top of page

Pengalaman Pengembaraan yang Tidak Dapat Dilupakan.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Pengalaman yang ingin saya kongsikan ini lahir daripada diri saya sendiri yang merangkumi suka dan duka. Ia bukan sahaja semata-mata pengalaman yang menyeronokkan, tetapi terdapat pengalaman yang mencabar dan kurang menyenangkan. Namun begitu, apabila saya mengenang kembali pengalaman yang telah dilalui, ia merupakan suatu kenangan yang begitu berharga dan bermakna bagi diri saya.


1. Layanan dan Kebaikan Orang Tempatan


Kebaikan yang datang tanpa diduga. Sedangkan kita diajar untuk berhati-hati dalam berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Namun, saya tidak dapat nafikan bahawa kebanyakan penduduk tempatan, terutama di negara-negara Asia bersikap ramah, terutamanya dalam kalangan Muslim itu sendiri. Hanya gerak hati sahajalah memandu hati saya selepas berikhtiar sehabis baik. Ia telah menunjukkan bahawa kebaikan manusia boleh hadir pada waktu yang tidak saya duga.


Kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Adakalanya, saya menerimanya dalam bentuk makanan, minuman, tempat tinggal, dan juga duit poket. Menariknya, mereka yang memberikan kebaikan ini tidak pernah meminta balasan. Sewaktu saya di Tajikistan dan China, pengalaman saya menjadi lebih bermakna apabila mereka yang se-Islam hanya meminta saya mendoakan mereka, kerana mereka tahu bahawa doa orang bermusafir itu sangat mustajab. Jawapan lain yang pernah saya terima daripada mereka, “Kita sesama Islam adalah bersaudara.” Saya fikir ini mungkin sebagai suatu bentuk sedekah atau mereka hanya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai Muslim terhadap Muslim yang lain.


Saya bersama orang tempatan Mongolia yang bekerja sebagai polis dan pengembara dari Argentina.
Saya bersama orang tempatan Mongolia yang bekerja sebagai polis dan pengembara dari Argentina.

Layanan daripada orang bukan Islam pula atas dasar kemanusiaan. Mereka percaya bahawa dengan membuat kebaikan kepada orang lain, mereka pasti akan menerima kebaikan semula pada masa hadapan. Begitulah jawapan dan alasannya yang sering saya terima daripada mereka. Sepanjang pengembaraan ini, saya tidak melupakan jasa saudara se-Islam saya mahupun bukan Islam sepanjang dalam tempoh tersebut. Bagi seorang pengembara, perkara yang paling membahagiakan mereka adalah mendapat layanan dan kebaikan daripada orang tempatan. Adakalanya, saya merasakan mereka seperti perantaraan Tuhan bagi memudahkan perjalanan saya. Pengembaraan penuh dengan ketidakpastian. Walaupun kebaikannya hanya sekadar dijemput minum teh, tetapi mampu menghilangkan dahaga dalam perjalanan. Malah kebaikan yang nampak kecil ini sebenarnya saya telah mendapat maklumat daripada mereka yang sangat membantu saya dalam perjalanan.


Layanan dan kebaikan seperti ini mungkin kurang dirasai oleh pelancong. Namun, bagi mereka yang hidup secara nomad dan mengembara dalam tempoh yang panjang, ia membawa pengalaman yang sangat bermakna. Kenangan tersebut sukar untuk saya lupakan. Bagi saya, 'human touch' (manusiawi) yang menjadi penentu sama ada baik negara tersebut ataupun tidak. Layanan baik masyarakatnya terhadap orang luar mencerminkan sesebuah negara, walaupun negara tersebut sangat dikenali. Akan tetapi, saya berpandangan bahawa terdapat negara yang tidak dikenali dan tidak begitu maju tetapi layanan mereka terhadap orang luar sangat baik. Saya tidak dapat nafikan tentang itu.


Semoga Tuhan membalas segala kebaikan mereka semua.


2. Urusan Imigresen


Urusan imigresen suatu pengalaman yang mencabar dan sukar untuk dilupakan. Kita akan berurusan dengan mereka setiap kali ingin memasuki negara luar secara sah dan perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, termasuk prosedur berkaitan pasport dan visa. Keperluan visa pula berbeza mengikut dasar negara yang kita kunjungi. Tidak kira walaupun kita bekerja di luar negara sekalipun bertahun-tahun lamanya dan sudah menganggap seperti rumah kedua, masih perlu melalui proses dan prosedur yang telah ditetapkan.


