Sebelum saya menyenaraikan beberapa buah lagu berkaitan mengembara, saya akan menulis sedikit berkaitan diri saya bagi mengimbau semula sejarah hidup saya dan kaitan dengan lagu dan mengembara.
Suatu ketika dahulu sewaktu saya di bangku sekolah rendah, saya tidak tahu kenapa jiwa saya memilih lagu-lagu berunsurkan ketuhanan dan saya lebih cenderung memilih irama kontemporari (moden) berbanding irama zaman dahulu atau irama padang pasir. Kebanyakan lagu-lagu ketuhanan ini secara tidak langsung telah mendidik jiwa saya walaupun pada ketika itu saya masih kanak-kanak yang tidak faham tentang dunia bahkan masih tidak tahu apa itu dosa dan pahala. Lagu dan nyanyian adalah perkara yang saya minati sejak saya di bangku sekolah rendah. Hakikat pada waktu itu juga, saya memilih untuk tidak berkongsi dengan ibu bapa tentang apa yang saya minati dan apa yang saya suka lakukan pada usia saya ketika itu. Saya masih ingat lagi, pada masa itu ramai yang tidak segan untuk bercerita dengan ibu bapa mereka. Tetapi saya sebaliknya. Saya memilih untuk tidak berkongsi dengan mereka.
Hakikat sebenar pada masa itu juga, 'exposure' lagu sebegini bukan menjadi pilihan orang sekeliling saya seperti rakan sekolah terutamanya, akan tetapi saya tidak pernah berasa ganjil dengan apa yang saya minati. Cuma, saya masih ingat lagi reaksi yang saya pernah terima daripada mereka kelihatan agak skeptikal kerana nampak seperti Islamik, alim? Mungkin.
Setelah saya berada di sekolah menengah pula, waktu itu saya telah berpindah ke sekolah yang lain atas kehendak saya sendiri kerana saya merasakan sudah tiba masanya untuk berhijrah ke sekolah yang lain. Takdir telah mempertemukan saya dan rakan-rakan sekolah yang memiliki minat yang sama. Saya, rakan dan 'senior' yang lain telah mewakili sekolah untuk kembangkan minat dan bakat kami dalam seni suara bagi menyumbang penglibatan dan juga pencapaian sekolah.
Sepanjang dalam tempoh saya mengembara itu sebenarnya, saya dan lagu (muzik) tidak dapat dipisahkan. Selain itu, mendengar lagu sebenarnya alternatif atau cara saya untuk memulihkan semangat saya semula yang di mana saya sering mengalami rasa kurang motivasi. Mendengar lagu atau muzik adalah galakan pada diri saya untuk sentiasa kekal positif dan teruskan perjalanan walaupun sebenarnya saya menghadapi jatuh dan bangun baik dari segi fizikal dan mental. Tambahan lagi, memori atau kenangan pada masa saya di zaman sekolah dahulu kebanyakannya saya teringat dalam tempoh saya mengembara. Malah, saya pernah terfikir bahawa sekiranya saya mahu untuk meneruskan apa yang saya minati suatu ketika dahulu, mengembara adalah platformnya untuk mengembangkan minat saya pada masa itu. Ini adalah masa yang terbaik untuk lakukan perkara yang saya minati dan secara tidak langsung dapat melihat potensi diri yang sebenar.
Menurut pengalaman saya lagi, saya boleh katakan bukan mudah untuk mencapai keseronokan sepanjang dalam tempoh itu. Untuk menemui titik keseronokan itu sukar dan tidak setiap hari-hari saya akan mencapai keseronokan. Saya sering kali mengalami keletihan untuk suatu tempoh yang lama dan berpanjangan, kurang bersemangat dan tidak bermotivasi lebih-lebih lagi sewaktu mengembara dalam tempoh jangka panjang dan berseorangan (solo).
Satu nasihat daripada saya yang telah melalui pengalaman ini di tempat yang terasing lebih-lebih lagi sekiranya memilih untuk mengembara seorang diri atau solo, sekiranya penat dalam perjalanan berikan masa untuk diri dengan dengan mendengar lagu-lagu kegemaran yang boleh mencetuskan rasa motivasi dan semangat untuk meneruskan perjalanan seterusnya. Ini yang saya lakukan dalam tempoh saya mengembara selain menonton filem, menulis dan berinteraksi dengan mereka sama orang tempatan atau pengembara yang lain.
Oleh yang demikian, saya akan senaraikan beberapa buah lagu unsur ketuhanan berkaitan mengembara. Terdapat 20 senarai lagu-lagu yang menjadi pilihan selepas meneliti setiap lirik, susunan muzik dan penghayatan secara keseluruhannya.
