Tajuk: Berbasikal Menuju Tuhan
Penulis: Abdullah Hadi
Tahun Terbit: 2019
Halaman: 224 m/s

Jelajah Berbasikal Semenanjung Malaysia: Sebuah Ulasan tentang "Berbasikal Menuju Tuhan" oleh Abdullah Hadi.
"Berbasikal Menuju Tuhan" adalah buku travelog karya Abdullah Hadi yang mengisahkan tentang pengalaman penulis dalam berbasikal selama 24 hari di Semenanjung Malaysia. Buku ini memberikan perspektif penulis sendiri sebagai pengembara dan hikmah yang penulis dapati dalam tempoh mengembara tersebut dan secara tidak langsung pembaca dapat melakukan refleksi tentang apa yang ditulis oleh penulis untuk dijadikan sebagai pengajaran. Buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 2019. Buku ini juga telah menjadi salah satu pilihan kami di Pengembara Nomad untuk orang awam yang ingin mengetahui pengalaman pahit dan manis dalam berbasikal dan ianya sangat sesuai untuk pemula yang ingin menjelajah dengan menggunakan basikal baik di di dalam negara atau luar negara.
Dalam buku ini, di bahagian pengenalan, penulis telah menceritakan bahawa penulis telah membuat keputusan untuk mengembara berbasikal di Semenanjung Malaysia buat pertama kalinya dengan menggunakan touring bike (second-hand) yang dijual dengan harga di bawah RM 500. Setiap bab telah membawa saya melalui perjalanan hari demi hari selama 24 hari dengan dan saya melakukan refleksi tentang makna kehidupan disebalik pengembaraan penulis. Saya diajak untuk mengikuti perjalanan penulis, mulai dari hari pertama penulis memulakan perjalanannya dari rumahnya di Terengganu hingga menghadapi pengalaman yang tak diduga di mana seorang penjaga masjid telah memintanya keluar dari masjid dan telah tercetusnya konflik. Pengalamannya telah membuatkan saya terfikir tentang peranan masjid dalam menyantuni musafir lebih-lebih lagi musafir yang ingin mendapat tempat untuk berlindung atau bermalam. Tidak hanya fokuskan bimbang kerana kecurian di dalam masjid tetapi fokuskan peranan masjid dengan lebih meluas. Setiap pengalaman yang diceritakan oleh penulis telah menyelitkan serba sedikit elemen tasawuf yang ada dalam diri penulis. Bagi saya seseorang pengembara itu perlu ada tasawuf selain syariat. Syariat sahaja tidak cukup. Perlu seimbang dan menyeluruh.
Penulis telah menggambarkan tempat-tempat yang penulis kunjungi dan kebanyakannya pengalaman penulis berinteraksi dengan orang tempatan. Pengalaman penulis ini secara tidak langsung dapat membuatkan saya merasa seolah-olah saya sendiri sedang berbasikal dan berinteraksi dengan orang tempatan sepanjang dalam perjalanan penulis itu. Salah satu pengalaman yang paling menarik adalah ketika penulis menyesuaikan diri apabila penulis telah berpisah dengan Sam (travel buddy) dan penulis perlu mengayuh basikal secara solo dan penulis telah menerima banyak kebaikan dan layanan yang baik daripada orang tempatan walaupun berseorangan. Saya bersetuju tentang itu kerana dalam sepanjang saya mengembara saya telah menerima banyak kebaikan daripada orang tempatan itu sendiri.
Interaksi penulis dengan orang tempatan yang penulis telah ketemui penuh warna dan memiliki ragam yang berbeza. Dari seorang lelaki yang berpakaian lusuh membawa beg plastik hitam yang tampak seperti kurang siuman menjual mangga kampung yang disangkakan mangga yang dicuri awalnya dan telah meminta ihsan sedikit daripada penulis walaupun 50 sen kepadanya yang sebenarnya untuk menguji penulis sehinggalah bekas pelajar pondok yang telah membuatkan penulis terkesan. Penulis telah menggambarkan mereka dengan cara yang sangat manusiawi membuatkan saya merasa bahawa kebaikan dan kasih sayang itu masih ada dalam dunia ini.
Gaya penulisan penulis hakikatnya tidak mempunyai elemen humor tetapi penuh refleksi peribadi tentang kehidupan, kebahagiaan, dan pentingnya menikmati hidup dengan rasa syukur dan bersederhana membuat buku ini memberi kesan terhadap saya sebagai pengembara. Selain itu, penulisannya mudah diikuti dan difahami dari awal hingga akhir sebagai pembaca. Penulis tidak hanya menceritakan pengalaman-pengalaman yang penulis alami dalam tempoh mengembara, tetapi juga menyampaikan realiti dan pengajaran sebagai pengembara walaupun saya dapat lihat penulis bukanlah orang yang alim.
Saya cukup terkesan di mana penulis dalam memberi pandangan mengenai sikap bagi seorang pengembara, tujuan mengembara, dan juga bagaimana penulis tidak bersetuju dalam mendapatkan tajaan (sponsor) walaupun mengembara kerana bagi penulis dana adalah duit rakyat dan sepatutnya dana tersebut diberikan kepada orang yang memerlukan terutamanya orang miskin. Selain itu juga, penulis telah menekankan mengenai tugas sebagai pengembara adalah dalam menyumbang kepada masyarakat. Bukan bersikap individualistik atau mementingkan diri sendiri. Sekali lagi, prinsip penulis dapat dilihat dengan sikap yang sederhana di mana penulis memilih untuk menggunakan basikal yang murah dan tidak memerlukan basikal yang mahal.
Secara keseluruhan, "Berbasikal Menuju Tuhan" adalah buku yang “humble” dan menginspirasikan. Saya sangat merekomendasikan buku ini kepada sesiapa yang ingin menikmati cerita perjalanan penulis berbasikal di Semenanjung Malaysia, pengalaman berinteraksi penulis dengan orang tempatan dan juga refleksi penulis tentang perjalanannya.
Saya ingin memetik sedikit penulisan penulis bagi salah satu pengajaran yang paling terkesan dari buku ini adalah;
“Kita tidak boleh mementingkan diri. Tidak boleh hidup sendiri begini dan bebas begini kerana kita adalah manusia dan sebahagian dari rantai-rantai yang bersambung antara banyak manusia. Tugas kita bukan cuma mengembara selamanya untuk menyedapkan jiwa, tetapi tugas kita adalah menyumbang seberapa banyak kepada masyarakat kerana satu masa kenang-kenangan kita kepada manusia yang hidup adalah budi dan bukan sekadar diri. Kita pengembara atau apa sahaja yang kita telah lakukan telah bersifat individualistik, maka itu adalah sesuatu yang buruk”.
Ini sangat menggambarkan bahawa penulis telah mendapat pelajaran dan hikmah daripada mengembara. Walaupun hanya 24 hari berbasikal di tanah air sendiri, tetapi ilham dan juga hidayah diberi secara terus (direct) terhadap penulis dan saya kira petunjuk ini cepat berbanding diri saya yang masih meneroka.
Oleh yang demikian, pembaca akan mendapatkan gambaran yang jelas dan realiti tentang pahit manis sebagai pengembara ketika membaca karya penulis ini.