Bagi saya, urusan imigresen antara perkara mendebarkan kerana terdapat ketidakpastian sama ada saya dibenarkan masuk ataupun tidak. Perasaan ini dirasakan lebih lagi apabila tidak menggunakan agensi pelancongan. Semuanya terpaksa berdikari sendiri. Walaupun tiada kesalahan dilakukan, perasaan bimbang itu tetap wujud. Pengalaman ini bukan sahaja hanya saya yang rasai. Tetapi orang lain juga merasakan hal yang sama seperti saya.


Urusan imigresen sememangnya pengalaman yang sukar untuk diramalkan. Apabila saya mendengar pengalaman buruk orang lain yang pernah menjadi mangsa keadaan walaupun mereka berniat baik, menimbulkan rasa takut pada diri saya. Bahkan, saya sendiri pernah melalui situasi mencabar apabila barang yang dibawa telah dirampas. Makanan seperti Nutella dan power bank 20,000 mAH yang begitu penting buat saya telah dirampas.


Pengalaman paling mencabar saya alami adalah sewaktu di sempadan China-Mongolia, China-Kazakhstan, dan Mongolia-Rusia. Pemeriksaan ketat dilakukan, termasuk pasport, visa, serta kandungan dalam aplikasi telefon pintar. Diari saya juga diselak satu persatu dan disoal tentang kandungan yang ditulis di dalam diari tersebut. Saya telah dibawa ke sebuah bilik untuk diperiksa dan juga disoal siasat secara mendalam tentang tujuan perjalanan saya dan destinasi selepas ini yang akan saya tuju. Selain itu, mereka meminta saya untuk membuka tudung dan badan saya juga diperiksa. Pengalaman saya pernah ditahan untuk pemeriksaan lanjut lebih daripada satu jam lamanya.


Pengalaman lain yang mendebarkan sewaktu di imigresen Turkmenistan terjadi apabila saya secara tidak sengaja melibatkan diri dalam situasi yang tidak pernah saya jangkakan. Saya tidak mengetahui bahawa membawa masuk air Coca-Cola dalam kuantiti besar adalah dilarang di negara tersebut. Kejadian bermula sewaktu saya di imigresen di Uzbekistan, seorang wanita tempatan Turkmenistan telah menegur saya. Beliau tidak fasih berbahasa Inggeris telah meminta bantuan saya untuk membawa barang yang ingin dibelinya di sebuah kedai berdekatan dengan jarak pejabat imigresen Uzbekistan hanya 100 meter. Beliau telah membeli satu karton Coca-cola dan beliau meminta bantuan daripada saya untuk membawanya. Namun, ketika pemeriksaan imigresen di Turkmenistan, seorang pegawai lelaki bertanya tentang pemilik air Coca-Cola tersebut. Beliau dengan segera menunjuk ke arah saya. Barulah saya sedar apa yang telah berlaku pada waktu itu. Saya sudah dapat 'menangkap' bahawa mungkin terdapat larangan untuk membawa masuk air Coca-cola ke negara tersebut. Insiden ini mengajar saya agar lebih berhati-hati membantu orang lain di sempadan negara, terutama jika tidak mengetahui sepenuhnya tentang peraturan di negara lain.


Selain itu, urusan imigresen memerlukan kesabaran yang tinggi kerana prosesnya sering memakan masa yang lama dan terpaksa beratur panjang kerana jumlah pelancong yang datang dari seluruh dunia, terutama di negara yang masih menggunakan sistem lama bahkan masih manual. Pengalaman urusan imigresen suatu pengalaman yang mencabar dan tidak dapat saya lupakan.


3. Pengembara dari Seluruh Dunia.


Pengalaman bertemu dengan pengembara dari seluruh dunia adalah salah satu kenangan yang amat bermakna. Ketika berada di luar negara, suatu perkara yang melegakan saya apabila bertemu dengan sesama pengembara kerana kami dapat berkongsi pengalaman dan perjalanan yang hampir sama. Walaupun mereka datang dari latar belakang yang berbeza, seperti ada kesatuan atau persamaan yang tercipta. Mereka seolah-olah memahami apa yang saya rasai. Inilah pengembara. Emosi dan perasaan tidak janggal untuk dikongsikan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Perkongsian yang diisi dengan gelak ketawa, perbincangan dan borak santai. Walaupun pertanyaan yang diberikan dan diterima selalunya sama seperti "Where are you from?", "How are you?", tetapi kami boleh mengulanginya berpuluh-puluh kali kerana jawapan yang diberikan rasanya berbeza apabila bertemu orang yang berlainan.


