Di kawasan timur Turki yang kebanyakannya tidak diketahui oleh orang ramai ternyata terdapat banyak tempat bersejarah dan tempat tarikan pelancong. Namun, kawasan ini masih tidak mesra pelancong. Jika bertanya kepada orang tempatan dari barat Turki, boleh dikatakan ramai yang tidak pernah pernah ke sana melainkan pekerja kerajaan dan juga askar yang menjalani khidmat wajib tentera.

Oleh itu, saya ingin berkongsi pengalaman saya sepanjang pengembaraan di timur Turki dari segi pengangkutan, keselamatan, masyarakat tempatan, dan tempat-tempat yang boleh dilawati.
1. Untuk perjalanan menggunakan pengangkutan bas ke sana, boleh menyemak info bas melalui laman sesawang atau aplikasi Obilet. Untuk perjalanan ke negeri-negeri besar seperti Erzurum, Van, dan Mardin pula, bas perjalanan ke sana agak kerap. Namun, untuk negeri-negeri kecil seperti Siirt dan Muş, kekerapan bas hanya sekali sehari.
2. Untuk perjalanan ke daerah-daerah kecil, kadang-kadang tiada bas untuk perjalanan ke sana. Hanya Dolmuş seperti bas mini sahaja yang disediakan. Dolmuş pula tidak sistematik seperti bas kerana mereka akan meneruskan perjalanan sebaik sahaja penumpang penuh. Kadang-kadang, Dolmus tidak beroperasi pada hujung minggu.
3. Bagi perjalanan jauh, masyarakat di sana suka membawa barang-barang yang banyak, seperti makanan dan barang sehingga berguni-guni.
4. Jika ada yang berniat untuk membawa basikal, saya cadangkan sama ada naik keretapi dan kemudian menyambung perjalanan pendek dengan bas. Alternatif lain, boleh menyemak perjalanan di aplikasi Obilet terlebih dahulu untuk melihat status sama ada dipenuhi penumpang atau tidak. Saya sarankan beli tiket dari bas yang sedikit penumpangnya. Boleh berunding dengan pemandu bas untuk bayaran tambahan untuk basikal. Namun, jangan bayar lebih daripada harga seorang penumpang.
5. Jandarma (polis tentera) agak kerap melakukan pemeriksaan di sini. Bagi mereka yang berstatus pelarian (refugee), mereka dikehendaki mengambil kebenaran perjalanan dari pihak berkuasa. Kadang-kadang, syarikat bas dan pemandu teksi berat hati untuk mengambil orang asing kerana mereka boleh didenda jika membawa pelarian tanpa surat kebenaran ataupun pendatang asing tanpa izin. Tunjukkan pasport kepada pemandu bas dan terangkan bahawa kita bukan pelarian dan ianya tidak memerlukan kebenaran perjalanan.
6. Setakat ini, selama saya menaiki teksi di sini, saya tidak pernah mengalami penipuan. Kebanyakan mereka menggunakan meter perjalanan. Sebagai penumpang, kita boleh menyemak harga standard teksi di perhentian teksi. Setakat hari ini, perjalanan 5 km tidak lebih daripada T200 (sekitar R24.46). Jika menemui pemandu teksi yang boleh dipercayai, ambil nombor telefonnya untuk perjalanan seterusnya. Berbual dengan pemandu teksi secara ramah dan tanyakan tentang tempat pelancongan atau kedai makan yang sedap.
7. Bagi penginapan di hotel, saya kurang percaya dengan harga yang dipaparkan di Google Maps. Sama ada saya terus pergi ke Öğretmenevi atau pergi ke setiap hotel yang berdekatan dan bertanya harga. Selain itu, boleh juga bertanyakan kepada penduduk tempatan mengenai hotel yang murah. Saya pernah menginap di hotel untuk seorang dengan bayaran T700 (sekitar RM 85.63) pada Februari 2025 dengan menggunakan cara bertanya kepada penduduk tempatan.
8. Ada juga sesetengah tempat yang penduduknya mengamalkan tarekat dan mempunyai madrasah. Penduduknya kadang-kadang mempelawa pengunjung untuk bermalam di madrasah. Tiada jaminan dari segi keselamatan. Setakat ini, tiada masalah yang berlaku ketika saya dan beberapa rakan lelaki pernah bermalam di madrasah. Jika kita mengikut cara mereka, makan dan berbual dengan mereka, serta menunjukkan akhlak yang baik, mereka akan melayan terhadap kita dengan baik sebagai tetamu.
9. Masyarakat di sana boleh dikatakan masih berpegang kuat kepada budaya dan adat. Kebanyakan mereka berasal dari etnik Kurdi dan bermazhab Syafie. Ada juga yang berpegang pada ajaran Alevi. Ada yang mengamalkan ajaran agama, ada yang tidak. Kebanyakan tempat tiada kelab malam, dan saya tidak pernah melihat orang minum arak secara terbuka di sana.
