top of page

'Mengembara' vs 'Melancong'.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Sering kali saya melihat ramai di antara kita telah salah faham dan tidak dapat membezakan antara mengembara dan juga melancong. Namun, sehingga kini masih terdapat kritikan mengenai perbezaan antara mengembara dan melancong. Bahkan, ada yang tidak dapat membezakan antara pengembara dan juga pelancong. Oleh itu, saya akan menerangkan serba sedikit menurut pengalaman saya daripada perspektif seorang pengembara bagi memudahkan orang awam untuk membezakannya.


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, melancong bermaksud melawat sambil melihat­-lihat (bersenang-senang). Manakala, mengembara pula ialah pergi ke mana-mana (dgn tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yg ditujui), bertualang, menjelajah: bertahun-tahun ia ~ dr sebuah negara ke negara lain. Kita dapat lihat melalui definisi ini terdapat perbezaan antara melancong dan mengembara. Kelihatan seakan sama hakikatnya tidak sama.


Selain itu, satu kajian yang dihasilkan Mehmet Mehmetoglu (2004) iaitu Tourist or traveller? A typological approach, beliau menyatakan bahawa terdapat perbezaan yang sangat ketara antara pelancong dan pengembara. Menurut beliau lagi untuk membuat penilaian terhadap mereka ini sama ada pelancong atau pengembara bukanlah berdasarkan latar belakang demografi semata-mata tetapi melalui kepada sikap, motivasi, gaya hidup dan pengalaman terhadap perjalanannya. Saya turut menyokong dengan hasil kajian beliau ini.


Saya ringkaskan hanya empat (4) aspek yang boleh dilihat supaya mudah untuk membezakan antara pengembara dan juga pelancong selepas meneliti secara menyeluruh daripada pengalaman dan juga hasil kajian.


  1. Motivasi

  2. Sikap

  3. Kesedaran

  4. Risiko dan Cabaran


Dari aspek motivasi, saya dapat lihat seseorang pengembara itu motivasinya lebih kepada mencari pengalaman yang bermakna selain mencari pengetahuan dan kemahiran sepanjang perjalanannya. Mereka ini lebih cenderung untuk menyelami diri mereka dengan budaya masyarakat tempatan untuk mendapatkan sebuah pengalaman yang sebenar. Mereka juga cenderung untuk meneroka atau mencari pengalaman dalam suatu tempoh yang lebih panjang.


Manakala, pelancong pula saya lihat motivasinya lebih cenderung untuk bersenang-senang, santai, rekreasi, bercuti dan objektif mereka untuk mendapatkan keseronokan. Mereka juga tidak cenderung untuk menyelami cara hidup atau budaya masyarakat tempatan dengan lebih mendalam.


Sering kali saya menyebut sebelum ini bahawa mana-mana individu yang menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan (tour agency) itu adalah dikira melancong. Ianya bukan mengembara. Saya memberi alasan bahawa individu yang menggunakan agensi pelancongan, tujuannya untuk bersenang-senang dan kebergantungannya terhadap seseorang untuk menguruskannya supaya mereka tidak menanggung risiko yang besar dan perjalanan lebih tersusun dan lancar seperti yang telah ditetapkan. Saya memberi contoh sebegini supaya orang awam lebih mudah faham tentang maksud melancong dan pelancong.


Aspek yang kedua ialah sikap. Sepanjang pengalaman saya mengembara, sikap seorang pengembara itu lebih terbuka (open-minded) dan fleksibel akan perjalanannya. Mereka tidak meletakkan matlamat utama mereka untuk meneroka tempat-tempat pelancongan untuk dilawati. Mereka juga tidak mempunyai perancangan yang tetap kerana mereka tidak pasti tentang perjalanan selepas ini atau akan datang bagaimana kerana mereka ini selalunya akan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dengan melihat pelbagai aspek antaranya bajet, cuaca dan sebagainya. Kebiasaan yang saya lihat sebagai seorang pengembara, keputusan itu boleh menjadi spontan atau membuat sesuatu keputusan secara tiba-tiba di luar jangkaan. Selain itu, cara mereka berfikir atau pemikiran mereka lebih berbeza berbanding pelancong. Cara mereka memberi pandangan atau perspektif yang lain lebih bermakna memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang luas baik sebagai pengembara atau orang biasa. Mengenai aspek sikap ini, saya pernah berpendapat bahawa sikap sebagai seorang pengembara yang berkualiti ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan mereka terutamanya cara berfikir dengan lebih terbuka dan fleksibel. Tidak hanya terhad dalam tempoh perjalanannya.


Ketiga adalah aspek kesedaran. Pada pendapat saya, matlamat pelancong lebih kepada bersenang-senang. Mereka lebih tertarik dengan tempat-tempat yang mereka lawati dan lebih cenderung untuk mencapai kepuasan peribadi. Malah, saya boleh katakan pelancong ini lebih cenderung memerhati berbanding meneroka dan melalui pengalaman itu sendiri. Kesedaran untuk bertindak mengenai apa yang berlaku disekitar mereka sewaktu mereka lalui sepanjang tempoh perjalanan itu, tidak bermatlamatkan jangka panjang dan tidak mengalami kesan yang terlalu mendalam. Hanya jangka pendek atau bersifat sementara sahaja.


Manakala, untuk pengembara pula saya berpendapat bahawa mereka ini mempunyai kesedaran yang mendalam selepas mereka meneroka dan mencari pengalaman. Mereka bersifat sensitif apa yang mereka lalui sepanjang perjalanan dan saya dapat lihat mereka ini kebanyakannya mengambil tindakan atau inisiatif dengan mengubah menjadi individu yang lebih baik selepas mereka mendapat kesedaran daripada hasil perjalanan mereka. Beberapa pengembara yang saya ketemui sewaktu dalam perjalanan, mereka telah membuka mata saya dan membuatkan saya berfikir lama dan mendalam. Kebanyakan antara mereka ini mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar. Contohnya, mereka mempunyai kesedaran yang tinggi untuk tidak menggunakan sebarang elemen plastik dan menggantikan dengan bahan-bahan alam semulajadi supaya dapat mengurangkan kerosakan alam sekitar. Bahkan penggunaan peralatan mandian juga, mereka cenderung untuk memakai daripada bahan-bahan organik atau semulajadi.


Akhir sekali adalah aspek risiko dan cabaran. Pengembara lebih banyak menghadapi risiko dan cabaran berbanding pelancong. Mereka lebih terdedah dengan risiko keselamatan seperti kecurian, ragut, dan penipuan. Selain itu, risiko dengan cuaca yang tidak menentu, kewangan yang tidak stabil, ancaman atau pengaruh negatif daripada pihak luar, kejutan budaya atau persekitaran, masalah komunikasi, masalah kesihatan, tanggapan yang salah dan negatif, diskriminasi, prejudis dan sebagainya. Mereka yang bergelar pengembara ini lebih berdikari dan banyak mengurusnya sendiri. Berbanding pelancong, mereka kurang terdedah dengan risiko dan cabaran yang saya sudah terangkan dengan lebih terperinci seperti di atas. Risiko mereka lebih rendah, perancangan telah ditetapkan dan cenderung untuk tidak mahukan cabaran.


Rujukan:-

  1. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=melancong

  2. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mengembara

  3. Mehmetoglu, M. (2004). Tourist or traveller? A typological approach. Tourism Review, 59(3), 33–39. https://doi.org/10.1108/eb058441

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page