Sepanjang pengalaman saya mengembara sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang, adakalanya saya sendiri terlupa bahawa saya ini adalah pengembara Muslim atau memegang gelaran pengembara Muslim terutamanya dalam tempoh mengembara tersebut. Sudah menjadi kebiasaan, gelaran 'pengembara' ini digunakan kepada semua orang secara umumnya. Sama ada individu tersebut adalah bukan Islam mahupun orang Islam. Bagi orang Islam, kita terlupa bahawa kita adalah pengembara Muslim yang mempunyai perbezaan dengan pengembara bukan Muslim. Oleh yang demikian, selain saya akan menulis tentang pengalaman mengembara, saya turut akan berkongsi penulisan saya mengenai perspektif saya sebagai pengembara dan juga perspektif saya sebagai pengembara Islam.
Hasil daripada pemerhatian saya sepanjang pengalaman tersebut, banyak yang saya lihat terdapat perbezaan yang ketara dan perlu sentiasa mendidik hati atau sekurangnya mengingatkan diri supaya cuba sebaiknya berada dalam landasan (agama). Penekanan yang saya ingin berikan adalah supaya tidak mudah terpedaya dan terjerumus dengan situasi yang bakal dihadapi sewaktu dalam tempoh mengembara lebih-lebih lagi melibatkan agama. Hakikatnya, sepanjang pengalaman saya mengembara, banyak sisi gelap sama ada saya lihat, saya dengari atau saya sendiri yang mengalami situasi tersebut yang membuatkan saya muhasabah diri. Adakalanya saya termenung kerana memikirkan soal itu.
Apabila mengembara di negara yang bukan Islam terutamanya yang negara pemikirannya lebih 'terbuka', sudah pasti iman pengembara itu pastinya akan turun dan naik termasuklah saya sendiri. Ianya disebabkan banyak faktor yang boleh mempengaruhi pengembara tersebut secara tidak langsung. Antaranya adalah faktor persekitaran, budaya, cara mereka berfikir dan sebagainya. Faktor-faktor ini sebenarnya mampu mempengaruhi pengembara Islam terutamanya sekiranya tidak kekal dalam landasan (agama). Saya cuba sebaiknya mengelak untuk bercakap sisi gelap sepanjang saya lalui dalam tempoh mengembara supaya orang awam tidak mengetahui kesukaran atau konflik jiwa yang saya hadapi.
Dalam Islam, seperti yang kita tahu bahawa galakan mengembara telah disebut di dalam Al Quran. Sebagai seorang pengembara Muslim itu sebaik-baiknya cuba menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim sewaktu mengembara sekiranya ingin mencapai hikmah dan kelebihan yang diberikan kepada golongan yang bermusafir (pengembara). Antaranya adalah menjaga akhlak, akidah, ibadah dan sebagainya.
Jadi, bagaimanakah gambaran seorang Pengembara Muslim dari perspektif saya sebagai pengembara?
Bersederhana.
Tasawuf.
Sikap yang menyeluruh.
Selain itu, saya dapati bahawa kita sering terlupa aspek tasawuf selepas syariat. Apa yang saya lihat, tidak semua pengembara Muslim itu memiliki aspek tasawuf. Ingin saya tekankan di sini bahawa tidak lengkap tanpa tasawuf bagi yang bergelar pengembara. Kita mengutamakan syariat tetapi tidak mengaplikasikan aspek tasawuf. Tambahan lagi, sebagai seorang pengembara Muslim itu sendiri tidak boleh juga mementingkan tasawuf tetapi mengenepikan soal syariat. Sebaiknya seimbang dan menyeluruh. Sepanjang pengalaman saya mengembara di negara Islam terutamanya di negara-negara Arab, aspek tasawuf menghakis dalam diri mereka. Berbeza pula saya melihat orang Islam di Iran, ternyata mereka berbeza dengan negara-negara Arab. Mereka menyantuni tetamu dan ramah tidak kira terhadap orang bukan Islam atau orang Islam itu sendiri walaupun mereka dilabel sesat kerana hanya berbeza aliran. Saya ingin dan selalu menekankan tasawuf terhadap pengembara kerana tiada atau hilang tasawuf dalam diri mereka. Menurut saya, tasawuf adalah satu titik menjadikan diri saya berada di tahap paling bawah atau paling rendah sehinggakan merasakan saya tidak memiliki sesuatu termasuklah kuasa. Itu adalah tasawuf. Adakalanya kita ini merasakan kita memiliki apa yang kita ada atau memiliki sesuatu dan mudah memandang rendah kepada manusia lain kerana mereka tidak memiliki seperti yang kita ada.
Ketiga adalah sikap yang menyeluruh. Saya juga berpendapat bahawa pengembara Muslim perlulah mempunyai sikap yang menyeluruh memandangkan Islam adalah syumul (menyeluruh). Lama saya fikir tentang ini apakah yang dimaksudkan Islam adalah syumul. Saya sedar bahawa untuk mencapai erti Islam yang sebenar adalah bermula dengan sikap. Maka, perlu ada sikap menyeluruh. Dalam konteks sebagai pengembara, antara sebab saya menekankan sikap yang menyeluruh kerana dalam tempoh mengembara pastinya kita akan berjumpa dengan ramai orang yang berbeza, pemikiran dan cara mereka berfikir juga berbeza, sekiranya seseorang pengembara tersebut mempunyai sikap yang menyeluruh, saya percaya pengembara tersebut tidak mudah untuk menghukum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, secara tidak langsung boleh menyampaikan dakwah kepada mereka ini walaupun tidak berbincang soal agama kepada mereka yang bukan Islam. Hakikat sebenar adalah mereka yang bukan Islam ini cenderung melihat sikap pengembara tersebut berbanding perbincangan soal agama.
Justeru, sebagai refleksi diri, apakah yang anda lihat tasawuf itu sebenarnya dalam konteks mengembara? Hari ini saya perhatikan ramai yang menyebut mereka ini adalah tasawuf, tetapi adakah itu hakikat tasawuf? Tasawuf itu perlulah melihat dengan aspek menyeluruh. Syariat juga tidak boleh ditinggalkan atau diketepikan.