Saya Pengembara.
- Pengembara Nomad
- 2 Okt 2024
- 4 min membaca
Updated: 5 jam lalu

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera kepada pembaca platform digital ‘Pengembara Nomad’.
Pada dua minggu lalu, bagi sesiapa yang sudah mendengar podcast saya dalam Episod 1 bertajuk "Saya Pengembara" di platform Spotify dan YouTube, pastinya telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai latar belakang diri saya. Siapa saya dan bagaimana saya mula berkecimpung dalam dunia pengembaraan. Penulisan kali ini akan menceritakan dengan lebih terperinci mengenai latar belakang diri saya dan bermulanya kisah saya terlibat dan meminati dunia pengembaraan.
Sejarah perjalanan mulanya pengembaraan saya bermula dengan tiada langsung atau ‘zero’ pengetahuan mengenai dunia ini. Hanya bermula dengan satu langkah kecil sahaja, segalanya berubah menjadi minat dan proses kehidupan yang berterusan untuk diri saya. Permulaan langkah dan kisah pengembaraan saya berawalan dengan menggunakan khidmat pemandu pelancong (tour guide) yang tidak berlesen bagi mengumpul pengalaman serta membiasakan diri terlebih dahulu dengan selok-belok dunia pengembaraan.
Setelah mendapat sedikit keberanian, saya mula mengembara sendiri tanpa menggunakan pemandu pelancong malahan agensi pelancongan sekali pun. Dalam istilah lain ialah mengembara secara ‘Do It Yourself’ (DIY). Apabila saya telah mendapat rentak dan sudah terbiasa mengembara sendiri, saya telah mengambil keputusan untuk mencuba mengembara secara solo. Langkah pertama saya untuk mengembara secara solo. Langkah pertama saya untuk mengembara secara solo ialah dengan mula mengembara secara jangka pendek di satu tempat sebelum beralih kepada pengembaraan secara jangka panjang. Tidak berhenti setakat itu, saya juga mencabar diri sendiri untuk bermula sebagai seorang pengembara ‘bagpacker’ sebelum mendapat keberanian dan keyakinan untuk memulakan pengembaraan secara solo dengan berbasikal.
Ya, semuanya bermula dengan langkah kecil, sedikit demi sedikit, bagi menguji sejauh mana tahap kemandirian diri saya (survival skills) pada ketika itu. Saya juga telah mencuba pelbagai kaedah pengembaraan selagi saya memperoleh kepuasan dan dapat mempelajari sesuatu daripada setiap perjalanan. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk mengembara. Sebagai contoh, kebanyakan pengembara dari Barat menggunakan pelbagai kaedah dalam pengembaraan mereka bagi mencapai objektif dan matlamat tertentu, seperti berjalan kaki berbulan-bulan, hitchhiking, berbasikal, menaiki motosikal atau kereta atau berlayar dengan kapal. Melalui pemerhatian saya, pada zaman moden ini, mengembara menjadi lebih mudah dengan pelbagai pilihan yang boleh disesuaikan mengikut minat dan keselesaan individu.
Saya memulakan pengembaraan pada usia 23 tahun dan ketika itu masih bujang. Pada waktu itu, saya sedang melalui fasa emosi kecewa atau 'broken' yang terlalu sukar dan rumit berpunca daripada seseorang yang saya kenali dalam tempoh tersebut. Melalui situasi ini, saya merasa amat sukar untuk bercerita kepada umum sekalipun kepada kenalan terdekat saya. Bagi saya, mengembara merupakan cara terbaik untuk merawat jiwa saya yang sedang dalam keadaan sangat hiba ketika itu.
Pada tahun 2016, saya melakukan pengembaraan sebanyak 12 kali ke luar negara. Pengembaraan ini meliputi 9 buah negara, termasuk Indonesia (sebanyak tiga kali), Kemboja, Brunei, Singapura, Myanmar, Jepun, Laos, Filipina, dan Vietnam. Sepanjang perjalanan, saya mendapati bahawa setiap pengembaraan mengajar saya sesuatu perkara yang baharu. Apabila pulang ke Malaysia, saya banyak melakukan refleksi diri. Tanpa saya sedari, perspektif saya juga telah berubah. Pada awalnya, saya menyangka orang di sekeliling saya yang berubah. Namun hakikatnya, sayalah yang telah berubah atau erti kata lain, pemikiran dan perspektif saya sudah berbeza daripada mereka kerana saya memperolehi kematangan dan cara berbeza dalam melihat sesuatu perkara.