Bertemu dengan pengembara berbasikal dari Rusia, Jerman dan Itali sewaktu saya berada di Mongolia.
Bertemu dengan pengembara berbasikal dari Rusia, Jerman dan Itali sewaktu saya berada di Mongolia.

Saya cukup terkesan dengan pengembara yang tegar dalam dunia pengembaraan, namun mereka tetap merendah diri dan positif. Mereka ini sangat sukar untuk ditemui, kerana mereka mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas dalam kehidupan dan kenapa mereka mengembara. Tidak hanya sekadar mengembara untuk berseronok, tetapi mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan. Alangkah indahnya jika hubungan baik antara pengembara dapat dikekalkan supaya saya dapat mempelajari tentang kehidupan daripada mereka.


Walaupun kebanyakan pengembara yang saya temui hanya tempoh yang sekejap sahaja, ada segelintir daripada mereka yang saya masih berhubung sehingga ke hari ini. Saya juga pernah bertemu dengan pengembara dari Malaysia yang berusia lebih 80 tahun sewaktu di Uzbekistan, dan sehingga kini, kami masih berhubung. Saya mengenali mereka ini semua bermula dengan perbualan secara spontan dan saya tidak menyangka sehingga ke hari ini masih dapat menjalinkan hubungan baik sebagai sahabat.


4. Penipuan dan penindasan


Pengalaman berhadapan dengan penipuan dan penindasan memang sangat sukar untuk dilupakan, terutama apabila ia berlaku di luar negara. Sekiranya berlaku di luar negara seperti ditimpa musibah yang besar. Apabila berlaku pada diri sendiri ini boleh membuatkan saya tidak mahu mengembara lagi disebabkan pengalaman buruk. Perasaan kecewa dan trauma pasti membekas di hati, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tindakan orang Islam tempatan sendiri yang melakukan perbuatan seperti ini. Saya terkesan dengan pengalaman 'scam' semasa menukar wang, di mana saya dikenakan caj yang mahal dan layanan yang tidak setara dengan pengembara yang lain. Kadangkala, layanan eksklusif hanya diberikan kepada pengembara berkulit putih. Mungkin saya muslim atau pelancong dari luar negara kerana itu saya mendapat layanan yang agak berbeza.


Pengalaman saya yang lain yang memberi kesan mendalam sehingga kini adalah apabila saya bertemu dengan seorang wanita tempatan di Mongolia melalui sebuah grup di Facebook berkaitan Couchsurfing. Saya menyangka beliau memiliki profil Couchsurfing yang sah, namun ternyata tidak. Setelah saya menginap di rumahnya, beliau meminta bayaran daripada saya. Saya menyemak profilnya di Couchsurfing, ternyata tidak wujud. Saya terpaksa menjaga anak-anaknya selama tiga hari dua malam, bahkan pada malam pertama beliau telah pergi ke kelab malam dan pulang keesokan harinya dengan keadaan sedikit mabuk. Saya berada dalam situasi yang sangat sukar pada hari tersebut sehingga waktu malam. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Pada keesokan harinya, saya ditinggalkan bersama anak-anaknya lagi dan beliau telah meminta saya untuk menghantarkan anaknya ke tadika. Dunia saya seakan gelap pada waktu itu. Terlalu banyak yang saya rasa terpaksa hadapi lebih-lebih lagi saya berada dalam kepenatan kerana berbasikal secara solo. Saya sedar saya telah diambil kesempatan. Saya tidak sabar menunggu masa untuk keluar dari situasi tersebut. Saya segera membuat keputusan untuk meninggalkan rumahnya dan terus menginap di hostel. Kejadian ini meninggalkan trauma dan menjadi salah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.


Pengalaman saya di India juga memberikan kesan mendalam di hati saya supaya saya lebih berhati-hati selepas ini. Sewaktu saya berada di India Gate (New Delhi), saya bertemu seorang peniaga wanita yang ramah sikapnya terhadap pelancong dan ingin bersalaman dengan saya. Namun, selepas bersalaman, beliau telah memaksa saya memberikannya wang. Saya hanya memberi sejumlah yang kecil, namun beliau memarahi saya dan memaksa saya untuk memberikan jumlah yang lebih besar. Saya menolak dengan memberi isyarat "No!" dan saya terus beredar.


