Memahami Sunnatullah & Syariatullah dalam Pengembaraan.
- Pengembara Nomad
- 19 Mac
- 6 min membaca
Updated: 24 Mac

Konsep Sunnatullah dan Syariatullah ini mengingatkan saya kepada sebuah penulisan yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi pada penghujung tahun 2011 mengenai hukum Sunnatullah dan Syariatullah. Pada waktu itu, saya hanya bekerja di belakang tabir sebagai editor sementara. Kemudiannya, konsep Sunnatullah dan Syariatullah dikupas dengan lebih mendalam dalam konteks kehidupan rumah tangga oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menerusi bukunya yang bertajuk "Bercinta Sampai ke Syurga". Sejak itu, saya mula terkesan dengan konsep ini kerana bagi saya, ia bersifat menyeluruh dan mampu membawa keseimbangan dalam kehidupan.
Sehingga kini, saya masih mengamalkan konsep ini mengikut kemampuan dan situasi walaupun saya merasakan bahawa saya masih belum benar-benar menepati semua aspek sepenuhnya dalam pengembaraan. Setelah saya mula memahami Sunnatullah dan Syariatullah, saya cuba mengaplikasikannya sebelum dan semasa saya menunaikan umrah pada Februari 2012. Saya ingin melihat sendiri kesan dan perasaan yang saya alami selepas membuat persiapan secara menyeluruh, baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Ternyata, perasaan yang saya rasakan ketika itu amat tenang, walaupun saya tetap tidak terlepas daripada ujian sepanjang dalam tempoh tersebut.
Topik ini hakikatnya memerlukan perbincangan yang lebih panjang dalam perbahasan usul fiqh bersama disiplin ilmu Islam kerana ia berkait rapat dengan bagaimana manusia memahami hukum Allah dalam konteks realiti kehidupan. Ia bukan sahaja berkaitan dengan ibadah, yang merangkumi hubungan antara makhluk dan Tuhan, tetapi juga melibatkan hubungan sesama makhluk. Ini termasuk aspek muamalat seperti jual beli dalam industri ekonomi, perkembangan teknologi dan sains yang melibatkan interaksi dengan alam flora dan fauna agar tidak termusnah dan terpelihara dengan baik, serta aspek-aspek lain yang berkaitan.
Sebagai orang awam, sekiranya tidak dapat memahami Sunnatullah, seseorang mungkin salah faham dalam memahami Syariatullah dan boleh jatuh dengan sikap ekstrimis atau jumud. Begitu juga, tanpa memahami Syariatullah, seseorang mungkin hanya berpegang kepada hukum alam dan mengabaikan tanggungjawab syarak. Namun, artikel ini akan ditulis dalam konteks pengembaraan dengan menggunakan logik yang masih selari dengan konteks agama. Tujuannya adalah untuk menyebarkan kesedaran kepada pengembara Muslim khususnya tentang kepentingan Sunnatullah dan Syariatullah semasa mengembara.
Dalam perjalanan, walaupun perancangan telah dibuat dengan begitu teliti dan persiapan disediakan dengan rapi, kita tetap diuji dengan perkara atau situasi di luar jangkaan. Sebagai seorang pengembara, pastinya kita pernah mengalami kejadian seperti penerbangan 'delay' atau dibatalkan, cuaca buruk, ditipu (scam), kerosakan atau kehilangan barang, dirompak, atau diuji jatuh sakit. Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah dari sudut Sunnatullah, persiapan fizikal masih belum lengkap sepenuhnya? Atau mungkin dari sudut Syariatullah, kita tidak benar-benar meletakkan kebergantungan kepada Allah? Contohnya, tidak berdoa atau tidak menunaikan solat. Persoalan seperti ini sering bermain di fikiran saya.
Namun, saya mengambil pendekatan bahawa untuk mengelakkan daripada saya terus-menerus mempersoalkannya, saya berpegang pada satu pemahaman, walaupun saya merasakan persiapan fizikal telah lengkap, tetapi jika saya masih diuji, mungkin itu adalah satu bentuk ujian kesabaran yang Allah berikan kepada saya sepanjang tempoh mengembara. Dalam kehidupan, kita sebagai manusia seringkali atau mungkin tidak sedar bahawa kita sentiasa berhadapan dengan dua hukum yang ditetapkan oleh Allah iaitu hukum Sunnatullah dan Syariatullah. Penting untuk kita memelihara kedua-keduanya kerana ia adalah peraturan Allah.
