Kenapa Saya Memilih Mengembara Solo?
- Pengembara Nomad
- 21 Okt 2024
- 3 min membaca
Updated: 24 Mac

Untuk topik kali ini, saya telah sedia maklum bahawa mungkin akan timbul beberapa pendapat yang berbeza mengenai mengembara secara solo, terutamanya bagi wanita Muslim. Saya akan memberi beberapa sebab dan punca saya memilih mengembara solo yang hakikatnya telah memberi manfaat pada saya dalam tempoh itu.
Pada awalnya, tidak mudah untuk saya membuat keputusan untuk bergerak secara solo kerana saya tidak pernah lakukan sesuatu yang terlalu 'adventerous' dan ini adalah perkara besar dalam hidup saya untuk keluar negara berseorangan. Akan tetapi, disebabkan 'passion' saya terhadap mengembara terlalu tinggi dan pada waktu itu saya boleh katakan kekerapan saya mengembara ke luar negara terlalu kerap, maka saya perlu membuat keputusan untuk bergerak secara solo. Saya juga telah mengenalpasti bahawa tidak semua rakan terdekat saya mampu mengikuti perjalanan bersama atas faktor masa, komitmen, wang, keluarga, kerja dan sebagainya.
Selain itu, saya juga mendapati bahawa saya sukar untuk mengadaptasi dengan karakter mereka dalam tempoh itu. Malah, terdapat pelbagai ragam dan kerenah masing-masing yang saya perlu mengambil perhatian yang lebih dan memerhatikan emosi mereka sebaik mungkin supaya perjalanan berjalan dengan lancar lebih-lebih lagi dengan mereka yang saya tidak kenali. Saya juga turut mempunyai pengalaman yang tidak berapa seronok bersama dengan orang yang saya tidak kenali. Lama-kelamaan, emosi saya rasa terbeban dan saya tidak dapat menikmati perjalanan saya dalam tempoh itu. Bahkan, sukar untuk mencapai kepuasan. Saya pernah berfikiran bahawa mungkin perlu memilih untuk bersendiri kerana banyak masa saya sebenarnya saya lebih memilih untuk bersendiri baik di rumah dan di luar.
Jadi, hakikatnya tidak semudah itu saya terus untuk memilih mengembara secara solo. Apa yang saya lakukan semuanya berperingkat; berkumpulan, berdua, dan selepas itu bergerak secara solo.
Antara sebab lain kenapa saya memilih mengembara secara solo adalah sudah tiba masanya saya mengambil cabaran baharu untuk mencuba perkara yang saya tidak pernah lakukan dan saya ingin melihat kemampuan saya sendiri sama ada saya mampu lakukan atau tidak. Pada waktu itu, saya telah mengambil inisiatif untuk pergi secara solo ke negara yang selamat, aman dan jarak yang tidak jauh bagi membiasakan diri dan mengambil pengalaman terlebih dahulu.
Selepas saya melalui pengalaman mengembara secara solo, hakikatnya ianya telah memberi manfaat pada diri saya kerana saya telah melalui pengalaman yang lebih berharga dan memori itu lebih memberi kesan yang mendalam kepada jiwa saya.
Jadi, apakah hukum mengembara secara solo bagi wanita Islam pula?
Sebagai orang yang bersikap terbuka dan mempunyai sikap yang menyeluruh sudah pasti tidak akan terburu-buru untuk menjatuhkan hukum dengan begitu cepat ke atas mereka terutamanya wanita Muslim yang memilih untuk mengembara secara solo.
Perkara ini telah mengingatkan saya pada sekitar tahun antara 2016-2017, di mana saya pernah ditegur dan dinasihatkan supaya mengembara bersama mahram. Katanya lagi wanita yang mengembara berseorangan tidak dibolehkan dengan alasan membahayakan dan akan mendatangkan fitnah. Namun, pada waktu itu saya mengambil teguran itu sebagai teguran sebagai orang yang lebih tua daripada saya dan mungkin beliau sangat prihatin dengan keselamatan saya ketika itu. Secara jujurnya, teguran daripada beliau memberi kesan mendalam terhadap diri saya. Sehinggakan kata-katanya itu masih kekal dalam ingatan saya.
Saya sebagai orang awam yang bukan di dalam bidang agama, saya hanya mengikuti nasihat daripada badan-badan yang sah, bertauliah dalam bidang atau kepakarannya. Jadi, tiada isu selepas ini pada mereka yang ingin mengembara secara solo terutamanya wanita Islam.
Menurut fatwa yang telah di keluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum mengembara secara solo bagi wanita Muslim hukumnya adalah harus. Namun, terdapat beberapa syarat yang perlu di ambil perhatian.
Antaranya ialah;
1. Mestilah keadaan aman terhadap diri agama, maruah di masa perjalanannya (sebelum, semasa dan selepas).
2. Keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Tidak ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap diri.
Saya simpulkan bahawa situasi saya pada ketika itu memilih mengembara secara solo adalah harus kerana saya telah menepati syarat-syarat yang dikeluarkan oleh fatwa. Malah, di zaman moden ini yang mengikut peredaran masa, saya yakin dari sudut keselamatan (sekuriti) di kebanyakan negara semakin meningkat dengan penggunaan teknologi yang makin canggih bagi memastikan keselamatan pengembara terjamin sepanjang dalam perjalanan.
Rujukan:-