Tidak lama kemudian, saya berkenalan dengan seseorang yang saya kagumi kerana semangatnya yang kuat dan luarbiasa, walaupun beliau berstatus orang kurang upaya (OKU). Saya cuba mendekati beliau dan mendapat berita bahawa beliau akan mengembara secara nomad dalam tempoh yang panjang. Selepas saya membaca lebih lanjut mengenai konsep pengembaraan nomad, saya berasa sangat teruja lalu tercetusnya keinginan diri untuk mencuba.
Seterusnya, saya mula membuat persediaan selama setahun, termasuk penyediaan kertas kerja, cadangan jadual perjalanan, persiapan kewangan, permohonan visa, kelengkapan, vaksinasi dan sebagainya. Saya membuat keputusan untuk memulakan perjalanan menjelajah negara-negara di benua Asia sahaja. Ini kerana saya berpendapat bahawa Asia sangat unik dengan kepelbagaian budaya. Antara faktor lain yang mempengaruhi keputusan saya ialah saya lihat terdapat jurang perbezaan yang ketara antara negara-negara dalam benua Asia. Tambahan pula, Asia merupakan benua terbesar di dunia yang memiliki perbezaan geopolitik antara setiap negara.
Di penghujung tahun 2017, saya mengambil keputusan besar untuk meletakkan jawatan tetap di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Pada awal tahun 2018, saya mula membuat persiapan untuk mengembara secara solo dengan menunggang basikal. Seterusnya, pada tahun 2019, saya mula mengembara secara backpacking untuk tempoh yang lebih panjang (long-term). Sepanjang tahun 2018 hingga 2019, saya telah menjejaki 18 buah negara dalam tempoh hampir 10 bulan. Ini tidak termasuk tempoh persediaan selama lebih tiga bulan yang merangkumi latihan berbasikal, asas untuk membaiki (fix) dan penjagaan (maintenance) basikal secara kendiri, kelengkapan untuk berkhemah dan sebagainya. Oleh kerana saya tiada langsung pengalaman berbasikal sebelum ini, saya merasakan mengembara dengan berbasikal merupakan keputusan yang tepat untuk diri saya pada ketika itu. Matlamat utama saya memilih basikal ketika itu adalah untuk menjimatkan kos, namun setelah melihat secara menyeluruh, saya dapati bahawa pengembaraan berbasikal sebenarnya tidak menjimatkan kos seperti yang dijangkakan. Ini kerana pada pendapat saya secara peribadi, kos mengembara menggunakan basikal sebenarnya sangat mahal. Selain itu, saya tidak mencapai kepuasan kerana sering mengalami keletihan yang berpanjangan, kurang bersemangat, kemurungan, kesunyian, dan pelbagai cabaran lain lagi. Sudah tentu, mengembara secara solo menggunakan basikal memerlukan tahap ketahanan diri (survival skills) yang sangat tinggi. Keadaan ini tidak sesuai untuk diri saya yang kurang dari segi stamina fizikal seperti individu lain.
Pada tahun 2020 hingga 2022, aktiviti luar termasuk pengembaraan terhenti seketika akibat penularan wabak COVID-19. Dalam tempoh tersebut juga, saya memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatan dan aspek lain dalam kehidupan. Namun, pada tahun 2023, saya kembali mengembara dan mendapati bahawa semangat untuk meneruskan perjalanan dan mengembara masih membara dalam diri saya.
Apa yang saya pelajari melalui pengalaman mengembara sejak tahun 2015 hingga kini? Sudah tentu banyak perkara yang saya pelajari, termasuk sisi gelap yang mungkin tidak ramai tahu. Namun begitu, sisi yang baik dan positif pula lebih banyak saya pelajari sepanjang perjalanan berbanding perkara yang tidak baik.
Tiada sebarang pekerjaan di dunia ini yang boleh dilakukan dengan mudah, begitu jugalah dengan mengembara. Untuk menjadi seorang pengembara bukanlah suatu perkara yang mudah, terutamanya untuk menjadi pengembara yang berkualiti serta memiliki 'sikap' dan 'pemikiran' yang menyeluruh.
Ya, hakikatnya ianya bukan sesuatu yang mudah.
Alhamdulillah 'Ala Kulli Haal.
Disunting oleh:
Idayu A.
Editor | Pengembara Nomad