top of page

Tasawuf & Pengembara.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Apabila bercakap tentang tasawuf, tidak saya maksudkan tentang ritual, zikir, perkara ghaib, penyatuan dengan Tuhan dan lebih daripada itu. Bagi memahami tasawuf ini perlu ada disiplin ilmunya dan mempunyai pemahaman yang teliti dan perlu berhati-hati. Saya perhatikan ramai dalam kalangan kita, apabila bercakap tentang tasawuf banyaknya tiada disiplin ilmu dan mengupas tentang tasawuf hanya mengikut fahaman mereka sendiri tanpa bersandarkan syariat. Malah, sering mengaitkannya dengan perkara yang bersifat mistikal.


Saya juga fahami bahawa terdapat pelbagai pendapat mengenai tasawuf. Seperti sedia maklum, tasawuf tidak ada disebut dalam Al Quran dan juga Hadis. Menurut Syeikh Ahmad Zarruq, maksud tasawuf telah dihuraikan lebih daripada dua ribu definisi, tetapi semua definisi secara kesimpulannya merujuk kepada satu tujuan iaitu penyucian jiwa. Penyucian jiwa ini adalah proses untuk membersihkan hati daripada sifat tercela dan hiasi diri dengan sifat terpuji. Saya juga tidak akan menjelaskan satu persatu secara terperinci tentang disiplin amalan dalam tasawuf dalam topik ini.


Perkongsian artikel ini juga telah mengingatkan saya terhadap pengalaman sahabat pengembara saya tentang tujuannya mengembara adalah untuk mencari kesufian (tasawuf). Tujuannya itu telah memberi inspirasi kepada saya untuk mencari dan memahami tasawuf sewaktu dalam pengembaraan. Namun, apakah yang dimaksudkan tasawuf dalam konteks mengembara?


Secara umumnya, saya ingin menekankan bahawa perkongsian artikel ini adalah untuk saya menjelaskan bahawa tasawuf yang saya maksudkan ini merujuk kepada adab, akhlak atau ihsan yang perlu ada dalam diri seorang pengembara, terutamanya pengembara Muslim. Tasawuf bukanlah tentang mencari pengalaman spiritual yang luar biasa atau mencapai makrifat secara tiba-tiba. Secara asasnya ia adalah penting untuk memahami tasawuf sewaktu mengembara kerana kita akan berada di luar zon selesa, berinteraksi dengan pelbagai budaya, agama, pemikiran dan juga kepercayaan.


Seperti yang kita ketahui, penyumbang atau tokoh terbesar dalam ilmu tasawuf adalah Imam al-Ghazali. Setakat ini, saya mengguna pakai pandangan beliau berkaitan ilmu tasawuf lebih-lebih lagi untuk diaplikasikan dalam diri sebagai seorang pengembara. Terdapat nilai yang boleh dipelajari daripada Imam al-Ghazali ini. Bahkan, beliau merupakan seorang yang berpengetahuan dalam pelbagai bidang dan akhirnya telah memilih tasawuf dalam hidupnya. Beliau juga pernah mengalami kekosongan jiwa walaupun telah menguasai pelbagai bidang dan seorang pemikir yang hebat kerana mempunyai 'critical thinking' yang mendalam. Akhirnya, beliau telah menemui ketenangan dan mencapai kerohanian melalui tasawuf. Sehinggalah pada akhir hayatnya itu, seolah-olah beliau telah mencapai kematian yang baik (husnul khatimah) berdasarkan penerimaan isi kandungan karya-karyanya dalam kalangan majoriti ulama berkurun lamanya. Selain itu, walaupun terdapat tokoh tasawuf yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Jalaluddin Rumi dan sebagainya, namun, buat masa ini hanya Imam Al-Ghazali dan Hamka (tasawuf moden) yang saya mampu saya ikuti. Malah, terdapat banyak lagi karya-karya beliau masih belum saya khatamkan lagi.