Walaupun ditipu dan ditindas, pengalaman yang saya hadapi tidak melemahkan semangat untuk terus mengembara. Saya menyedari bahawa untuk menangani penipuan, saya perlu lebih berhati-hati dan terus mempelajari skil sebagai ikhtiar hidup di luar negara. Saya redha dengan pengalaman ini dan saya melihatnya sebagai suatu hikmah yang boleh dipelajari. Sekurangnya, saya tidak menghadapi musibah yang lebih teruk daripada itu.


Namun, peringatan penting, tidak semua kejadian itu boleh dianggap sebagai penipuan atau "scam". Kadang-kadang, terdapat salah faham sewaktu berkomunikasi. Mungkin kita tidak memahami mereka sepenuhnya. Begitu juga mereka yang tidak memahami kita kerana perbezaan bahasa dan budaya yang menjadi faktor penghalang. Kita perlu lebih berhati-hati, tetapi juga lebih terbuka apabila melalui perbezaan seperti ini.


5. Kelebihan Menjadi Musafir


Memang benar, banyak petikan dari Al-Qur'an dan Hadis mengenai mengembara serta kelebihannya. Saranan untuk mengembara telah wujud sejak zaman para nabi dan rasul yang boleh diambil pengajarannya. Kelebihan musafir ini tidak hanya terhad kepada perjalanan ke luar negara, tetapi juga di dalam negara sendiri. Selagi mana ia memenuhi syarat yang ditetapkan.


Salah satu sebab saya mengatakan tentang ini adalah kerana saya ingin memperoleh kelebihan sebagai musafir. Doa dari musafir sangat mustajab dan tidak diragukan. Berhati-hatilah doa orang yang bermusafir. Seringkali, doa orang yang sedang dalam perjalanan dikabulkan, dan ini adalah satu anugerah bagi umat Islam.


Menunaikan solat jamak dan qasar sewaktu di pergunungan Haft Kul, Tajikistan
Menunaikan solat jamak dan qasar sewaktu di pergunungan Haft Kul, Tajikistan

Saya juga sering melihat dan mendengar bagaimana banyak musafir Islam yang dipermudah urusan mereka walaupun ada waktunya diuji dalam perjalanan. Saya percaya bahawa melalui pengalaman mengembara, akhirnya kita akan merasai kemanisan yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang berstatus musafir.


Kisah pengembara dari Bosnia iaitu Senad Hadzic yang berjalan kaki menuju ke Mekah selama 10 bulan adalah contoh luar biasa tentang ketabahan dan keimanan seorang pengembara. Beliau menempuh pelbagai cabaran, termasuk cuaca ekstrem -35°C di Bulgaria dan 44°C di Jordan, serta merentasi negara-negara yang berisiko tinggi. Namun, dengan perlindungan Allah, beliau berjaya tiba di Mekah dan kemudiannya beliau masih mempunyai semangat untuk melakukan perjalanannya lagi ke Palestin pula. Kisah ini menunjukkan betapa Allah memelihara musafir dalam perjalanan mereka.


Apabila kita meneliti doa musafir yang diajarkan oleh Rasulullah, begitu terkesan disetiap bait-bait doanya. Dalam kitab Riyadh al-Solihin, Allah telah memberi jaminan bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang yang bermusafir. Jaminan ini bukan sahaja bermakna bahawa Allah akan memudahkan urusan orang yang bermusafir sahaja, tetapi juga melindungi mereka dengan memberikan pertolongan dan bantuan di sepanjang perjalanan. Allah juga berperanan sebagai 'penjaga' kepada ahli keluarga yang ditinggalkan dan kepada segala sesuatu yang berada di bawah perlindungan-Nya.


Sebagai seorang musafir, kita juga diberi kemudahan dalam melaksanakan ibadah. Antaranya, kita diberikan rukhsah (keringanan) dalam solat dan puasa. Pengalaman saya mengembara secara nomad, saya sentiasa mengamalkan solat jamak dan qasar secara berterusan. Saya juga pernah mengalami pengalaman berpuasa di luar negara di Hong Kong, Macau, China, Mongolia, Kazakhstan dan Jepun, di mana terdapat keadaan dan situasi terpaksa saya membuat keputusan untuk berbuka puasa kerana cuaca yang terlalu panas pada musim panas dan waktu siangnya yang sangat panjang untuk menahan diri daripada makan dan minum. Saya telah diberikan ruang untuk saya merasai sendiri betapa besar rahmat dan kemudahan yang Allah berikan mengikut situasi tertentu, khususnya bagi mereka yang sedang bermusafir.


