top of page

Kenapa Saya Mengembara?

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Saya pernah terfikir dan tertanya mengapa ada di antara kita ini memilih untuk mengembara. Ada di antara kita juga yang suatu ketika dahulu sehingga kini masih mengembara. Masih ada jiwa dan semangat yang kuat untuk terus mengembara.


Sekiranya saya diberi peluang sewaktu saya mengembara dalam tempoh itu, saya akan bertanya kepada mereka yang bergelar pengembara ini sebab atau alasan mereka mengembara. Saya suka bertanyakan kepada mereka beberapa soalan mengenai diri dan pengembaraan mereka kerana bagi saya perspektif setiap orang lain adalah berbeza dan secara kebetulan pula saya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi. Saya boleh katakan pelbagai jawapan yang saya terima daripada mereka pada waktu itu dan membuatkan saya berfikir sejenak dengan jawapan mereka.


Jika saya bertanya kepada pengembara A, alasan beliau mengembara adalah untuk keluar dari zon selesa dan ingin mencari pengalaman. Manakala, pengembara B pula alasannya adalah untuk melakukannya sekali seumur hidup untuk mengembara satu dunia. Seterusnya, Pengembara C pula alasannya adalah untuk mengatasi kemurungan yang beliau hadapi dan berhasrat ingin sembuh. Jangan terkejut sekiranya ada pengembara lain yang memberikan jawapan tidak tahu kenapa beliau mengembara. Itu adalah suatu yang normal dalam kalangan pengembara.


Setelah saya meneliti dan melakukan refleksi, hakikatnya tiada jawapan yang sama dan terpakai untuk semua orang. Semua jawapan yang saya terima daripada mereka adalah berbeza mengikut tujuan dan objektif pengembara itu sendiri. Begitu juga dengan saya. Sudah tentu saya mempunyai sebab atau alasan kenapa saya mengembara. Oleh itu, saya akan kongsikan tiga sebab dan alasan utama kenapa saya mengembara dan masih memilih untuk mengembara sehingga kini.


Tujuan saya mengembara adalah untuk merawat jiwa. 9 tahun yang lalu, ketika itu saya mengalami 'heartbroken' yang lama terhadap seseorang yang saya kenali pada tempoh itu. Lalu, saya cuba membawa diri ke luar negara dengan niat saya ingin mencuba perkara yang baharu yang tidak pernah saya lalui. Tambahan lagi, pada waktu itu saya masih baru dalam mengembara dan tujuan saya pada waktu itu untuk mempelajari dan mencari pengalaman tentang selok-belok dunia pengembaraan. Namun, hasil selepas saya pulang ke Malaysia, saya melihat sesuatu perbezaan yang berlaku dalam diri saya di mana jiwa saya secara perlahan-lahan sudah dapat menerimanya (hakikat), semangat semakin pulih walaupun hakikatnya saya adalah seorang yang 'fragile'. Secara tidak sedar saya sudah memiliki minat baharu iaitu mengembara kerana saya sentiasa meneroka tentang negara-negara yang ingin saya lawati. Saya percaya bahawa mengembara adalah satu cara atau kaedah untuk merawat jiwa. Namun, syaratnya adalah pastikan niat dan tujuan yang baik.


Petikan ayat Al Quran ini juga telah memberitahu bahawa galakan untuk mengembara. Sudah pasti disebalik ayat ini mempunyai hikmah dan penawar kepada mereka (pengembara) yang mengembara mengikut tujuan perjalanannya.


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


(Surah Al-Ankabut 29:20)


Kedua, tujuan atau kenapa saya mengembara adalah pencarian makna diri. Pada tempoh itu, saya ingin mencari makna diri kerana pernah saya terfikir apakah tujuan saya hidup ini sebagai manusia? Persoalan yang sering saya tertanya adalah rutin di dalam sistem yang ditetapkan oleh manusia. Contohnya, kerja sehingga pencen. Hakikatnya, saya menyedari bahawa saya tidak mampu untuk berada dalam 'sistem' seperti ini hanya kerana wang, jawatan, pangkat, status, demi meneruskan hidup. Selain itu, disebalik pencarian makna diri ini saya ingin mencari jawapan tentang garis masa kehidupan yang saya lalui sebelum ini sebagai nomad. Ya, saya boleh gelarkan diri saya adalah nomad. Tidak kira sekolah, universiti, dan tempat kerja sehinggalah membawa kepada mengembara jangka panjang juga nomad. Ini yang telah membuatkan saya agak tertekan kerana penerimaan orang terhadap saya yang agak berbeza berbanding orang normal yang boleh mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh manusia. Namun, setelah saya mengembara, saya mula memahami takdir yang diberikan kepada saya. Saya banyak melihat dari sudut pandang yang baik atau dalam suatu bentuk hikmah tentang garis masa kehidupan yang saya lalui sebelum ini. Selain itu, refleksi atau muhasabah diri sebenarnya telah banyak mengajar saya dalam tempoh saya mengembara. Muhasabah diri adalah kunci kepada pencarian makna diri.


Ketiga ialah mencari kesufian (tasawuf). Sebenarnya tujuan ini adalah saya terinspirasi daripada rakan saya yang merupakan pengembara yang berstatus OKU. Saya pernah bertanya pada beliau iaitu sekitar tahun 2017 mengenai sebab atau tujuan beliau ingin mengembara jangka panjang secara nomad. Beliau ingin mencari kesufian. Alasan beliau waktu itu membuatkan saya banyak berfikir kerana saya tidak pernah lagi mendengar jawapan sebegitu. Kebiasaannya saya menerima jawapan yang agak tipikal. Sewaktu saya dalam tempoh mengembara, saya mengaplikasikan tasawuf ini untuk mencari hikmah disebalik ciptaan dan kebesaran Tuhan, manusia dan juga alam. Tasawuf adalah salah satu kaedah untuk menjernihkan hati dan pemikiran.


Sebab dan alasan yang lain antaranya ialah mengembara telah mengubah cara saya berfikir. Pemikiran yang berbeza yang tidak hanya melihat hitam dan putih. Tetapi lebih berwarna-warni apabila ianya melibatkan manusia. Manusia itu adalah kompleks dan ianya sangat subjektif. Malah, pemikiran saya lebih terbuka dengan pelbagai pendapat daripada seseorang yang selagi tidak melanggar nilai moral dan etika. Mengembara juga telah mendidik saya untuk bersikap fleksibel dengan sesiapa sahaja. Belajar untuk tidak merumitkan sesuatu perkara dan keadaan. Di samping itu, mengembara telah menjadikan jiwa saya 'hidup' kerana saya sentiasa menerima perkara baharu untuk diteroka dan dipelajari.


Saya ingin memetik satu petikan hadis ini sebagai refleksi diri buat saya sebagai pengembara, iaitu;


'Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara."

(Hadis Riwayat Sahih Bukhari)

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page