Tajuk: Musafir Duniawi
Penulis: Faiz Najmi
Tahun Terbit: 2016
Halaman: 226 m/s

Ulasan kali ini adalah mengenai buku travelog bertajuk "Musafir Duniawi" yang ditulis oleh Faiz Najmi. Buku ini adalah sebuah karya lama yang diterbitkan pada tahun 2016, iaitu kira-kira lapan tahun yang lalu. Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2017, sewaktu saya dalam fasa persediaan untuk mengembara jangka panjang secara nomad selama setahun, saya menggunapakai serba sedikit info yang diberikan oleh penulis. Buku ini, menurut saya, adalah sebuah panduan yang menyediakan tips yang padat untuk pemula yang ingin mengembara. Namun, diselitkan sedikit catatan travelog perjalanan di beberapa negara yang telah dilawati oleh penulis bagi memberikan gambaran umum tentang pengembaraannya selepas berkongsi tips dan garis panduan.
Setelah membaca buku ini buat kali kedua pada tahun ini, walaupun saya sudah berkecimpung dalam dunia pengembaraan, saya mendapati tips dan maklumat yang diberikan begitu padat dan komprehensif. Gaya penulisan yang digunakan juga agak santai. Banyak tips yang dikongsikan oleh penulis memang digunapakai oleh pengembara lain termasuk saya sendiri.
Buku ini pernah mendapat kritikan selepas diterbitkan, namun pandangan saya berubah setelah membaca bukunya semula. Saya melihatnya dari sudut pandang yang berbeza. Penulis sebenarnya ingin membawa pembaca untuk memahami apakah itu mengembara. Selepas pembaca memahami secara teknikal, penulis membawa pembaca kepada pengalaman peribadinya. Penulis memberikan tips dan panduan yang baik, dan saya merekomendasikannya kepada sesiapa yang ingin mendapatkan ilmu mengembara secara teknikal.
Sedikit biodata ringkas mengenai penulis yang saya kagumi adalah penulis merupakan bekas doktor perubatan yang telah mengembara ke 60 buah negara di 5 benua ketika umurnya 30 tahun. Penulis sudah mula mengembara sejak umur 18 tahun. Apa yang saya kagumi bukanlah status penulis sebagai doktor perubatan, tetapi keberanian penulis untuk memilih jalan hidup yang berbeza dengan menjadi ejen insuran, meninggalkan kerjayanya yang lebih menyumbang kepada masyarakat. Hakikatnya saya adalah seorang yang tidak memandang status dan pekerjaan seseorang. Perkara yang saya lebih fokuskan adalah sumbangan dan kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain.
Saya turut kagum apabila seorang doktor yang belajar di Rusia dan mendapat tajaan MARA telah memilih untuk berhenti berkhidmat sebagai doktor perubatan dan memilih jalan hidup yang lain yang mungkin menerima tentangan oleh ahli keluarga terdekat. Bukan mudah untuk membuat pilihan dan sanggup mengorbankan kerjaya yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Saya pernah membuat keputusan besar untuk berhenti kerja di sebuah syarikat GLC semata untuk mengembara jangka panjang, saya tidak menyesal dengan keputusan yang saya lakukan. Saya percaya dengan rezeki dan takdir yang baik tetap ada selagi mana terus berusaha, berdoa, dan melakukan kebaikan terhadap orang lain. Kehidupan yang saya jalani hari ini adalah hasil pilihan yang saya putuskan untuk lakukan dahulu. Walaupun saya memilih untuk 'downgrade' status dan pekerjaan, saya merasakan hidup yang saya jalani ini masih rasa cukup dan masih menikmati kehidupan seperti orang lain.
Di awal bab ini, penulis memberikan pengenalan kepada matlamat mengembara dan mengapa tujuan matlamat perlu jelas, seperti matlamat dalam kehidupan lain. Penulis menyatakan ramai yang mengembara sekali dan merasakan ia tidak menyeronokkan seperti yang dijangkakan. Sehinggalah mereka tidak mahu mengembara lagi. Menurut saya, adakalanya hal ini boleh berlaku kerana persiapan yang masih belum rapi dan belum mendapat ilmu pengembaraan dengan aspek yang lebih menyeluruh dan juga mengetahui realiti sebenar dunia pengembaraan.
Dalam bab lain, penulis memberikan beberapa alasan kenapa harus mengembara. Dua poin penting adalah mengembara tidak sepatutnya menjadi beban sehingga perlu berbelanja besar atau berhutang keliling pinggang, dan mengembara dapat mengelakkan pembaziran. Saya menyokong kenyataan ini kerana pengembaraan mengajar kita keutamaan yang perlu diutamakan. Saya juga berpendapat ramai di antara kita banyak memfokuskan berbelanja besar pada material (kebendaan) yang tidak membawa kepada pengalaman yang bermakna. Kebendaan yang bersifat sementara atau 'perasaan' kebendaan yang bersifat tidak kekal atau bersifat tidak lama.
Penulis juga berkongsikan mengenai pengurusan kewangan untuk pengembara dan menekankan pentingnya berjimat secara masuk akal. Sebagai contoh, jangan disebabkan ingin berjimat RM30, sanggup bazirkan 8 jam dalam perjalanan. Malah, saya rasa tertarik dengan kenyataan penulis di mana rakannya pernah memberitahunya, jika tidak pandai mengurus wang walaupun bergaji RM4,000 sebulan belum tentu mampu pergi ke Singapura. Tetapi sekiranya bijak menguruskan wang, gaji RM 2,000 sebulan pun boleh sampai ke Amerika Selatan. Penulis juga berkongsikan bagaimana untuk mendapatkan pendapatan untuk mereka yang ingin mengembara selain berjimat.
Penulis juga menggalakkan pembaca untuk keluar dari zon keselesaan dan menyahut seruan Ilahi melihat bagaimana bumi ini diciptakan. Konsep 'keluar dari zon keselesaan' ini penting dalam konteks mengembara untuk mempelajari dan meneroka ilmu baru. Apabila menyentuh mengenai 'keluar dari zon keselesaan' ini, namun, ada yang telah salah faham tentang ini. Saya faham bahawa sebagai manusia kita semua ingin memiliki hidup yang selesa supaya dapat menikmati bahagia bersama ahli keluarga sebagaimana konsep yang kita pelajari di dalam Hierarki Maslow. Galakan mengembara juga ada disebutkan dalam Al-Quran.
Di dalam buku ini, penulis berkongsi bagaimana perjalanan direkodkan sepanjang bermusafir, memberi tips keselamatan, cara mengelakkan penipuan, dan tips untuk mengembara secara solo. Penulis juga turut berkongsi cara membuat itinerari perjalanan yang mudah difahami dan ringkas serta barang-barang yang perlu dibawa sebagai persiapan mengembara.
Di bab terakhir, pembaca dapat melihat catatan travelog penulis di Tunisia, Afrika, Ladakh, Kashmir, India, Rusia, dan Amerika Utara.
Secara keseluruhannya, buku ini sesuai oleh mereka yang ingin mula mengembara kerana buku ini cenderung berkongsikan tips atau panduan untuk mengembara selain sedikit catatan perjalanan travelog penulis.
Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang status penulis sekarang ini, adakah beliau masih mengembara atau tidak? Ya, penulis masih aktif mengembara. Beliau telah mengembara lebih daripada 100 negara dan masih berkongsi pengalaman pengembaraannya di media sosial.