top of page

Perbezaan Mengembara Jangka Pendek vs Jangka Panjang

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Dalam artikel saya sebelum ini, saya pernah berkongsi bagaimana perjalanan saya bermula dari 'zero' tanpa sebarang pengalaman mengenai dunia pengembaraan. Saya memulakan pengembaraan dengan langkah kecil melalui perjalanan jangka pendek. Perjalanan ini menjadi langkah awal untuk saya mendapatkan pengalaman secara asas dan memahami tentang dunia luar. Lama-kelamaan, apabila keyakinan saya bertambah, lalu saya membuat keputusan dan saya memberanikan diri untuk mencuba pengembaraan jangka panjang. Langkah kecil saya ini telah membawa saya kepada perubahan besar dalam hidup.


Keputusan untuk mengembara jangka panjang datang selepas saya berjaya melawat banyak negara di Asia Tenggara dan beberapa buah negara di Asia Pasifik dan Asia Selatan, dibantu oleh tambang murah yang sering ditawarkan oleh syarikat penerbangan AirAsia. Namun, apabila harga tiket penerbangan ke negara-negara di bahagian Asia yang lain semakin mahal, saya menyedari perlunya mengambil cuti panjang agar kos tiket yang dibelanjakan setimpal dengan pengalaman yang diperoleh. Pada waktu itu saya bekerja di syarikat swasta secara sepenuh masa, baki cuti tahunan saya yang diberikan oleh majikan tidak begitu banyak. Cuti tahunan saya banyak digunakan untuk saya mengembara. Selain itu, saya juga memilih perjalanan yang perlahan dan tidak terkejar-kejar. Inspirasi untuk mengembara jangka panjang juga datang daripada kisah mereka yang telah melalui pengembaraan jangka panjang secara nomad bahkan terdapat dalam kalangan mereka sanggup meninggalkan pekerjaan tetap (berhenti kerja) untuk mencapai impian mereka.


  1. Tempoh masa


Tempoh masa antara pengembaraan jangka pendek dan jangka panjang amat berbeza. Pengembaraan jangka pendek biasanya mengambil masa selama beberapa hari. Kebiasaannya kurang daripada sebulan. Dalam tempoh ini, jadual perjalanan biasanya padat dan fokus kepada destinasi tertentu sahaja. Kebiasaannya, mereka yang mengembara jangka pendek ini memiliki itinerari perjalanan mengikut perancangan yang ditetapkan.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang melibatkan tempoh lebih lama; lebih daripada sebulan, malah ada yang bertahun-tahun lamanya. Lebih-lebih lagi mereka yang memilih untuk melakukan pengembaraan secara nomad, di mana mereka akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain secara berterusan dalam perjalanan tersebut.


Namun, ingin saya tekankan disini, walaupun mengembara dalam tempoh yang singkat tidak bermakna dikira sebagai melancong. Melancong tidak boleh disamakan sebagai mengembara. Ternyata memiliki konteks yang berbeza.


  1. Bajet


Dari segi bajet, terdapat perbezaan ketara antara kedua-duanya. Pengembaraan jangka pendek memerlukan bajet yang lebih kecil kerana tempohnya yang singkat serta risiko menghadapi situasi di luar jankaan yang lebih rendah. Perjalanan ini juga lebih mudah dirancang kerana kos dapat dianggarkan.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang memerlukan perancangan bajet atau kewangan yang lebih rapi. Selain kos seperti penginapan, makanan, dan pengangkutan, pengembara perlu mengambil kira kos visa (sekiranya negara tersebut memerlukan visa), insurans, vaksinasi, serta keperluan lain yang berkaitan untuk digunakan dalam tempoh jangka panjang. Ramai pengembara jangka panjang yang melakukan ikhtiar hidup (survival) dengan menjana pendapatan tambahan dengan bekerja secara freelance, menjalankan perniagaan secara online, atau membuat pelaburan, menjual barangan terpakai dan sebagainya. Sikap berjimat cermat dalam kalangan pengembara jangka panjang banyak dapat dilihat supaya mereka dapat meneruskan pengembaraan mereka. Apabila kewangan mereka mula berkurang, dalam kalangan mereka membuat keputusan untuk pulang ke halaman rumah masing-masing dan mula mencari pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan.


  1. Matlamat


Matlamat antara kedua-dua jenis perjalanan juga berbeza. Mereka yang memilih pengembaraan jangka pendek biasanya menghilangkan tekanan (stress), atau melawat destinasi tertentu. Perjalanan jenis ini cenderung bersifat sementara dan jarang memberi peluang kepada pengembara untuk mendalami budaya tempatan dengan lebih lama.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang lebih bermatlamat untuk meneroka dan mendalami budaya serta gaya hidup masyarakat tempatan. Ia memberikan peluang kepada pengembara untuk memperoleh pengalaman bermakna dan menambah nilai dalam kehidupan mereka. Dalam sesetengah kes, perjalanan jangka panjang untuk mengubah gaya hidup, malah ada yang meninggalkan pekerjaan tetap demi mencapai impian untuk mengembara. Bagi mereka, mengembara telah mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.


  1. Pengalaman


Dari segi pengalaman yang diperoleh juga berbeza mengikut tempoh perjalanan. Dalam pengembaraan jangka pendek, pengalaman yang diperoleh selalunya terdapat limitasi (terbatas) kerana kekangan masa. Pengembara biasanya hanya mengetahui sekadar hanya daripada “permukaan” sahaja mengenai sesebuah budaya dan tidak berpeluang untk mendalami dengan lebih mendalam.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang memberikan peluang kepada pengembara untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza, menghadapi pelbagai cabaran, dan melalui proses pembelajaran malah refleksi diri yang lebih mendalam. Secara tidak langsung, mendapat kesedaran berdasarkan pengalaman yang mereka telah perolehi.


