top of page

Ulasan Buku: Namaste India oleh Siti Noridah Ab. Rahaman

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Tajuk: Namaste India

Penulis: Siti Noridah Ab. Rahaman

Tahun Terbit: 2016

Halaman: 184 m/s


Namaste India (2016) merupakan buku kedua yang saya akan ulas selepas buku pertamanya iaitu Kembara Afghanistan yang ditulis oleh Siti Noridah Ab. Rahman atau lebih dikenali sebagai Travelog ET. Buku ini merupakan catatan perjalanannya yang mengembara secara solo di India selama tiga bulan. Wilayah-wilayah yang dijejaki yang direkodkan di dalam buku ini oleh penulis termasuklah West Bengal, Uttar Pradesh, Rajasthan, Delhi, Himachal Pradesh, dan Punjab. India merupakan sebuah negara yang sentiasa menjadi senarai negara di Asia untuk dilengkapkan oleh setiap pengembara kerana terdapat cabarannya yang tersendiri. Jika tidak diuji secara fizikal, mungkin akan diuji pada mentalnya. India seringkali disebut sebagai negara yang wajib dilawati bagi mereka yang bergelar pengembara sejati. Hanya satu alasan sahaja mengapa saya ingin mengulas buku ini iaitu untuk mengimbau semula kenangan saya mengembara solo di India selama seminggu sekitar tahun 2017. Hakikatnya saya boleh katakan ianya tidak mudah kerana saya juga mengalami pengalaman buruk dan tidak menyenangkan.


Pengembaraan penulis bermula di Kolkata atau dahulunya dikenali sebagai Calcutta iaitu sebuah bandar yang sentiasa sibuk dan padat dengan penduduk. Teksi kuning yang menjadi simbol kepada bandar ini menambahkan lagi keserabutan suasana di sini. Penulis juga berkongsi pengalaman peribadi tentang perlunya ada sikap berwaspada dan sentiasa berhati-hati di bandar ini terutamanya ketika berurusan dengan orang yang tidak dikenali. Kolkata juga adalah sebuah bandar yang perlu untuk kita lebih peka terhadap sekeliling dan tidak mudah terpedaya dengan masyarakat di sini.


Salah satu aspek menarik yang penulis tekankan adalah pengalamannya yang lebih kepada suka mencuba makanan jalanan di India. Walaupun ramai yang menasihatinya untuk berhati-hati, penulis tidak takut untuk mencuba. Bagi beliau hidup ini perlunya kita belajar untuk mengambil risiko. Pengalaman mencuba makanan di India bukan sekadar tentang rasa, tetapi juga tentang menyesuaikan diri dengan bau rempah ratus dan juga bau hancing yang kuat merata di sini terutamanya di kaki lima. Ini adalah sebahagian daripada realiti India yang saya kira sukar untuk dilupakan oleh semua pengembara.


Sistem pengangkutan keretapi di India digambarkan sebagai satu pengalaman yang berbeza. Penulis berkongsi tips berguna seperti untuk cara melihat tempat duduk mengikut gerabak dan nombor yang tertera pada tiket. Sistem keretapi di India mempunyai kuota khas untuk warga asing. Namun, sekiranya pengembara solo mungkin mudah untuk mendapatkan tiket berbanding berkumpulan. Sebaiknya membuat tempahan dengan lebih awal bagi mengelakkan tempat duduk penuh. Stesen keretapi di India sering sesak dengan manusia, ada yang tidur di lantai, dan ada yang menjadikan stesen sebagai rumah mereka. Ini adalah realiti sisi gelap yang berlaku di India.


Varanasi adalah sebuah kota suci bagi penganut Hindu yang memberikan pengalaman spiritual yang mendalam kepada mereka yang sampai di sini. Sungai Ganges yang dianggap suci, mungkin tidak secantik yang dibayangkan kerana airnya yang keruh dan berwarna coklat. Jangan terkejut apabila melihat sungai ini kerana ramai penduduk tempatan mandi di sini dan ada yang membasuh baju. Namun, inilah realiti Varanasi, sebuah tempat di mana kehidupan dan kematian bersatu. Penulis juga berkongsi pengalaman tidak menyenangkan ketika seorang pekerja hostel memasuki biliknya tanpa izin untuk menggunakan tandas di dalam biliknya beberapa kali sesuka hati. Penulis membuat keputusan untuk menginap di hostel yang lain pada keesokannya. Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk sentiasa berwaspada.


Kedai lassi sangat popular di India lebih-lebih lagi warga asing sangat menggemarkannya. Lassi akan dihidangkan di dalam sebuah mangkuk kecil yang diperbuat daripada tanah liat. Manfaatnya adalah bagus untuk alam sekitar kerana tiada penggunaan plastik. Lassi juga akan diletakkan buah mangga yang segar sebagai penambah selera.


