top of page

Ulasan Buku: Kembara Afghanistan

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Tajuk: Kembara Afghanistan

Penulis: Siti Noridah Ab. Rahaman

Tahun Terbit: 2015

Halaman: 181 m/s


"Kembara Afghanistan" karya oleh Siti Noridah atau lebih dikenali sebagai ET merupakan sebuah catatan perjalanan yang membuka perspektif baharu terhadap negara Afghanistan. Negara ini sering kali dikaitkan dengan puak Taliban, ekstremis, senjata, serangan berani mati, dan kaum wanitanya pula memakai burqa serta kebiasaan para isteri hanya duduk di rumah atau menjadi suri rumah. Secara tidak langsung, ini telah menimbulkan stigma dalam masyarakat terhadap negara tersebut. Sedangkan, di negara ini terdapat sisi yang baik yang boleh dilihat dengan banyak lagi. Saya membaca tajuk bukunya sahaja sudah membuatkan saya terdetik di dalam hati betapa beraninya seorang wanita mengembara secara solo ke negara berisiko tinggi. Apabila difikirkan semula, sangat mustahil untuk saya menjejakkan kaki ke negara tersebut.


Dengan membaca catatan perjalanan penulis secara solo di negara ini, kita dapat melihat pengalaman sebenar yang dilaluinya. Sejauh mana kebenaran stigma tersebut? Setelah membaca buku ini, pembaca juga dapat memahami atau mempelajari pengalaman kebiasaan yang sering dilalui oleh pengembara yang tidak diketahui oleh orang awam. Beberapa mesej penting perlu diambil perhatian sekiranya ingin mengembara secara solo di negara yang berisiko tinggi seperti Afghanistan ini. Selain menceritakan route perjalanannya, saya akan menyentuh refleksi daripada perjalanan penulis. Tidak lengkap sekiranya sesebuah travelog itu tidak berkongsi refleksi melalui perjalanannya.


Sebelum saya menceritakan pengalaman mencabar penulis, saya ingin menyentuh sedikit latar belakang beliau. Saya masih ingat lagi sekitar 2015 sehingga 2016, penulis agak dikenali dalam kalangan pengembara pada ketika itu. Beliau banyak bergerak sendiri (freelance) dengan mempromosikan bukunya. Buku ini dan termasuk karya-karyanya yang lain banyak dicetak sendiri (self-publish) tanpa melalui penerbit buku. Saya lihat penulis banyak memilih jalannya sendiri secara bebas atau lebih independent tanpa perlu menghadapi tekanan daripada faktor luar supaya dapat menikmati kehidupannya dan meneruskan pengembaraannya ke negara-negara yang lain. Keghairahannya terhadap mengembara saya dapat lihat sehingga kini melalui media sosialnya. Sebelum penulis memilih jalan hidup untuk fokus dalam dunia pengembaraan, kerjayanya sebelum ini adalah di dalam industri minyak dan gas. Maka, timbul persoalan di fikiran saya, apakah yang menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang diidamkan oleh ramai orang?


Sewaktu penulis mengembara di Afghanistan, beliau telah mengembara ke beberapa buah negara lain dan secara keseluruhannya telah merentas 6 buah negara selama 6 bulan. Penulis memulakan perjalanannya pada Ogos 2014 sehingga akhir Januari 2015 yang bermula di India, Pakistan, Afghanistan, UAE, Iran dan berakhir di Turki. Dalam buku ini, penulis hanya memfokuskan pengalamannya sepanjang berada di Afghanistan.


Selain itu, apa yang saya banggakan tentang penulis, sebelum memulakan sesuatu perjalanan ke Afghanistan secara solo, beliau akan membuat pembacaan terlebih dahulu, mencari maklumat di carian Google, bertanyakan kepada orang yang berpengalaman, menghubungi Kedutaan Malaysia dan negara-negara lain untuk mendapatkan atau mengesahkan sesuatu maklumat. Tidak hairanlah penulis dapat menangani cabaran dan risiko yang dihadapinya. Persiapan yang rapi perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan.


Dalam buku ini, selain penulis menceritakan keindahan semulajadi serta budaya orang tempatan di Afghanistan, beliau turut menceritakan rintangan yang berlaku sehingga terpaksa mengubah laluan walaupun beliau teringin untuk ke tempat yang diimpikannya. Oleh itu, saya akan menekankan pengalaman yang mencabar yang dihadapi oleh sepanjang berada di sana untuk ulasan kali ini.


Situasi ini dapat dilihat apabila penulis ingin ke Khyber Pass, tetapi selepas beliau memberitahu hasratnya untuk menyeberangi Khyber Pass kepada Kausar, rakan kepada Raji, mereka berdua sebenarnya tidak bersetuju kerana terdapat dua orang pengembara dari Jerman telah diculik di Khyber Pass pada tiga bulan yang lalu. Oleh yang demikian, penulis telah mengambil keputusan yang lebih selamat dengan menaiki kapal terbang ke Kabul (Afghanistan) dari Islamabad (Pakistan).