Apakah itu Sunnatullah? Apakah itu Syariatullah? Adakah kedua-duanya saling berkaitan?
Sunnatullah adalah merujuk kepada hukum dan peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mengatur alam semesta. Ia bersifat tetap dan tidak boleh berubah. Allah telah menetapkan segalanya dan tidak berubah. Contohnya, hukum fizik, cuaca, ekonomi, biologi, sosial dan sebagainya. Namun, hukum-hukum ini boleh sahaja mengalami perubahan jika Allah menghendakinya, seperti peristiwa Nabi Ibrahim yang tidak terbakar oleh api, Nabi Musa yang dapat membelah lautan, serta Nabi Muhammad SAW yang mampu mengeluarkan air dari tangan dan lain-lain peristiwa luar biasa yang mencarik adat Sunnatullah. Perbahasan mengenai perkara ini boleh dirujuk dalam ilmu Kalam untuk pemahamaan yang lebih mendalam. Namun secara Sunnatullah, alam semesta ini berfungsi berdasarkan konsep sebab dan akibat atau dipanggil 'law of cause and effect' serta usaha manusia yang berjalan seiring dengan konsep tawakkal. Ia seolah-olah telah ditetapkan (fixed) dan tidak berubah, melainkan ia sebuah karamah, irhas, mukjizat dan seumpamanya.
Sebagaimana dalam firman Allah mengenai Sunnatullah;
"Sebagai suatu ketetapan Allah yang telah berlaku sejak dahulu lagi, dan kamu tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi ketetapan Allah itu." (Surah Al-Fath: 23)
Manakala, Syariatullah pula hukum syariat yang Allah turunkan untuk mengatur kehidupan manusia. Ia adalah panduan untuk hidup manusia atau panduan untuk menuju kesempurnaan. Contohnya, akhlak, ibadah, adab, dan tanggungjawab sebagai Muslim. Ayat dibawah ini telah menjelaskan bahawa syariat bukanlah satu pilihan, tetapi satu jalan yang harus diikuti sebagaimana firman Allah berkenaaan Syariatullah iaitu;
"Kemudian Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) berada di atas suatu syariat (peraturan) dalam urusan itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui." (Surah Al-Jasiyah: 18)
Di sini, kita dapat lihat bahawa Sunnatullah dan Syariatullah itu saling melengkapi dan ianya perlu bergerak seiring. Sunnatullah mengatur alam. Manakala, Syariatullah mengatur manusia. Oleh itu, Syariatullah jangan sekali-kali dilupakan. Begitu juga sebaliknya. Jika ingin menepati aspek yang lebih menyeluruh, keduanya-duanya perlu bergerak seiring dan tidak ditinggalkan.
Bagaimana Sunnatullah dan Syariatullah dalam konteks pengembaraan pula? Apakah pula kaitannya sebagai pengembara tentang kedua-dua hukum ini?
Dalam konteks pengembaraan, sebenarnya dalam setiap perjalanan sebagai seorang pengembara Muslim, dua hukum Allah ini perlu sentiasa bergerak seiring juga seperti kaedah asas yang bersifat universal seperti yang telah disebut. Kedua-keduanya akan membentuk seorang pengembara Muslim yang menyeluruh. Maka, kita perlu melihat dengan aspek yang menyeluruh, tidak menekankan hanya satu aspek sahaja atau erti kata lain mengabaikan aspek yang lain.
Dari sudut Sunnatullah, sebagai contoh, jika kita mengembara tidak merancang bajet, kita mungkin akan menghadapi masalah kewangan sewaktu dalam perjalanan. Ini disebut sebagai hukum sebab dan akibat atau dipanggil 'law of cause and effect'. Ia pasti akan berlaku dan tidak dapat diubah, melainkan jika Allah menghendakinya. Contoh lain, kita membeli pakaian sejuk kerana musim sejuk. Namun, kita ditakdirkan pula jatuh sakit kerana tidak biasa dengan cuaca sejuk. Dari sudut biologinya, tubuh manusia akan bertindak mengikut perubahan suhu persekitaran. Jika seseorang tidak cukup kuat atau tidak mengambil langkah pencegahan lain seperti mengelakkan diri untuk mengembara pada musim tersebut atau tidak mempunyai kelengkapan yang betul, maka terdapat risiko untuk mendapat jatuh sakit.
