top of page

Sisi Kekurangan Mengembara Solo.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Ekspektasi seseorang terhadap pengembara solo seperti saya dan pengembara yang lain seringkali diangkat atau dilabel sebagai berani dan memiliki kemandirian hidup yang tinggi. Soalan yang seringkali diajukan kepada saya adakah saya tidak takut mengembara berseorangan sewaktu dalam tempoh mengembara, lebih-lebih lagi di luar negara? Saya selalu menjawab dengan tenang walaupun soalan itu adakalanya berbunyi seperti provokasi atau kelihatan tidak berpuas hati. Namun, disebalik tenangnya saya menjawab soalan mereka itu, hakikatnya saya sendiri yang tahu bagaimana perasaan yang saya alami ketika mengembara secara solo.


Disebalik kebaikan mengembara secara solo, sudah pasti terdapat sisi kekurangan itu sendiri yang tidak diceritakan kepada orang awam. Malah, saya percaya kebanyakan pengembara solo tidak menceritakan sisi kekurangan ini atas faktor-faktor tertentu supaya orang awam tidak mengetahui apakah cabaran dan risiko yang mereka hadapi dan seboleh-bolehnya tidak mahu melunturkan rasa semangat untuk mengembara secara solo di masa akan datang.


Sepanjang saya melalui pengalaman mengembara secara solo, saya boleh simpulkan bahawa sisi kekurangan lebih banyak daripada kelebihan dan ianya melibatkan aspek fizikal dan juga mental. Malah, lebih daripada itu. Oleh itu, saya akan kongsikan beberapa poin mengenai sisi kekurangan mengembara secara solo daripada perspektif saya sendiri sebagai pengembara solo.


  1. Homesick (merindukan rumah atau kampung halaman).


Perasaan "merindukan rumah" atau "merindukan kampung halaman" ini seringkali saya hadapi apabila tempoh pengembaraan saya sudah mencapai sebulan, lebih-lebih lagi sekiranya saya mengembara jangka panjang dan secara nomad. Saya sedar bahawa itu adalah perkara normal yang dilalui bagi semua pengembara. Hakikatnya tidak mudah melalui fasa seperti ini yang sering berubah, rasa terasing, perjalanan yang terus-menerus dan melibatkan tempoh suatu yang panjang. Perkara yang saya kerap rindukan adalah suasana di rumah yang selesa dan tenang, tilam yang begitu empuk, dan saya terkenangkan sudut-sudut tertentu di rumah yang banyak saya luangkan masa di situ.


Saya banyak teringat akan rutin dan zon selesa yang banyak saya habiskan masa itu di rumah. Apabila dalam tempoh mengembara, hakikatnya saya tidak merasai seperti itu. Tiada keselesaan, tiada keseronokan, tiada rutin yang sudah menjadi kebiasaan dan saya boleh katakan segalanya berbeza. Saya dan rumah adalah sangat dekat dengan jiwa saya kerana rumah adalah segalanya untuk saya. Sejak saya mengembara, saya benar-benar memahami ungkapan yang sering disebut iaitu "Rumahku Syurgaku" sejak saya di bangku sekolah lagi. Ungkapan ini ternyata ianya benar. Rumah adalah syurga dunia bagi saya di mana tempat saya beristirehat dan meluangkan masa dengan perkara yang saya sukai. Bahkan rumah adalah tempat di mana banyak momen saya 'tersimpan' di situ. Nikmat yang saya tidak boleh ungkapkan dengan hanya kata-kata tetapi kini lebih menghargai, di mana apabila saya jejakkan semula kaki ke rumah selepas sampai ke tanah air, saya benar-benar rasa bersyukur. Ini adalah nikmat yang paling membahagiakan bagi saya kerana saya sudah kembali ke rumah atau kampung halaman.


  1. Kesunyian.


Apabila saya sudah lama berada di jalanan secara solo, saya telah mengalami rasa kesunyian secara perlahan-lahannya yang telah mengubah hidup saya tanpa saya sedar. Kesannya, saya telah menjadi seorang yang pendiam, banyak berdiam, tidak banyak bercakap melainkan topik yang saya gemar untuk berbincang, banyak merenung ke dalam diri dan adakalanya saya banyak termenung. Saya merindukan rutin atau perkara yang sudah menjadi kebiasaan untuk saya lakukan atau erti kata lain perkara yang saya minati. Tambahan lagi, tiada peneman yang boleh saya berbual dan berkongsi masalah atau perasaan yang saya alami dalam tempoh mengembara tersebut. Segala perasaan yang saya rasai tika itu, saya perlu hadapi seorang diri. Tidak semua hari-hari saya adalah hari yang seronok sebagai pengembara.


