tetapi yang perlu dipelajari daripada perkara-perkara kecil ini untuk mendapatkan barakah. Penulis menyatakan bahawa kebersihan yang dikatakan sebahagian daripada iman dapat dirasai di negara Turki.
Wanita & Kesannya.
Orang Turki yang komited dengan Islam sangat sensitif terhadap wanita yang bermusafir. Mereka tidak suka melihat wanita bermusafir secara bebas, melancong ke sana sini. Salah satu polisi Ataturk adalah memisahkan Islam dari Turki dengan cara mempromosikan "Safar Al-Mar’ah" (wanita bermusafir). Ataturk percaya bahawa antara unsur kekuatan pegangan umat Islam ialah pada kedudukan wanitanya. Masyarakat boleh diubah dengan cara mengubah wanita. Ataturk telah membuat perubahan dengan menyusun strateginya yang tersendiri. Atas nama hak sama rata antara lelaki dan wanita. Ataturk telah menggalakkan wanita meninggalkan rumahtangga dan keluar atas maksud pekerjaan dan pelajaran serta penglibatan dalam politik. Kesannya, institusi keluarga mula retak. Kesan perubahan ini, institusi keluarga mula terjejas. Akibat wanita bekerja, penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah atau pusat jagaan kanak-kanak. Pada hari ini, banyak pembantu rumah adalah bukan Islam yang mengurus anak-anak, memberi makan, dan mendidik mereka. Ini menyebabkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak menjadi renggang. Wanita yang berkerjaya (career women) semakin ramai dan banyak yang menangguhkan atau tidak mahu berkahwin sehingga ke usia tua.
Cerita Karpet, Kopi dan Teh
Adab dan adat orang Turki boleh dilihat melalui cerita karpet, kopi, dan teh. Sebenarnya sesiapa yang tidak tahu fungsi karpet sememangnya memberi maksud. Orang Turki menggunakan karpet untuk memberi kiasan jika mereka tidak suka tetamu yang datang. Karpet yang dibentang akan diterbalikkan.
Dalam adat meminang pula, apabila rombongan datang meminang, wanita akan menghidangkan kopi. Jika perempuan tersebut bersetuju, kopi akan dicampur gula. Jika tidak, maka kopinya menjadi pahit.
Teh di Turki adalah minuman sosial dan juga dijadikan sebagai rutin. Berbeza dengan di Malaysia, orang Turki minum teh pada bila-bila masa dan tidak kira waktu. Cara penyediaan teh mereka juga tidak sama seperti kita. Mereka masak teh tersebut terlebih dahulu dengan mendidihkan air selama 15 hingga 30 minit. Sebab itu juga teh mereka jika di minum tidak rasa berangin. Orang Turki minum teh tanpa gula, namun jika mereka mahu, mereka akan menambah gula sendiri ke dalan cawan minumannya.
Kisah teh ini telah mengingatkan saya kepada kenangan saya sewaktu di Rize. Rize adalah destinasi pertama saya apabila saya sampai sahaja di Turki. Di situ lah saya memacak khemah untuk bermalam untuk beberapa hari. Saya sangat menikmati hari saya beberapa hari di sana dengan berkhemah. Suasananya sangat mendamaikan. Rize adalah wilayah utama yang terdapat ladang atau taman teh. Teh Rize dipanggil teh hitam (black tea) kerana berdekatan dengan Laut Hitam (Black Sea). Teh amat besar sumbangannya dalam masyarakat Turki sehingga ke hari ini.
Setia Menonton Berita
Orang Turki sangat gemar menonton televisyen, terutama siaran berita untuk mendapatkan maklumat terkini. Di Turki mereka mempunyai lebih daripada 30 saluran TV. Penyebaran maklumat tentang perkembangan semasa amat meluas di Turki. Kebanyakan mereka berpolitik secara matang. Perkara ini perlu kita belajar dari mereka. Memilih untuk menjadi mangsa politik atau belajar memahami tentang politik? Itu lah yang ditulis oleh penulis yang membawa kita berfikir sejenak.
Budaya Kuliah Subuh dan Maghrib
Di Turki, tidak ada budaya kuliah Subuh atau Maghrib seperti di Malaysia. Selepas solat, mereka biasanya pulang ke rumah. Malah, tidak terdapat ‘ustaz-ustaz’ atau penceramah bebas, jauh sekali ustazah selebriti. Mereka lebih suka mendengar kolumnis atau penulis tamu di akhbar. Perbualan di kedai kopi, kedai runcit atau ketika sembang petang lebih menjadi pilihan mereka dengan membincangkan topik-topik yang timbul dalam akhbar yang mereka baca pada hari itu. Begitu juga dengan program agama di kaca TV. Apa yang mereka lebih terkesan adalah artikel surat khabar dan ucapan-ucapan di televisyen, bukanlah kuliah Subuh atau kuliah Maghrib. Kebanyakan tokoh dan penulis adalah dari kalangan ilmuwan. Mereka ini lah yang meninggalkan bekas pada pemikiran masyarakat. Sebaliknya, di Malaysia, kebanyakan kuliah tidak memberi impak besar kepada pemikiran masyarakat kerana penceramah yang kurang membaca dan mengkaji.