Tasawuf adalah sebagai jalan dalam mengenal diri dan mendekatkan diri kepada Allah melalui pengalaman dan interaksi dengan dunia luar. Sekali lagi saya menekankan bahawa ini bukanlah mencari pengalaman hal-hal mistik dan luar biasa, tetapi tentang bagaimana kita sebagai pengembara dalam menjaga adab dan akhlak sewaktu mengembara.


Ciri-ciri tasawuf yang dapat dilihat pada sisi Imam Al Ghazali yang boleh diaplikasikan oleh seorang pengembara adalah merendah diri, bersabar, tenang, bersifat sederhana (wasatiyyah), berfikir secara kritis (critical thinking) yang mendalam iaitu tidak terikut-ikut dengan sesuatu tanpa berfikir atau tidak mudah menerima sesuatu berita tanpa menyemak terlebih dahulu terutamanya daripada mereka yang bukan Islam. Menurut saya, setiap perbuatan atau tindakan hanya mengambil sekadar diperlukan dan dilakukan secara bersederhana (wasatiyyah). Pada zaman ini yang terlalu banyak ujian dan cabarannya, saya percaya segala perbuatan perlulah dilakukan secara bersederhana. Saya mengambil pendekatan wasatiyyah ini sejak saya di bangku sekolah menengah lagi. Tidak terlalu ekstrem atau taksub terhadap sesuatu perkara walaupun hal berkaitan agama.


Kita sering mendengar apabila kita mengembara ke luar negara, kita dipesan supaya menghormati budaya di negara orang. Salah satu ujian terbesar bagi seorang pengembara Muslim adalah kita akan berinteraksi dengan pelbagai perbezaan termasuklah budaya, agama, kepercayaan, pemikiran dan juga pendapat dan sebagainya. Kita tetap akan berhadapan dengan situasi di mana agama atau kepercayaan kita mungkin tidak dihormati. Adakalanya saya turut juga mengalami konflik jiwa dan juga melalui pengalaman di mana agama saya dipandang sinis oleh orang bukan Islam. Namun, sebagai seorang Islam yang memiliki tasawuf dalam diri, kita perlu tenang dan bersabar.


Apabila berhadapan dengan golongan sebegini, saya tidak perlu berdebat atau menunjukkan reaksi marah pada mereka. Sebaliknya, saya berfikiran bahawa ini juga mungkin salah satu sebagai pendekatan dakwah (usaha) melalui teladan, iaitu menunjukkan sikap yang baik kepada orang bukan Islam. Ikutkan hati dan perasaan boleh sahaja saya 'mengajar' golongan sebegini, tetapi saya tidak mahu membuang tenaga saya dengan beremosi kerana golongan sebegini kerana bagi saya, mereka ini hanya ingin mendengar, apa yang mereka ingin dengar. Begitu sebaliknya. Dari sudut psikologi pula, ini dipanggil 'bias confirmation.'


Selain itu, apabila menyebut tentang ihsan, tasawuf bukan sekadar tentang hubungan dengan Tuhan, tetapi juga tentang hubungan dengan manusia. Saya ingin memetik ungkapan daripada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, makhluk yang paling hampir dengan Allah adalah mereka yang paling sempurna akhlaknya. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam hal ini. Baginda memiliki akhlak yang tinggi walaupun Baginda tidak pandai membaca dan menulis. Dalam konteks moden, kita mungkin bijak dalam pelbagai bidang ilmu, tetapi tanpa akhlak yang baik, ilmu tersebut tidak bermakna.


Kesimpulannya, tasawuf dalam konteks pengembaraan adalah tentang adab, akhlak dan ihsan dalam perjalanan. Ia bukanlah tentang untuk mencapai pengalaman spiritual (kerohanian) semata. Pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) yang terdapat dalam ilmu tasawuf adalah relevan dan boleh digunakan pakai di zaman moden ini yang penuh dengan lambakan maklumat dan pendapat yang boleh memberikan kecelaruan dan kekeliruan yang boleh menimbulkan konflik jiwa.


Disunting semula oleh: Ahmad Luqman Z.

Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah & Falsafah) (Universiti al-Azhar)

Ijazah Sarjana Pemikiran Islam Kontemporari (UiTM)


 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page