Di dalam psikologi, kesunyian dan kesendirian itu mempunyai makna yang berbeza. Kesunyian adalah emosi. Bersendiri itu ialah situasi. Saya gemar untuk bersendiri atau berseorangan. Tetapi dalam konteks mengembara ini, rasa kesunyian yang saya alami ini ternyata berbeza walaupun saya gemar bersendiri sepanjang saya di tanah air sendiri. Saya tidak pernah merasai kesunyian seperti ini. Mungkin ini kerana sekeliling saya berbeza yang sangat ketara dan begitu terasing.


Kesendirian sewaktu mengembara adalah waktu yang terbaik. Saya tidak nafikan tentang itu. Tetapi, rasa kesunyian ini benar-benar berbeza bagi saya.


  1. Depresi.


Saya tidak nafikan depresi sewaktu mengembara adalah benar dan wujud. Nama lain bagi depresi adalah kemurungan. Depresi ini bukanlah depresi klinikal yang telah didiagnosis oleh pakar yang saya maksudkan. Semua orang berpotensi mengalami depresi tetapi perlu melihat tahap depresinya, tempohnya dan kesan terhadap individu tersebut.


Dalam tempoh saya mengembara, pada waktu itu saya tidak tahu dengan lebih mendalam tentang depresi ini. Saya mula depresi sewaktu saya berbasikal solo selama dua bulan lebih pada waktu itu atau mungkin sebelum itu lagi kerana saya berada dalam dilema, keliru dan sudah berasa ingin putus asa terhadap berbasikal. Namun, saya tidak pasti.


Saya benar-benar merasakan suatu tekanan terhadap emosi dan juga fizikal. Namun, pada waktu itu, saya tidak pernah terfikir itu adalah depresi. Bagi saya pada waktu itu apa yang saya rasai dan lalui adalah normal sebagai pengembara. Tetapi kesan yang saya terima dan tempoh yang sangat panjang itu benar-benar depresi yang saya lalui. Namun, depresi sewaktu mengembara ini berbeza dengan setiap individu dan tahap mental seseorang. Saya tidak boleh mengatakan semua pengembara solo itu walaupun menghadapi kesukaran, mereka menghadapi depresi. Tidak.


Depresi ini telah membuatkan saya rasa tidak bersemangat dan tidak bermotivasi, keletihan yang berpanjangan, lebih banyak diam, tidak banyak bercakap, kesunyian, rasa berputus asa, mensabotaj diri sendiri, dan lain-lain.


Saya masih ingat lagi bahawa di mana apabila saya berada di tanah air selepas selesai mengembara, saya melihat orang sekeliling saya sudah berubah. Hakikatnya saya yang sudah menjadi seorang yang berbeza kerana perubahan besar yang telah dialami oleh saya daripada cari saya berfikir.


  1. Kurang semangat dan motivasi.


Ini adalah sisi kekurangan yang mungkin ramai orang awam tidak tahu. Saya sentiasa menghadapi kurangnya semangat dan motivasi. Setiap hari saya perlukan semangat untuk teruskan perjalanan dan meneroka. Faktor-faktor kurang semangat dan motivasi ini tidak hanya tertumpu kepada aspek mental sahaja. Contohnya, kekurangan akses kemudahan awam. Ini juga antara sebab rasa kurang bersemangat dan motivasi untuk saya meneroka pada waktu itu.


Dari aspek mental, saya sedar bahawa mengembara solo ini telah membuatkan saya tidak bergantung pada orang lain dan segalanya saya terpaksa melakukannya sendiri dan kesemuanya perlu berdikari daripada merancang, membuat keputusan sehinggalah kepada menyelesaikan masalah. Ada waktu ternyata saya berasa tertekan dan secara tidak langsung telah membuatkan saya kurang semangat dan motivasi.


Selain itu, pengalaman buruk dan kesukaran yang saya lalui dalam tempoh mengembara juga telah membuatkan saya kurang bersemangat. Saya terfikir akan perkara buruk yang telah saya lalui.


Akan tetapi, sisi kekurangan kurang semangat dan motivasi ini saya masih boleh mengadaptasinya sewaktu di luar negara. Saya hanya memerlukan ruang dan masa untuk pulihkan semangat saya semula bagi meneruskan pengembaraan saya ketika itu dengan menggunakan beberapa mekanisma daya tindak atau 'coping mechanism'.