Berjalan, bermusafirlah
Melihat kebesaran Tuhan yang
Diciptakan untuk Mereka yang berfikir
Dan bersyukur di atas nikmat dan kurnia-Nya
Mirwana - Semalam (Acapella)*
Semalam
Ku meniti jalanan suram
Hampir ku hanyut dan tenggelam
Ku tinggalkan
Oh semalam
Jauh kita terpisah
Batasi jarak dan masa
Dirimu tak pernah ku lupa
Terus ku nanti setia
Saat indah kita bersama
Ku saksikan sejuta wajah dunia
Keindahannya nan mempesona
Ku lalui jalanan di kalut kota
Terus melangkah
Firdaus - Dunia Yang Lebih Indah
Cuba rasakan setiap tangisan
Tak berhenti berharap akan huluran tangan
Memberi cinta dan harapan
Bersama kita melangkah kaki
Menuju dunia yang lebih indah
Firdaus - Ku Mohon*
Di lubuk hatiku terdalam
Ini yang ku pilih penuh keyakinan
Namun kadang bimbang menyerang
Sanggupkah melangkah ku terus berjalan
Saat badai menderaku
Hingga rapuh dan goyah
Tiada daya tuk bertahan
Hanya Engkau tempat berpegang
Nazrey Johani - Perantau (feat FarEast, Salleh Brothers, Azhari Nowseeheart, Naim Mirwana)*
Tapi pejuang kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang
Perantau musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya engkau yang tahu
Brothers - Satu Perjuangan*
Dengan satu perjuangan satu arah tujuan
Di bawah rahmat yang esa
Kita melangkah seiringan
Satu perjuangan
Rintangan pasti melanda
Jangan gugur walau selangkah
Teruskan perjuangan
Hingga ke akhirnya
Brothers - Satu Misteri (feat Waheeda)*
Mungkin bukan cinta biasa
Bukan jua helah pendeta
Yang memuja
Yang terkecewa
Tampak kabus dipinggir senja
Terleraikah segalanya
Satu misteri di dunia yang fana
Namun harus dipelihara
Walau sementara tak mengapa
Brothers - Doa Perpisahan
Kan ku utuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu
Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu
Brothers - Warna-Warna Cinta*
Mereka berkata
Hidup perlukan cinta
Agar sejahtera aman dan bahagia
Andai tiada atau pudar warnanya
Meranalah jiwa gelaplah dunia
Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu
Agar mewarnai
Jiwamu yang tulus
Seperti sang pelangi selepas gerimis
Brothers - Selamat Berjuang*
Hati ini sayu mengenangkan
Sengsara di dalam perjuangan
Jiwaku merana dan meronta mengharapkan
Kedamaian dan jua ketenangan
Tetapi ku akur pada hakikat
Suka dan duka dalam perjuangan
Perlu ketabahan dan kekuatan
Keteguhan hati berlandaskan iman
Algebra - Daerah Ini
Daerah ini daerah tenang
sekalipun ada yang kata usang
Daerah ini daerah damai
sekalipun sukar untuk sampai
Daerah ini daerah merdeka
sekalipun ada yang memeranginya
Biarkan saja aku di daerah ini.
Al Jawaher - Kembara Di Tanah Gersang*
Kembara berjalan bersendirian
Mencari jalan pulang
Bilakah masanya embun 'kan menjelma
Di tanah gersang yang membakar?
Alangkah pedihnya nasib kembara
Di tengah khatulistiwa
Tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
Namun tetap ia bertahan
Dehearty - Kembara Hidup*
Telah jauh aku mengembara
Mencari erti hidup di dunia ini
Yang selama ini sering disalah erti
Oleh mereka yang bertuhankan hati
Ku musafir ke pelusuk dunia
Memerhatikan gelagat manusia
Ada yang gembira hingga terlupa
Ada yang berduka tetapi gembira
Hijjaz - Sunnah Orang Berjuang
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid
Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara memburu cinta
Membara demi Allah dan rasulNya
Nowseeheart - Damai
Damai yang dirasa
Melihat warnanya
Tenangnya di mindaku
Suasana kehijauan yang indah
Kicauan beburung rimba
Berterbangan bebas
Di dalam rimba raya
Pepohon turut berlagu
Menerima sentuhannya
Sinaran sang mentari hari
Oh di alam rimba damai dirasa
Segala-galanya terlukis sempurna
Di alam rimba keajaibannya
Nowseeheart - Kerana Doa*
Melangkah jauh tanpa arah dan tujuan
Bumi dan suburi itu rasakan gersang
Di dalam terang kegelapan
Seakan ku hanyut di daratan
Ku ingin melangkah pangkalan
Pabila mata hati dan minda terbuka
Bertandang keyakinan terhakis curiga
Putaran masa pasti menempa
Jarak dan ruang bukan sempadan
Tuhanku teramat penyayang
Saujana - Sendiri*
Nasihatmu madu penyembuh luka
Pabila bersamamu hilang dukaku
Lewat kusedari nilai cintamu
Pabila kau tiada lagi disisiku
Ku kan cuba tempuh hidup sendiri
Kerana kita kan kerna kita kan akhirnya sendiri
Suhaimi Saad - Kembara Ilmu
Noda di hati melemahkan minda
Kembara sufi terasa sukar
Sesatlah di dalam pelayaran
Hanyut tiada pedoman
Akhirnya karam dalam kegagalan
Lembah nurani fitrahnya suci
Jangan ditinggal gersang
Jangan dibiar hitam
Gersang nurani kerana tiada ilmu
Hitam nurani kerana dosa bertimbun
(*) Lagu yang paling saya minati dan menjadi pilihan.