Saya percaya bahawa setiap orang itu ada individu yang mereka kagumi, minati dan diangkat sebagai idola. Boleh jadi dalam kalangan ahli keluarga atau sebaliknya, dan mungkin mereka yang kita kagumi itu merupakan tokoh atau pempengaruh yang terkenal. Namun, saya lebih cenderung atau memilih perkataan “inspirasi” berbanding “idola”. Kenapa inspirasi? Ini adalah disebabkan saya ambil daripada pengembara yang menjadi pilihan saya untuk mengambil ilham, semangat dan motivasi daripada mereka. Jika dibandingkan dengan penggunaan perkataan atau terma idola. Bagi saya, idola lebih kepada meminati dan mengagumi seseorang untuk dijadikan sebagai ikon atau contoh. Dalam hidup saya dipenuhi dengan mereka yang memberi inspirasi terhadap saya sebagai semangat dan motivasi untuk saya melakukan sesuatu berbanding terma idola.
Dalam konteks mengembara, bagi saya, pengembara inspirasi saya sehingga ke hari ini yang telah memberi kesan pada diri saya ialah N. Adha yang berasal dari Johor. Beliau seorang pengembara yang telah meneroka lebih daripada 30 buah negara di benua Asia, Eropah, Amerika Utara, Afrika, Australasia walaupun beliau lumpuh separuh badan dan berkerusi roda. Walaupun beliau terdapat kekurangan dari sudut fizikal, tetapi ketahanan mental yang beliau miliki sangat saya kagumi. Falsafah dirinya yang masih saya ingat sehingga kini adalah "Kalau penat, rehat. Bukan quit." yang dicetuskan oleh ibunya untuk beliau terus rasa bersemangat.
"Merendah diri dan menginspirasikan". Itulah dua perkataan yang muncul di dalam minda saya buat beliau. Walaupun lumpuh separuh badan tetap masih saya rasakan kehebatan yang ada dalam diri beliau.
Pada tahun 2017, saya dan beliau pernah berjumpa buat kali pertamanya di Pulau Pinang dan kebetulannya pada tahun tersebut beliau akan mengembara secara solo di Kanada dan Lautan Artik. Pada waktu itu, kami mengembara bersama, saya berjalan kaki dan beliau pula menolak kerusi rodanya sehingga ke pantai di Batu Feringgi sejauh 12 km. Selain itu, tujuan saya berjumpa dengan beliau adalah untuk mengucapkan kepada beliau semoga semuanya selamat dan dipermudahkan perjalanan beliau. Giliran saya pula mengembara jangka panjang pada tahun hadapannya iaitu tahun 2018.
Jika ditanya kenapa beliau pengembara inspirasi saya? Beliau telah mengubah perspektif saya tentang kehidupan. Malah, tanpa saya sedari saya telah belajar untuk melihat tidak hanya satu perspektif. Saya tertarik dengan pemikiran atau 'school of thought' beliau yang tidak hanya melihat satu perspektif sahaja. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan manusia. Namun, hakikatnya untuk memahami pemikirannya tidak mudah pada awalnya. Apabila saya sudah lama mengenali beliau saya dapat memahami pemikiran beliau. Selain itu, disebabkan beliau jugalah telah membuatkan saya menjadi lebih fleksibel dalam melihat konteks atau pendapat yang berbeza.
Saya ingin tekankan di sini, bukanlah untuk saya menjadi seseorang yang unik dan berbeza daripada orang lain supaya orang melihat saya ini berbeza daripada orang lain. Akan tetapi, saya sedar bahawa tidak semua itu boleh dilihat dengan hanya satu perspektif sahaja. Ternyata ada perspektif beliau sukar untuk saya terima atau ada yang menyakitkan, tetapi bila difikirkan semula ada kebenarannya. Pahit tapi benar. Sepanjang saya mengenali beliau sejak tahun 2016 sehingga kini, saya boleh katakan masih tidak luntur semangat saya untuk terus mengembara walaupun ujian jatuh bangun yang saya hadapi. Saya juga sedar saya dapat lihat kebaikan dan faedah mengembara lebih-lebih lagi mengembara jangka panjang secara nomad. Bagi saya, beliau adalah pencetus kepada semangat saya untuk teruskan mengembara.
Salah satu kisah yang paling saya ingat sehingga kini adalah apabila saya pernah bertanyakan kepada beliau tentang apa yang ingin dicari oleh beliau dalam pengembaraan beliau selepas ini, beliau menyatakan beliau ingin mencari kesufian. Saya tidak pernah jangka jawapan sebegini. Kebiasaannya jawapan yang kebiasaan saya terima adalah jawapan yang tipikal. Akan tetapi, beliau telah membuatkan saya memahami apakah itu tasawwuf dan saya cuba mengaplikasikannya dalam tempoh saya mengembara.
Selain beliau, pengembara inspirasi saya yang terakhir adalah Wan Malik, seorang pengembara yang berusia 88 tahun berasal dari Johor yang telah mengembara lebih daripada 120 buah negara. Saya mengenali beliau pada tahun 2019 dan ketika itu saya berada di Tashkent, Uzbekistan. Ketika itu, beliau mengembara secara solo. Seorang yang merendah diri, baik hati dan sentiasa bersikap positif. Apa yang menarik tentang diri beliau adalah nasihat yang diberikan sangat ringkas tetapi terkesan. Beliau sentiasa mengingatkan saya supaya teruskan mengembara. Saya masih ingat lagi dalam tempoh saya jatuh sakit dan menziarahi saya di wad ketika itu, beliau masih memberi semangat terhadap saya supaya cepat sembuh dan boleh terus mengembara selepas ini.
Apa yang menginspirasikan saya mengenai beliau adalah semangat beliau untuk mengembara walaupun sudah mencecah usia 80 lebih dan masih kekal sihat baik fizikal dan mental. Sehingga kini beliau masih menjaga pemakanan dari muda sehingga kini dan masih boleh menikmati makanan kegemaran beliau tetapi dalam porsi yang sedikit. Pemikirannya atau caranya berfikir masih terlihat positif. Nasihat yang beliau pernah berikan kepada saya begitu ringkas dan tidak merumitkan. Orangnya terlalu merendah diri, bersederhana tetapi berisi. Stail mengembara beliau juga seperti pengembara yang lain. Makan secara bajet, menaiki pengangkutan awam, dan menginap di hostel seperti pengembara yang lain walaupun hakikatnya beliau mempunyai pilihan untuk melancong dengan mewah dan selesa seperti menginap di hotel. Tetapi, beliau tidak seperti itu. Sewaktu saya berjumpa beliau kali pertama dan saya dibawa oleh beliau ke hostel yang beliau menginap dengan harga semalam sebanyak USD 12. Oleh yang demikian, disebabkan itulah beliau menjadi sumber inspirasi saya untuk terus mengembara.
Justeru, saya percaya di masa kini sudah ramai yang berkemampuan untuk melancong dan mengembara. Akan tetapi, bagi saya, untuk melahirkan seorang pengembara yang berkualiti itu sukar dicari. Adakalanya saya pernah berfikiran bahawa pengembara yang bagus dan berkualiti ternyata ramai, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak menonjol di media sosial dan sebagainya. Saya perhatikan juga, mereka meneruskan kehidupan seperti biasa seperti orang normal yang lain.
"Apa khabar agaknya dan bagaimana keadaan pengembara yang hebat yang tidak pernah aku ketahui? Didoakan semoga baik-baik sahaja."
"Pengembara yang berkualiti itu sukar dicari umpama mencari permata di dasar lautan."