Seterusnya di Lucknow pula menawarkan dua hidangan istimewa iaitu tunday kebab dan faluda kulfi. Makanan ini bukan sekadar hidangan, tetapi sebahagian daripada budaya dan tradisi tempatan. Sementara itu, di Agra penulis menceritakan keindahan Taj Mahal iaitu monumen cinta yang dibina oleh Shah Jahan untuk isterinya, Mumtaz. Taj Mahal telah disenaraikan sebagai tujuh keajaiban di dunia dan telah disenaraikan oleh UNESCO sejak tahun 1983. Namun, perjalanan ke Taj Mahal tidak semudah yang disangkakan. Penulis mengalami kesukaran ketika menaiki bas yang sangat perlahan dan terdapat kemalangan kecil dan hampir ditipu oleh seorang lelaki tempatan dan menyuruhnya untuk menaiki motor becanya. Di samping itu, pengalaman penulis diceritakan lagi dimana seorang lelaki yang kelihatan seperti sami telah naik ke atas bas seperti berusia awal 50-an yang hanya memakai sarung putih tanpa berbaju dan mula menjerit-jerit. Lelaki ini akan menghampiri setiap orang untuk meminta wang. Lelaki sami tersebut adalah seorang perompak. Pernah terdapat kejadian seperti ini di mana orang tempatan telah dibunuh kerana enggan membayar sejumlah wang kepada sami palsu tersebut. Ini adalah antara cabaran yang sering dihadapi oleh pengembara di India. Namun, kebiasaannya mereka ini akan meminta wang pada orang tempatan sahaja. Mereka tidak akan meminta wang pada orang asing.


Di Jaipur atau "Pink City" pula diceritakan tentang keindahan seni bina dan sejarah Amber Fort dan juga Tasik Maota yang merupakan antara tarikan utama di sini. Selain itu, di Jodhpur atau "Blue City" pula sangat terkenal dengan Mehrangarh Fort yang megah berdiri dan tersergam indah terutamanya apabila waktu malam. Sementara itu, Udaipur iaitu kota romantik India yang memberikan keindahan tentang City Palace dan Tasik Pichola. Setiap kota ini mempunyai keunikannya tersendiri.


Pushkar pula adalah tempat suci bagi penganut Hindu yang terdapat kuil-kuil dan Tasik Pushkar yang dianggap suci. Mengikut kepercayaan penganut Hindu, terdapat sebuah kolam berdekatan kuil Katas Raj yang dikatakan terbentuk daripada air mata tuhan mereka iaitu Shiva kerana sedih atas kematian isterinya, Sati. Ajmer Sharif Dargah pula adalah tempat suci bagi penganut Islam yang terdapat makam guru sufi Kwaja Moinuddin Chishti. Kedua-dua tempat ini boleh memberikan pengalaman spiritual yang mencerminkan kepelbagaian agama dan kepercayaan di India.


Selain itu, New Delhi telah memberikan pengalaman yang mencabar sewaktu penulis hampir ditipu oleh seorang lelaki di stesen keretapi bahawa waktu berlepas ke Shimla mungkin akan lewat 10 jam. Namun, penulis tidak mudah terpedaya. Sementara itu, sewaktu penulis berada di Shimla pula telah memberikan pengalaman perjalanan yang unik dengan menaiki "toy train" yang tidak ubah seperti keretapi mainan yang akan melalui lereng bukit dan terowong yang bersejarah. Perjalanan ini adalah satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan oleh penulis.


Pengembaraan penulis di Kaza hampir memberi risiko kepada dirinya ketika trekking di Chandaratal Lake. Beliau terpaksa berpatah balik kerana mengalami sesak nafas atau sukar untuk bernafas dan beliau membuat keputusan untuk tidak meneruskan trekking dan berpatah balik. Ini telah menunjukkan betapa pentingnya nyawa dan keselamatan diri ketika mengembara. Sementara itu, Kasol juga telah dilawati oleh penulis yang merupakan pekan kecil yang terkenal dengan pengunjung dari Israel dan di sini mereka terlalu bebas termasuk penjualan dadah secara terbuka.


Kesimpulannya, buku ini adalah sebuah buku yang penuh dengan warna, cabaran dan juga pengalaman yang sangat bermakna mengenai pengembaraannya di India. Penulis juga telah membawa pembaca merasai setiap perjalanannya, dari jenis makanan sehingga cabaran diluar jangkaan. Buku ini bukan sekadar catatan perjalanan, tetapi juga sebuah refleksi tentang kehidupan, budaya, dan manusia. Saya pernah berfikiran sehingga kini bahawa sekiranya ingin memahami erti rasa syukur, maka belajarlah sesuatu dari negara ini.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page