Kabul


Selain itu, dalam bukunya, penulis menceritakan bagaimana beliau dituduh sebagai perisik dari Pakistan. Kisah terperinci sewaktu di Kabul, apabila penulis sedang berjalan di sekitar Chicken Street sambil mengambil gambar, tiba-tiba terdapat beberapa orang askar Afghanistan datang kepadanya lalu merampas kameranya. Penulis telah dituduh sebagai pengintip dari Pakistan setelah mereka melihat pasportnya yang mempunyai cop negara Pakistan yang menunjukkan beliau baru sahaja keluar dari Pakistan dan menginap selama 50 hari di sana.


Situasi lain yang diceritakan oleh penulis ialah bagaimana beliau dipaksa masuk ke dalam sebuah bilik yang gelap dan kecil berukuran lebih kurang 4 kaki x 4 kaki, hanya terdapat sebuah kerusi kecil yang rendah. Langsir hitam diturunkan sehingga bilik itu menjadi gelap sepenuhnya. Lebih mendebarkan dan memberi tekanan, beliau kemudian dibawa ke ibu pejabat askar Afghanistan dan disoal siasat seperti seorang pesalah. Barang-barangnya diperiksa satu persatu. Beliau ditanya mengenai baki dalam kad ATMnya, dan soalan-soalan peribadi turut ditanya. Malah, beliau disuruh mengucap kalimah syahadah dan membaca surah pendek, walaupun jelas beliau seorang Muslim dan bertudung.


Tidak cukup dengan itu, selepas disoal siasat di pejabat askar, penulis dibawa pula ke pejabat Kementerian Pertahanan untuk diperiksa dengan lebih teliti. Beliau dibawa ke sana menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan kawalan askar bersenjata. Penulis terpaksa membuka tudungnya untuk pemeriksaan badan dan disoal siasat dengan pelbagai soalan. Tekanan demi tekanan dihadapi oleh penulis.


Kemudiannya, penulis telah dibawa ke pejabat National Directorate of Security (NDS), iaitu sebuah agensi perisik dalaman kerajaan Afghanistan. Penulis menyatakan sekiranya beliau didapati bersalah, beliau akan dimasukkan ke dalam penjara selama 3 bulan. Selepas melalui beberapa tekanan, akhirnya penulis didapati tidak bersalah. Beliau menceritakan bagaimana mereka menjadi peramah selepas itu. Pelik, tetapi itulah hakikatnya yang berlaku.


Separuh daripada pembacaan saya di dalam penulisannya, saya tidak dapat membayangkan sekiranya saya menghadapi situasi sebegini. Penulis juga turut menceritakan bahawa di negara tersebut terdapat banyak kes penculikan terhadap warga asing. Malah, terdapat kes serangan bom. Namun, itu adalah perkara yang dianggap normal di sana. Peminta sedekah wanita di Kabul lebih agresif berbanding lelaki. Di Kabul, sangat sukar untuk memahami keadaan di sana. Ia sukar diramal. Ia terlampau misteri dan terlalu dalam untuk difahami, seperti yang diceritakan oleh penulis.


Apa yang menarik tentang Afghanistan pula, penulis melihat orang tempatan sangat suka membaca. Beliau sering melihat anak-anak muda membaca di tepi-tepi jalan. Malah, banyak buku-buku terpakai dijual.


Bamiyan


Cabaran lain yang dilalui oleh penulis diteruskan lagi dengan perjalanannya dari Kabul ke Bamiyan. Perjalanannya ke Bamiyan yang berisiko tinggi untuk menjadi mangsa letupan berani mati dan kebarangkalian diserang oleh puak Taliban apabila melalui kawasan pergunungan yang mengambil masa selama 7 jam.


Penduduk di Bamiyan majoritinya adalah berketurunan Hazara yang mempunyai sedikit campuran Turki dan Iran. Dari sudut fizikal, mereka bermata sepet, hidung yang tidak tinggi, dan kulit mereka merah kekuningan seperti rakyat Mongolia. Dikatakan juga Hazara ini asal-usulnya datang daripada belah Mongolia. Pegangan mereka majoritinya adalah Syiah dan pernah dihapuskan oleh puak Taliban kerana dianggap sesat.


Pengalaman penulis di Bamiyan menunjukkan bahawa beliau tidak mengalami cabaran yang begitu besar berbanding di Kabul. Maka benarlah, pengembaraan terdapat cabaran naik dan turunnya. Apabila sudah melepasi cabaran, suatu kepuasan dirasai oleh seorang pengembara.