Dari sudut Syariatullah pula, sebagai seorang pengembara Muslim, apabila syariat tidak dilupakan boleh membawa keberkatan dan keselamatan dalam perjalanan. Contohnya, seseorang yang menjaga solatnya dalam perjalanan akan lebih tenang serta berada dalam penjagaan Allah. Ia seumpama Allah telah memberi sebarang kemudahan dalam perjalanan tetapi apabila kita meninggalkan aspek Syariatullah seperti meninggalkan solat dengan sengaja, tidak berdoa dan melupakan Allah dalam perjalanan seolah-olah tidak melengkapkan peraturan Allah.
Namun, ramai dalam kalangan pengembara mengabaikan Syariatullah ini. Mereka hanya cenderung kepada Sunnatullah. Ini bermaksud mereka fokus kepada persiapan fizikal sahaja seperti menyiapkan itinerari, meneroka tempat yang mereka ingin pergi, tempah penginapan tetapi mengabaikan aspek kerohanian (spiritual) seperti solat, memilih makanan halal, menjaga hubungan baik dengan Allah dan manusia dan juga menghindari perkara yang dilarang oleh agama. Sebaliknya, ada juga yang hanya berserah kepada Allah tanpa sebarang usaha. Sebagai contoh, bertawakkal pada Allah agar supaya dipermudahkan tetapi tidak mengambil berat tentang persiapan sebelum memulakan perjalanan. Di sinilah ramai pengembara yang gagal mencari keseimbangan. Syariatullah telah menetapkan bagaimana kita sebagai pengembara bertindak bukan hanya dalam perancangan atau persiapan fizikal tetapi menjaga hubungan dengan Allah dan juga manusia. Tambahan lagi, Syariatullah bukanlah sekadar peraturan dari Allah, tetapi jalan menuju kejayaan dunia dan akhirat.
Bagi pengembara bukan Muslim, terutamanya mereka yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan seperti golongan ateis, mereka cenderung melihat dari persepktif Sunnatullah semata-mata. Mereka tidak mengambil kira perspektif Syariatullah, aspek metafizik, atau kuasa Tuhan dalam perjalanan mereka. Mereka percaya jika mereka membuat persiapan dengan baik, segala-galanya akan berjalan lancar. Jika sesuatu masalah berlaku, mereka akan melihatnya sebagai kesilapan atau kekurangan sebagai manusia. Mereka tidak percaya tentang disebalik apa yang berlaku datangnya daripada Tuhan atau tiada kebergantungan kepada Tuhan. Sebagai seorang pengembara Muslim akan melihatnya dengan lebih jauh. Bukan sekadar mengembara secara fizikal, tetapi juga mencari Tuhan secara spiritual (kerohanian) dalam setiap langkah perjalanan.
Kesimpulannya, sebagai seorang pengembara, Sunnatullah dan Syariatullah akan menentukan bagaimana perjalanan itu dijalani dengan penuh hikmah dan keberkatan kerana Sunnatullah telah mengajar kita untuk membuat persiapan dengan teliti, tetapi Syariatullah mengingatkan kita supaya meletakkan kebergantungan kepada Allah dengan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Sunnatullah menetapkan bahawa setiap usaha akan membuahkan hasil, tetapi syariatullah menegaskan bahawa setiap hasil itu tetap berada dalam ketentuan Allah. Sekiranya dalam pengembaraan, kita mengabaikan salah satu daripadanya akan membawa ketidakseimbangan. Seharusnya kita perlu memahami bahawa Sunnatullah dan Syariatullah ini perlu bergerak seiring dan tidak ditinggalkan.
Disunting semula oleh:
Ahmad Luqman Z.
Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah & Falsafah) - Universiti al-Azhar, Mesir
Ijazah Sarjana Pemikiran Islam Kontemporari - UiTM