6. Makanan yang sama hampir setiap hari


Apabila berbicara mengenai hal makanan, saya bukanlah seorang 'food hunter' atau pencinta makanan yang gemar meneroka pelbagai jenis makanan baru ketika berada di luar negara. Bagi saya, selagi makanan tersebut masih dalam bajet dan harganya murah, ia sudah memadai untuk memenuhi keperluan hidup saya padda hari tersebut. Apabila mengembara, makanan bukanlah fokus utama saya, tetapi lebih kepada kelangsungan hidup. Namun, adakalanya, saya diberi peluang untuk menikmati makanan yang diberikan oleh orang tempatan. Terdapat beberapa hidangan yang masih saya ingat hingga ke hari ini. Antaranya adalah biang-biang, plov, sashlisk, dan beshbarmak. Walaupun hanya mencubanya beberapa kali sahaja, rasa dan kenangan itu masih dalam ingatan saya.


Hakikatnya, saya tidak dapat mengingati setiap jenis makanan yang pernah saya cuba sepanjang pengembaraan. Kebanyakan orang akan mengingati makanan yang belum pernah mereka rasa. Namun, bagi saya, sebaliknya. Saya lebih mengingati makanan yang saya makan hampir sama setiap hari, terutamanya hidangan yang saya masak sendiri. Kebanyakan menu yang saya makan adalah menu yang sama. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Bahan-bahan masakan yang wajib untuk saya memasak yang saya sentiasa gunakan adalah bawang, kentang, tomato, timun, cili, garam, gula, pasta dan telur. Inilah bahan-bahan yang saya bergantung sepenuhnya kerana bahan-bahan ini mudah didapati di setiap negara yang saya kunjungi dan harganya murah. Adakalanya, kebaikan datang daripada orang tempatan sendiri, mereka menghulurkan saya pelbagai jenis makanan sewaktu saya sedang berkhemah.


Kebaikan yang diberikan orang tempatan dapatlah saya merasai makanan yang sedap dan berlainan.
Kebaikan yang diberikan orang tempatan dapatlah saya merasai makanan yang sedap dan berlainan.

Meskipun makanan yang saya makan hampir sama setiap hari, pengalaman ini mendidik hati saya untuk belajar secara bajet. Makanan yang sederhana dan tidak banyak variasinya itu mengingatkan saya tentang rasa syukur tatkala menikmati makanan yang berulang-ulang yang membuatkan saya rasa bosan untuk mengulanginya.


Tidak saya sangka, makanan-makanan yang sederhana ini telah menjadi kenangan yang sangat bermakna dalam hidup saya. Muncul rasa sebak apabila mengingati kenangan saya ketika itu. Adakalanya, saya akan memasak makanan tersebut sebagai cara untuk melepaskan rindu.


7. Pegangan. Kepercayaan, Pemikiran


Pengalaman ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya kongsikan kerana boleh mencetuskan perdebataan dan juga kritikan. Ia adalah satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dari sudut emosi, apabila saya bertemu dengan perbezaan dalam pegangan, kepercayaan, pemikiran, dan juga agama. Tidak sama sekali saya ingin menzahirkan rasa tidak suka terhadap perbezaan tersebut. Ia membuka mata saya untuk menjadi lebih bersifat terbuka dan saya sedaya upaya untuk untuk menghormati setiap perbezaan.


Namun, dalam perbezaan itu, saya tidak dapat menafikan bahawa ada waktu saya berasa tertekan hanya kerana saya seorang Muslim. Ada kalanya, saya disinis oleh segelintir daripada mereka. Mereka sering menolak untuk dikaitkan dengan agama. Pada pandangan mereka, kita semua adalah sama atas dasar kemanusiaan. Ironinya, jika kita semua dianggap sama, mengapa mereka tidak menunjukkan sikap yang terbuka dan jujur apabila membicarakan soal agama? Namun, saya tidak pernah bercakap tentang agama kepada orang bukan Islam melainkan saya ditanya atau mereka memulakannya.


Kadang-kadang, saya melihat mereka begitu bijak berkata-kata mengenai kemanusiaan, namun apabila melibatkan agama, mereka bersikap menarik diri. Sikap bias ini membuatkan saya berfikir, apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan kemanusiaan itu? Saya juga tidak terlepas daripada menerima layanan yang berbeza hanya kerana saya bertudung dan seorang Muslim. Walaupun perasaan itu menyakitkan tetapi saya menerimanya dengan berlapang dada.


