top of page

Kisah BangKenteng & Camper Van.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Slot "Inspirasi Pengembara" kali ini, kami ingin menampilkan sebuah kisah perjalanan seorang pengembara, Bang Kenteng, bersama camper van yang menjadi teman setianya yang diberi nama, Oyen. Bermula dengan membeli sebuah van pasar malam yang diubah suai kepada camper van, beliau menggunakan kreativitinya untuk mencipta "rumah bergerak" yang membolehkannya menjelajah dengan lebih bebas dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan selain membantunya menjimatkan kos.


Kisah beliau ini adalah bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada pembaca dan juga menggalakkan orang awam untuk mempelajari nilai kreativiti dan inovasi dalam pengembaraan. Perkongsian artikel ini telah mendapat persetujuan pemilik asal artikel ini untuk dipaparkan di laman web Pengembara Nomad dengan tujuan mempromosikan karya dan pandangannya terhadap orang awam, disamping menyumbang kandungan yang bermakna kepada pembaca.


Semoga perkongsian pengalaman dan kisah inspirasi Bang Kenteng ini pasti memberi impak positif kepada pembaca untuk melakukan suatu perubahan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.


Boleh kongsikan sedikit tentang diri tuan?


Saya, Asri Nawawi atau dikenali dengan panggilan Bang Kenteng, berusia 35 tahun dan berasal dari Perak. Saya memiliki sebuah van mini Daihatsu Hijet S85 keluaran tahun 1990 yang telah diubah suai menjadi sebuah camper van yang diberi nama Oyen. Oyen telah membawa saya selama 4 tahun dalam pengembaraan dunia camper van.



Apakah yang mendorong tuan untuk memulakan projek mengubahsuai sebuah van menjadi camper van?


Kehidupan camper van adalah salah satu daripada lima impian utama saya yang ingin dicapai sebelum mencecah usia 30 tahun. Disebabkan minat yang mendalam terhadap gaya hidup camper van, saya memulakan perjalanan ini dengan mengubah suai sebuah Perodua Kancil menjadi camper car pada tahun 2018. Dari situ, saya mula menjelajah dan menikmati pengalaman sebenar kehidupan camper van.


Bagaimana tuan mula mendapatkan idea untuk membuat camper van? Apakah atau siapakah sumber inspirasi tuan (sekiranya ada)?


Saya banyak mendapatkan inspirasi dan mengambil idea daripada rekaan camper van luar negara yang lebih kemas dan praktikal.





Apakah cabaran terbesar yang tuan hadapi semasa proses menyiapkannya dan bagaimana tuan mengatasinya?


Pembikinan awal camper van dilakukan semasa musim PKP dan yang menjadikan cabaran utama saya hadapi semasa dalam proses untuk menyiapkannya adalah kekangan waktu dan bahan yang sangat terhad. Segala keperluan terpaksa dibeli secara atas talian yang menjadikan proses tersebut lebih mencabar.



Camper van biasanya ruangnya terhad. Bagaimana tuan memastikan rasa selesa tersebut?


Jika dilihat camper van termasuk dalam kategori van mini yang sudah tentu mempunyai ruang yang terhad. Akan tetapi, saya memang menggemari kenderaan bersaiz kecil. Jadi, untuk camper van mini, saya teruja untuk membuktikan bahawa saiz kenderaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijadikan camper van yang lengkap. Camper van saya dilengkapi sepenuhnya kecuali tandas mudah alih, yang bukan menjadi pilihan saya untuk diletakkan di dalam camper van.



Dari segi kos, bagaimana tuan menguruskan bajet untuk camper van ini?


Pada awal pembikinan van mini ini, saya menggunakan 100% simpanan saya. Namun, setelah siap camper van, sebagai seorang content creator, saya mendapat kelebihan dengan menerima pelbagai barangan dan tajaan kos setelah camper van saya siap pada tahun 2021. Kini, saya telah melakukan penetapan atau penukaran dan juga pengubahsuaian camper van sebanyak tiga kali dengan berkolaborasi serta mendapat tajaan dari sesebuah jenama atau syarikat.



Bagaimana camper van ini telah mengubah pengalaman mengembara tuan berbanding menginap di hotel?


Sudah tentu, bagi mereka yang lebih memilih mengembara berbanding sekadar melancong, ianya memberikan pengalaman dan kepuasan yang menarik buat saya. Saya lebih gemar wild camping kerana saya bebas untuk memilih lokasi penginapan saya dimana sahaja yang saya inginkan dan pada masa yang sama, ia dapat menjimatkan kos.



Apakah destinasi kegemaran tuan yang pernah tuan lawati dengan camper van ini, dan kenapa?


Saya pernah membawa minivan Daihatsu Hijet saya ke Bangkok selama 34 hari. Destinasi pilihan saya adalah Hua Hin, sebuah kawasan pantai yang terletak kurang dari 200km dari Bangkok. Suasana bandar yang baru dan lokasinya terletak di tepi pantai membuatkan saya seolah-olah berada di Pantai Malibu versi Thailand.



Apakah impian atau perancangan tuan yang seterusnya untuk camper van ini? Ada perancangan untuk menambah baik atau mengembara ke lokasi baru?


Saya sedang dalam proses menukar enjin camper van untuk projek "Roadtrip Oyen ke Borneo". Jelajah Borneo yang pernah dilakukan oleh YDP Agong terdahulu memberi saya inspirasi untuk ke sana untuk melihat keramahan masyarakat dan keindahan alam semulajadi di Borneo. Jika semuanya berjalan lancar, saya merancang untuk ke sana pada tahun 2025. Sebarang tajaan atau kolaborasi bersama "Roadtrip Oyen ke Borneo" amat dialu-alukan.



Apakah nasihat yang tuan boleh kongsikan kepada masyarakat sepanjang pengalaman bergelar pengembara/nomad/camper van-traveler?


Jangan takut untuk mulakan impian, start from zero then live your life!




Jika anda terinspirasi dengan perjalanan Bang Kenteng dan camper van beliau, jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti kisah-kisah menarik secara terus di media sosialnya. Di sana, terdapat lebih banyak kisah pengembaraan, tip dan perkongsian yang penuh inspirasi. Jangan lupa untuk memberikan sokongan dan mengikuti karya seterusnya melalui pautan media sosial yang telah disediakan.


Youtube: Aceyie Channel

Instagram: Aceyie Channel

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page