top of page

Ulasan Buku: Cerita Cinta Ahmad Ammar

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Tajuk: Cerita Cinta Ahmad Ammar

Disusun Oleh: Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD)

Tahun Terbit: 2014



Buku "Cerita Cinta Ahmad Ammar" yang disusun semula oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) adalah sebuah himpunan catatan daripada 16 individu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat Allahyarham Ahmad Ammar. Buku ini mengumpulkan refleksi dan pengajaran hidup yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Walaupun bukan sebuah buku travelog, himpunan catatan ini telah membawa saya menyusuri perjalanan seorang insan yang bertuah kerana akhlaknya serta semangatnya menimba ilmu dan pengalaman di bumi Turki. Sikap ini mencerminkan Allahyarham seorang pengembara sejati.


Antara kelebihan buku ini adalah saya dapat melihat perspektif berbeza mengenai Allahyarham Ahmad Ammar. Catatan daripada ahli keluarga dan kenalan rapatnya membuka ruang untuk saya mengenali sisi peribadi Allahyarham yang saya tidak diketahui. Saya mula mengenali kisah Allahyarham melalui media sosial ketika fenomena "Ahmad Ammar" menjadi viral, mengundang rasa sebak dalam kalangan masyarakat termasuk diri saya, walaupun saya tidak pernah mengenalinya secara peribadi.


Allahyarham kembali ke rahmatullah pada usia 20 tahun, pada 2 November 2013, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Turki. Namun, atas permintaan kedua ibu bapanya, Tuan Ahmad Azzam dan Puan Nur Azlina, jenazah Allahyarham tidak dibawa pulang ke Malaysia. Sebaliknya, beliau dikebumikan di kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari, seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dalam kalangan Ansar dan merupakan generasi awal yang memeluk Islam.


Sebaik sahaja buku berkenaan Allahyarham diterbitkan, buku ini antara buku yang saya nanti-nantikan untuk saya memahami perjalanan hidup beliau. Saya masih ingat lagi selepas kematian Allahyarham, sebuah lagu 'tribute' bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham yang bertajuk Bintang Syurga sering dimainkan di media sosial, kaca televisyen dan radio. Secara tidak langsung telah memberi kesan dalam diri saya sehingga ke hari ini. Sebuah kematian yang dicemburui oleh semua orang dan pengakhiran hidupnya telah menemui husnul khatimah (kematian yang baik) kerana meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan untuk menyampaikan ilmu.


Bagi mereka yang tidak tahu apakah jasa dan sumbangan Allahyarham? Saya juga pernah terbaca sebuah komen netizen dimana beliau hanyalah seorang pemuda yang menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain. Saya lihat bahawa buku ini dikeluarkan bukanlah untuk mendapat sanjungan apatah lagi diangkat orang ramai tetapi iktibar daripada perjalanan hidup beliau. Mungkin ada di antara kita yang sedang mencari tujuan hidup tetapi setelah membaca buku ini mendapat 'petunjuk' bagi mencari tujuan hidup dengan lebih jelas walaupun tidak mengenali Allahyarham. Bagi saya, cukup sekadar buku ini untuk memberi inspirasi kepada pembaca.


Apa yang menarik dalam buku ini walaupun sekadar himpunan catatan oleh orang terdekat terhadap Allahyarham tetapi mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca adalah kasih sayang seorang ibu bapa terhadap Allahyarham sehingga saya dapat lihat taatnya Allahyarham kepada kedua ibubapanya. Orang yang ringkas, tidak banyak bercakap dan semangat dalam menuntut ilmu di negara asing. Malah, jarang-jarang dipilih orang untuk mengkhatamkan Risalah an-Nur yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi iaitu seorang tokoh penyelamat akidah bangsa Turki. Bagi saya, ia suatu perkara yang luar biasa untuk mengkhatamkan 130 risalah lebih-lebih lagi di dalam bahasa Turki.


Di samping itu, Allahyarham memiliki jiwa yang besar untuk mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya untuk meneruskan kerja-kerja aktiviti kemanusiaan. Kedua ibu bapa Allahyarham merupakan aktivis kemanusiaan. Saya juga dapat lihat bahawa Allahyarham dalam hidupnya memilih jalan yang berbeza dalam garis masa hidupnya. Sejak dari kecil beliau telah mendapat didikan agama sehingga beliau mendapat pendidikan di sekolah agama, kemudiannya memilih untuk masuk ke Maktab Tentera Diraja (MTD). Selepas itu, beliau telah memilih untuk mengambil bidang pengajian yang berbeza. Saya sangkakan Allahyarham memilih untuk meneruskan pengajiannya di UPNM atau lebih cenderung kepada bidang ketenteraan yang lebih banyak memberi jasa dan sumbangan kepada negara. Sangkaan saya meleset. Allahyarham telah memilih untuk meneruskan bidang sejarah Uthmaniyyah. Memiliki semangat yang kuat, Allahyarham telah membuat persediaan mempelajari bahasa Turki sebelum berangkat ke Turki.


Kata kunci yang saya pelajari daripada buku ini adalah konsep "ummatik". Ia membawa mesej bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat menyumbang kepada ummah adalah suatu ibadah. Bagi saya, ianya tidak terhad kepada kerja-kerja dakwah sahaja. Pengajaran ini membuatkan saya merenung semula hidup saya. Pertanyaan seperti, "Apakah sumbangan aku kepada masyarakat?" dan "Bagaimana aku boleh memberi manfaat kepada ummah?" menjadi dorongan untuk saya sentiasa melakukan refleksi diri.


Kehebatan seorang ayah, Tuan Ahmad Azzam yang mahu meneruskan wawasan ummatik sehingga kini sejak pemergian Allahyarham. Ucapan daripada Tuan Ahmad Azzam di mana yang memberi kesan terhadap pembaca iaitu ia suatu kematian yang menghidupkan. Suatu kematian yang bukan untuk ditangisi, tetapi untuk diteladani. Ketabahan seorang ayah di mana setelah mendapat berita anaknya telah pergi buat selamanya dan memberitahu kepada isterinya, Puan Azlina dengan penuh sabar dan tenang.


Buku "Cerita Cinta Ahmad Ammar" bukan sahaja sebuah himpunan catatan, tetapi juga sebuah karya untuk memahami tujuan hidup. Kisah ini telah menginspirasi saya untuk mengembara ke bumi Turki, terutamanya Istanbul. Saya telah berjaya merealisasikan impian tersebut dan saya telah menghabiskan masa mengembara saya di Turki selama dua bulan. Walaupun tidak berkesempatan menziarahi pusara Allahyarham, namun Allahyarham tetap saya ingati sewaktu saya di Turki.


Untuk Allahyarham Ahmad Ammar,

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu,

dan semoga engkau berada dalam kalangan ahli syurga.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page