8. Keindahan Islam


Saya tidak mengangkat pengalaman ini hanya kerana saya seorang Muslim. Namun, dalam pengembaraan, saya merasakan keindahan Islam lebih lagi apabila berada di luar negara. Kita sering mendengar bahawa untuk mengenal Allah, kita perlu mengenal diri kita. Dan untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam, kita disarankan untuk melihatnya di luar negara. Walaupun mungkin berbeza identiti, namun selagi namanya Islam tetap terdapat persamaan.


Saya sewaktu berada di madrasah yang terletak di Hohhot, China.
Saya sewaktu berada di madrasah yang terletak di Hohhot, China.

Namun, dalam perjalanan ini, saya juga menyaksikan sisi keburukan yang datang daripada penganutnya sendiri. Banyak yang saya temui, bukan kerana agama Islam itu yang salah, tetapi penganutnya sendiri yang tidak memahami Islam yang sebenar kerana agama ini telah diberikan panduan yang jelas.


Keindahan Islam ini dapat dilihat daripada pengalaman saya apabila saya memerlukan bantuan atau pertolongan daripada orang tempatan Muslim. Sekiranya saya ingin mendapat bantuan daripada orang tempatan Islam sama ada restoran halal, bantuan makanan, tempat untuk tidur dan tempat tinggal dengan cara pergi ke masjid. Saya berasa lebih selamat apabila saya berada dalam komuniti Islam lebih-lebih lagi di masjid. Sepanjang pengalaman saya, saya boleh katakan banyak kebaikan yang datang dalam pelbagai bentuk melalui masjid. Jika saya berkesempatan, saya akan pergi ke masjid untuk mendapatkan pertolongan.


9. Pengangkutan keretapi atau tren.


Sejak saya masih kanak-kanak sehingga kini, saya banyak bergantung dengan tren. Kebetulan suatu ketika dahulu saya membesar di belakang rumah terdapat stesen tren. Sejak saya berumur 11 tahun lagi, mak dan ayah telah memberi kepercayaan kepada saya untuk balik ke rumah menggunakan tren dan juga bas awam. Sejak itu, saya menjadi sangat gemar dengan tren. Bagi saya, tren bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi juga punca rezeki yang membawa saya pergi dan balik kerja.


Tren Trans-Mongolia dari Ulaanbaatar ke Moscow (5 hari 4 malam)
Tren Trans-Mongolia dari Ulaanbaatar ke Moscow (5 hari 4 malam)

Saya tidak pernah menyangka bahawa saya telah diberi peluang untuk menaiki tren di luar negara seperti Myanmar, Singapura, Korea, Jepun, Sri Lanka, China, Mongolia, Rusia, Azerbaijan, Iran, Kazakhstan, Turkmenistan, UAE, hingga Taiwan. Pengalaman tren yang saya naiki dan paling panjang jaraknya adalah menaiki TransMongolia selama lima hari empat malam dari Ulanbaatar ke Moscow. Perjalanan itu bukan sekadar perjalanan jauh, tetapi sebuah pengalaman yang sangat bermakna buat diri saya.


Satu perkara yang saya sangat gemar tentang tren adalah disebabkan rasa selamat yang saya rasakan sepanjang perjalanan. Saya tidak mempunyai rasa takut. Kemudahan di dalam tren membuatkan perjalanan lebih menyenangkan dan selesa berbanding sekiranya saya memilih untuk menaiki bas. Saya dapat menikmati pemandangan indah di luar tingkap. Bukan itu sahaja, tren telah menjadikan tempat untuk saya mendapatkan ilham untuk menulis. Setiap perjalanan telah membawa saya berjumpa dengan pelbagai manusia.


Kesimpulannya, saya dan tren, tidak dapat dipisahkan. Lebih dari 20 tahun saya telah bergantung dengannya. Pengangkutan tren jugalah telah banyak mengajar saya tentang kehidupan.


Sebenarnya terdapat beberapa lagi pengalaman yang saya tidak dapat lupakan antaranya keindahan alam semulajadi, pengalaman saya menumpang kereta dan lori orang tempatan dan sebagainya. Akan tetapi, pengalaman yang saya sebutkan ini antara pengalaman yang sangat terkesan dalam jiwa saya sehingga kini.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page