Isu Tudung
Isu bertudung atau tidak bertudung sering dikaitkan dengan pengajian dan kerjaya. Pelajar perubatan sering menghadapi cabaran menanggalkan tudung kerana alasan kuman di bilik pembedahan atau ketidakselesaan pesakit. Bagi pelajar Geologi pula banyak melakukan lawatan lokasi, pemakaian tudung beransur-ansur ditanggalkan. Malah, ada yang beransur-ansur meninggalkan solat.
Bola Sepak
Di Turki, Islam terus menjadi polemik hingga ke padang bola sehinggakan fobia terhadap Tuhan. Hakan Sukur, bintang bola sepak Turki dan Kelab Gatasaray telah membuat komen melalui temubual yang disiarkan di dalam akhbar Zaman. Komen beliau telah mencetuskan kacau-bilau dalam kalangan pengganas golongan sekular Turki. Mustafa Akyol menggelarkan penyakit mereka itu sebagai theophobia, iaitu ketakutan yang luar biasa kepada Tuhan. Takut ini bukan kepada Tuhan, tetapi alergi apa-apa berkaitan dengan Tuhan.
Dua perkara yang membuat saya terkesan di dalam buku ini, antaranya:-
Pengalaman penulis kehilangan duit dan kad peribadi
Banyak perkara telah kita telusuri mengenai Turki. Namun kali ini, saya sangat terkesan dengan pengalaman peribadi penulis ketika berada di Turki di dalam bab 'Masin Mulut Bonda'. Penulis mengimbas kembali ketika ditimpa ujian kehilangan duit, kad pengenalan Jordan, dan kad universiti. Beliau merasakan tidak mendapat restu ibunya yang melarangnya ke Turki disebabkan perang di Turki Timur. Dari sudut fiqh, ternyata ianya tidak salah, tetapi dari sudut akhlak, ianya mungkin tidak lulus. Penulis mengingatkan kita supaya jika segala urusan berjalan lancar namun hati tetap gelisah, janganlah pergi jauh mencari punca. Mungkin ada dosa dan salah terhadap ibu bapa. “Muhasabahlah hubungan kamu dengan ibumu.”
Kisah Tragedi Sultan Abdul Hamid II yang menyayat hati
Kisah Sultan Abdul Hamid II sangat memberi kesan yang mendalam kepada saya apabila membacanya. Dunia ini kelihatan gelap apabila saya membaca kisah baginda. Baginda yang sangat komited dengan Islam telah mempertahankan agama. Akan tetapi, diuji dengan fitnah yang besar. Baginda dilabel sebagai pemerintah kuku besi dan dituduh membazirkan wang negara untuk kelas piano anaknya dan berbagai lagi tohmahan. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa dakwah baginda sampai ke Tanah Melayu melalui duta Pan-Islamis, Muhammad Kamil Bey. Namun, hayatnya tidak panjang dan berakhir dengan hukuman gantung di Burma.
Baginda pernah cuba dibunuh melalui serangan bom ke atas kereta kudanya selepas selesai solat Jumaat tetapi baginda terselamat. Pendirian tegas baginda untuk tidak membenarkan Yahudi bermastautin di Palestin menyebabkan golongan Yahudi di seluruh dunia mengamuk. Akibatnya, baginda kehilangan takhta dan Khalifah disembelih. Baginda dan keluarganya telah diangkut dalam gelap dan dibawa ke Stesen Keretapi Sirkeci dan mereka hanya dibenarkan membawa sehelai dua helai pakaian. Baginda dan keluarga dibuang di istana Yahudi yang buruk di Salonika dan dikurung tanpa perabot, pintu dan tingkap istana tidak dibenarkan dibuka.
Pada 1912, baginda dibawa kembali ke Istanbul dan keluarganya dibuang ke Perancis hingga menjadi pengemis dan pelarian. Baginda akhirnya dikurung di Istana Beylerbeyi selama enam tahun sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10 Februari 1918 kerana baginda menghidap penyakit asma yang serius. Mereka yang tiada empati, doktor yang sepatutnya merawat baginda tidak dibenarkan hadir lebih awal.
Kata-kata baginda di dalam catatannya semasa pembuangannya di Salonika;
“Aku yakin ahli sejarah akan membelaku. Jika ahli sejarah Turki tidak melakukannya, pasti ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku.”
Sungguh terusik di hati saya dengan kata-kata baginda yang boleh mengalirkan air mata pada sesiapa yang membacanya. Doa untuk baginda semoga dalam rahmat Allah selalu. Al Fatihah.
"Teruskan berbuat baik dan lemparkan ia ke hamparan lautan. Andai ikan tidak terlihatkan ia, Tuhan sentiasa mengetahui-Nya." - Hasrizal Abdul Jamil