  1. Sikap kesedaran dan berhati-hati yang tinggi.


Dua sikap ini ternyata perlu ada bagi setiap pengembara solo kerana mereka menanggung cabaran dan risiko yang sangat tinggi. Perkataan lain bagi mudah difahami adalah perlu memiliki 'sense' yang tinggi terhadap apa yang berlaku sepanjang dalam tempoh mengembara tersebut.


Apabila mengembara secara solo sudah pasti saya perlu menguruskannya sendiri dan saya terdedah dengan risiko yang tinggi. Oleh yang demikian, ianya memerlukan perancangan yang lebih teliti tetapi perlu ada fleksibiliti mengikut situasi.


Saya perlu berhati-hati dan mempunyai kesedaran atau sentiasa mempunyai 'alert' yang tinggi terhadap keselamatan, kesihatan, komunikasi, kewangan, persekitaran, cuaca, budaya setempat dan sebagainya. Saya perlu mengambil berat hal-hal sebegini supaya saya dapat mengurangkan risiko yang bakal berlaku. Saya tidak boleh ambil lewa atau cuai tentang hal-hal sebegini dan adakalanya saya sebagai manusia biasa tertekan kerana saya perlu berfikir seorang diri untuk bertindak dan membuat keputusan. Ada waktu sememangnya saya akan tersilap dalam membuat keputusan sehingga menanggung kerugian dan memberi kesan terhadap emosi.


  1. Mudah diambil kesempatan.


Kelebihan mengembara solo itu memang mudah didekati oleh orang tempatan dan saya selalu menerima layanan dan kebaikan daripada orang tempatan. Namun, dunia ini hakikatnya tidak semuanya indah dan baik-baik belaka. Ada juga mereka yang memiliki niat yang tidak baik atau mengambil kesempatan ke atas diri saya sendiri sewaktu saya mengembara secara solo.


Saya masih ingat lagi sewaktu saya di India dan Sri Lanka bagaimana mereka cuba mengambil kesempatan ke atas diri saya dengan bertanyakan soalan sama ada saya masih bujang atau sudah berkahwin tetapi sebelum itu orang tempatan ini memberi layanan yang sangat baik. Saya berasa tidak selesa dengan cara dan layanan yang diberikan. Rupanya, ada udang disebalik batu. Selepas saya berbohong pada mereka dan menyatakan kepada mereka bahawa saya sudah berkahwin, mereka seperti hilang minat dan perbualan dimatikan begitu sahaja.


Namun terdapat pengalaman lain di mana saya dikenakan caj yang lebih dan baki duit tidak dipulangkan. Mungkin mereka berani buat sebegitu kerana saya berseorangan dan saya tidak boleh berbuat apa-apa pada mereka.


  1. Keletihan yang berpanjangan.


Sukar untuk saya menyatakan mengenai keletihan berpanjangan yang saya maksudkan ini. Poin-poin yang telah saya sebut di atas, saya rumuskan bahawa mengembara secara solo ini bukan sahaja meletihkan fizikal bahkan juga mental. Saya tidak tahu kenapa saya berasa letih dan kesannya saya banyak meluangkan masa atau banyak berhibernasi di hostel dan saya banyakkan berehat. Saya tidur agak lama ibarat untuk mengecas badan saya supaya saya mendapat tenaga semula untuk keesokan harinya untuk meneroka.


Apabila mengembara secara panjang dan juga nomad, ternyata ianya tidak mudah dan lebih meletihkan. Zon masa juga berubah dan saya perlu mengadaptasi waktu yang berubah dan tidak sama seperti di Malaysia. Ada negara siangnya yang lebih lama apabila masuknya musim panas.


Justeru, sisi kekurangan mengembara solo ini ternyata terdapat lebih banyak lagi namun poin-poin di atas adalah yang memberikan kesan utama kepada diri saya. Namun, saya mula menyedari bahawa hal-hal sebegini dilalui oleh pengembara untuk merasai sebuah pengalaman yang bermakna yang tidak hanya melalui perkara yang menyeronokkan sahaja. Ada waktu kita sebagai manusia perlu melalui pengalaman yang tidak menyeronokkan supaya memberi pengajaran dalam hidup.


"Kebanyakan orang akan rasa sesuatu itu seronok apabila segalanya berjalan dengan lancar. Apabila ditimpa sesuatu perkara yang buruk, perasaan itu menjadi sebaliknya."


 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page