  1. Kesedaran


Aspek kesedaran untuk jangka pendek sangat sukar untuk dicapai dan kebiasaannya hanya bersifat sementara. Mereka tidak berpeluang untuk mendalami dan melalui pengalaman sebagai masyarakat tempatan. Saya boleh katakan, dalam tempoh singkat ini, lebih cenderung kepada memerhati dan mendengar. Tetapi mereka belum diberi peluang mendalami pengalaman tersebut.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang telah memberikan kesedaran yang lebih besar terhadap diri sendiri dan dunia sekeliling. Melalui perjalanan ini, saya belajar untuk mengenali kelemahan dan kekuatan diri. Saya juga semakin menghormati kepelbagaian manusia serta menyedari betapa pentingnya peranan alam sekitar terhadap manusia. Pengembaraan ini telah menjadikan saya untuk peka terhadap isu-isu yang berlaku yang melibatkan manusia dan alam sekitar dan menjadi individu yang lebih empati terhadap keadaan orang lain.


  1. Fleksibiliti


Fleksibiliti merupakan salah satu kelebihan besar pengembaraan jangka panjang berbanding jangka pendek.


Dalam perjalanan jangka pendek, jadual perjalanan biasanya telah dirancang dengan teliti, menjadikan kurang fleksibel. Masa yang terhad menyebabkan pengembara terikat kepada jadual yang ditetapkan.


Sebaliknya, pengembaraan jangka panjang memberi kebebasan pada saya untuk membuat keputusan tanpa tekanan. Saya boleh memilih untuk tinggal lebih lama di destinasi yang saya sukai atau mengubah rancangan perjalanan bergantung kepada situasi seperti cuaca, kos, keselamatan atau mood pada ketika itu. Fleksibiliti yang ada ini membolehkan saya mengambil masa untuk membuat keputusan yang lebih baik, seperti memilih sesuatu yang lebih murah atau mencuba pengalaman baharu tanpa rasa terburu-buru. Kebaikannya adalah untuk saya mengelakkan menanggung kerugian atau dapat lebih berjimat.


  1. Risiko dan Cabaran


Sepanjang pengalaman saya, saya boleh katakan mengembara jangka pendek menerima kurang risiko berbanding jangka panjang. Tetapi risiko dan cabaran tersebut kebiasannya mudah diatasi dan tidak begitu kompleks.


Namun, pengembaraan jangka panjang juga datang dengan cabaran dan risiko yang bersifat tidak pasti dan adakalanya begitu kompleks. Pengembaraan jangka panjang sering kali terdedah kepada situasi tidak menentu atau diluar jangkaan yang sebenarnya memerlukan persediaan yang rapi sebelum memulakan perjalanan. Sebagai contoh, pengembara mungkin menghadapi cabaran seperti ditipu (scam), mengalami masalah kesihatan, atau perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Oleh itu, persediaan awal seperti memahami budaya, peraturan, destinasi yang ingin dituju amat penting untuk mengurangkan risiko yang bakal berlaku.


  1. Kesan psikologi dan mental


Dari segi psikologi dan mental, saya mendapati pengembaraan jangka pendek tidak memberi tekanan besar atau perubahan hidup yang ketara. Tempoh yang singkat lebih mudah dirancang dan boleh dikawal. Namun, manfaat melalui pengembaraan jangka pendek boleh menjadi 'terapi' atau merawat jiwa walaupun bersifat sementara untuk mengurangkan tekanan (stress) dan dapat membantu saya merasa 'refresh' apabila kembali kepada rutin harian.


Mengembara jangka panjang juga membantu saya membina kebolehan membuat keputusan yang lebih baik walaupun adakalanya saya berada dalam tekanan. Kebolehan ini bukan sahaja berguna semasa dalam tempoh tersebut tetapi juga memberi kelebihan apabila saya kembali kepada kehidupan seperti biasa.


Selain itu, secara tidak langsung mengembara jangka panjang ini telah membina kekuatan mental untuk berhadapan dengan kegagalan. Belajar untuk tidak takut kepada kegagalan. Kegagalan pada saya juga tangga menuju kejayaan. Kegagalan memberikan saya banyak pengalaman hidup. Tidak semua perkara berjalan seperti yang dirancang dalam perjalanan. Ada masanya saya mengalami kerugian, kehilangan barang, ditipu oleh orang tempatan, atau menghadapi cabaran yang mengecewakan. Setiap cabaran yang dihadapi membantu saya menjadi lebih matang.


Secara keseluruhannya, saya tidak dapat nafikan pengembaraan jangka panjang terdapat perbezaan yang ketara berbanding jangka pendek. Terdapat banyak lagi aspek-aspek yang saya masih tidak terokai. Namun, pengembaraan jangka panjang telah mengubah cara saya melihat dunia dan cara saya berfikir. Akan tetapi, mengembara jangka pendek tetap memberikan kelebihannya selagi mana pengalaman yang diperoleh itu digunapakai dalam kehidupan harian sebagai refleksi diri.


"Perjalanan jauh mengajar pengalaman, bertemu manusia mengajar empati,

dan kembali pulang mengajar rasa syukur."



 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page