10. Semangat kekeluargaan mereka agak kuat. Mereka masih disatukan dalam kabilah yang dipanggil aşiret. Malah, nisbah perkahwinan sesama keluarga (kahwin sepupu) agak tinggi dalam kalangan mereka.
11. Ideologi politik mereka agak pelbagai. Ada yang berpegang kepada nasionalisme Turki, Islamik Kurdi (seperti parti Hüda Par), dan sosialisme/komunisme Kurdi.
12. Saya sarankan supaya elakkan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan dengan penduduk di sini. Masyarakat di sini agak ‘overprotective’ terhadap wanita mereka. Jangan sesekali menegur wanita, terutamanya wanita yang berjalan dengan keluarga, melainkan kita yang ditegur oleh mereka dahulu.
13. Tidak perlu berbincang mengenai hal politik di tempat awam. Orang sekeliling akan ikut serta. Tunjukkan sikap neutral dan keinginan untuk belajar tentang mereka. Jangan tunjukkan simbol bozkurt (serigala untuk kebangsaan Turki) dan simbol "peace" yang dikaitkan dengan sosialisme Kurdi.
14. Dari segi keselamatan, saya masih percaya ia berada di bawah jaminan. Polis (bekçi) agak kerap melakukan rondaan dari lewat malam sehingga waktu subuh. Namun, sebagai pengembara, kita perlu berwaspada dan berhati-hati. Saya sering melihat pistol diselitkan di pinggang mereka. Pengembala kambing juga turut membawa senapang.
15. Sungguhpun begitu, masyarakat di sini agak peramah. Pada awalnya, mereka akan memandang pelik terhadap kita kerana mereka jarang berjumpa dengan pelancong. Lama-kelamaan, mereka berminat untuk berbual bersama. Mereka menganggap kita sebagai tetamu, bukan ATM bergerak seperti di kawasan pelancongan lain. Sudah beberapa kali saya diajak menumpang kereta mereka dan dibelanja di kedai makan.
16. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang tidak mengenali orang Malaysia. Namun, bagi mereka yang mengenali kita (biasanya orang yang pernah ke Mekah atau mengikuti perkembangan dunia), mereka sangat menghormati negara Malaysia. Terdapat beberapa cerita tentang orang Malaysia dari mereka, antaranya orang Malaysia perlu pergi haji dahulu sebelum berkahwin.
17. Makanan di sana kebanyakannya berasaskan daging dan roti. Nasi seperti maklube susah untuk dijumpai. Mereka juga suka makanan yang pedas dan berempah. Terdapat beberapa makanan yang sukar ditemui di kawasan lain, seperti angsa panggang (Kars dan Ardahan), ikan masin (Ahlat, Bitlis), dan Buryan (Bitlis dan Siirt).
18. Sesetengah tempat tiada rangkaian makanan luar seperti Burger King atau restoran bangsa asing seperti restoran Arab. Rangkaian kedai makan di timur Turki yang terkenal adalah Komagene, yang menjual çiğköfte.
19. Suhu musim sejuk di sini agak melampau, boleh mencecah -20 darjah Celsius, manakala suhu musim panas terutamanya di bahagian tenggara boleh mencecah 40 darjah Celsius. Oleh itu, persediaan rapi diperlukan sebelum berkunjung ke sana.
20. Pada musim sejuk, tempat tarikan menarik adalah kawasan pergunungan yang menawarkan aktiviti ski. Pelbagai aktiviti juga dilakukan di Tasik Çıldır yang membeku sehingga bulan April.
21. Manakala, pada musim bunga dan panas, aktiviti merentas kawasan (hiking) boleh dilakukan di kawasan lembah dan kanyon seperti di Erzincan dan Diyadin. Jika berdaya, boleh juga mengikuti rombongan ke Gunung Ararat dengan pemandu pelancong tempatan.
22. Tiket masuk ke muzium dan tempat bersejarah masih murah jika dibandingkan dengan İstanbul. Tiket masuk ke kota bersejarah seperti kota Ani hanya sebanyak 3 Euro.
23. Terdapat beberapa aktiviti yang tidak dapat dilakukan seperti di bahagian barat Turki, seperti menaiki dan menunggang kuda, jet ski di atas tasik beku (tidak perlu risau dengan halangan batu, dan harganya lebih murah), menyaksikan festival ikan terbang di Tasik Van, melihat kucing mata biru, dan merasai perbezaan di kawasan iklim mikro (micro-climate) di Iğdır. Terdapat juga komuniti yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama, seperti di daerah Tilo (Siirt), Midyat (Mardin), dan Harran (Şanlıurfa).