Herat


Herat adalah destinasi terakhir penulis di Afghanistan sebelum masuk ke Iran. Di Herat, penulis telah menceritakan pengalamannya diekori oleh seorang lelaki tempatan. Ke mana sahaja beliau pergi, lelaki tersebut sentiasa mengekori beliau sambil menunjuk-nunjuk arah untuk pergi ke tempat tertentu. Namun, penulis menggunakan kepandaiannya dengan pergi ke arah berlainan. Tidak lama kemudian, lelaki tersebut didatangi polis yang menjaga kawasan sekitar menjerit ke arahnya. Lelaki itu akhirnya ditangkap dan disepak serta diterajang oleh polis sebelum berjaya melarikan diri.


Islam Qala (sempadan Afghanistan dan Iran)


Jarak antara Herat dan Islam Qala adalah kira-kira 140 km. Untuk merentas masuk ke Iran, penulis memilih untuk masuk melalui Islam Qala. Beliau menaiki kereta bersama penumpang lain. Dalam kereta semasa menuju ke sana, penulis duduk bersama seorang doktor yang bekerja di Tehran.


Cabaran datang semula kepada penulis. Selepas melalui cabaran dituduh sebagai perisik dari Pakistan, kali ini beliau diuji apabila tidak dapat masuk ke Iran kerana pegawai yang menjaga sempadan di Iran mendakwa beliau memerlukan visa untuk masuk ke Iran. Sedangkan, warganegara Malaysia tidak memerlukan visa selama 15 hari. Penulis berkali-kali menegaskan perkara ini, tetapi pegawai tersebut tidak mengendahkannya.


Penulis terfikir untuk menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Tehran dan ingin meminjam telefon pegawai tersebut tetapi tidak dibenarkan. Sikap pegawai yang keras hati dan tiada empati membuatkan penulis merasa sangat tertekan. Namun, seorang remaja perempuan datang membantu dengan memberikan telefon untuk menghubungi kedutaan, tetapi panggilan tidak berjawab. Dengan hati yang berat, penulis terpaksa berpatah balik ke Herat untuk memohon visa masuk ke Iran.


Saya lihat pengalaman penulis untuk memasuki ke Iran terlalu banyak masalah yang terpaksa dihadapi. Saya dapat lihat bagaimana beliau terpaksa ke Herat semula. Beliau menceritakan beliau cuba membeli tiket kapal terbang ke Mashhad dari Islam Qala, tetapi tiket telah habis. Beliau juga cuba ke Kedutaan Turkmenistan untuk memohon visa masuk ke Iran melalui Turkmenistan, tetapi pejabatnya sudah tutup. Akhirnya, beliau memutuskan untuk terbang dari Kabul ke Tehran. Namun, penerbangan ke Tehran dibatalkan. Beliau akhirnya memilih untuk terbang ke Tehran melalui Dubai dari Herat.


Di akhir catatan, penulis menyatakan perasaan sedihnya dan menitiskan air mata kerana tidak dapat merentas Iran melalui Islam Qala dari Afghanistan dan Khyber Pass dari Pakistan ke Afghanistan. Sebagai pengembara, saya turut merasai pengalaman kesusahan sehingga menitiskan air mata. Menangis adalah satu cara untuk meluahkan perasaan saya apabila berada di luar negara.


Refleksi dari buku ini, hanya dua mesej penting daripada penulis. Dua petikan ini sudah cukup memberi mesej yang penting tetapi bermakna bagi diri pengembara.


"Mengembara di Afghanistan juga membuat saya rasa lebih dekat dengan-Nya kerana saya belajar maksud "Hanya Allah yang berkuasa, makhluk tiada kuasa". Ini adalah ungkapan yang seringkali disebut oleh ayahanda saya untuk mengingatkan betapa kerdil kita sebagai hamba-Nya dan berapa kuasa Allah itu maha besar. Dia boleh membantu kita dalam pelbagai cara. Contohnya, menghantar orang yang tidak disangka-sangka untuk membantu kita ketika dalam kesusahan. Sudah beberapa kali saya berjumpa dengan orang yang sebegini. Mungkin juga kerana ayat ini, saya mendapat kekuatan untuk menghadapi sesiapa sahaja termasuklah pegawai-pegawai askar di Afghanistan sewaktu ditangkap dahulu. Pada saya, mereka hanyalah manusia biasa seperti saya, tidak berkuasa apa-apa tanpa izin daripada-Nya."


"Walau seteruk mana keadaan atau pun sebuah perjalanan itu, hidup masih perlu diteruskan Perjalanan itu sendiri saya anggap seperti sebuah kehidupan. Jangan berhenti selagi tidak bercerai nyawa dari badan."


Mesej penting ini mungkin terlalu tipikal dan sentiasa kita dengari, tetapi sebagai seorang pengembara yang telah melalui cabaran dalam perjalannnya, kata-kata ini begitu mendalam dan sangat terkesan dalam jiwa kami.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page