Penulisan kali ini, saya tidak bermaksud untuk memberi galakan kepada sesiapa baik pemula atau yang sudah mempunyai pengalaman untuk mengembara secara solo. Ianya lebih kepada pengalaman saya sendiri sepanjang bergelar pengembara. Saya percaya bahawa pengembara yang lain mempunyai pendapat mereka tersendiri tentang kelebihan mengembara secara solo. Apabila membuat keputusan untuk mengembara solo, pastinya terdapat risiko dan cabaran yang perlu diambil perhatian dan mengambil langkah atau strategi supaya selamat dalam tempoh perjalanan.
Pada pandangan saya, tidak semua orang diberi kelebihan untuk mengembara secara solo. Malah, tidak semua dipilih oleh Tuhan untuk diberi kekuatan dan semangat untuk mengembara secara solo walaupun telah diberi peluang untuk melalui pengalaman tersebut. Namun, untuk mereka yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, tidak salah untuk mencuba mengembara secara solo ini buat pertama kalinya. Sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai pengalaman hidup dan juga mengetahui bagaimana emosi dan perasaan yang dialami dalam tempoh tersebut.
Jadi, apakah kelebihan mengembara solo daripada perspektif saya?
Bebas untuk membuat keputusan.
Pertama, saya bebas untuk membuat sebarang keputusan. Pengalaman sebelum dan selepas saya mengembara solo, saya dapat lihat perbezaan dengan lebih ketara. Saya lebih bebas untuk membuat sebarang pilihan dan juga keputusan tanpa melibatkan sesiapa dalam tempoh mengembara. Sekiranya saya mengembara bersama orang lain, saya perlu pastikan untuk mendapat kata sepakat daripada mereka terlebih dahulu. Sekiranya tidak mencapai kata sepakat, secara tidak langsung membuatkan saya tidak dapat menikmati perjalanan saya dengan tahap maksimum. Erti kata lain, sukar untuk mencapai kepuasan dalam tempoh tersebut.
Selain itu, saya juga bebas untuk bergerak ke mana-mana tanpa dikawal oleh sesiapa. Saya juga bebas untuk berfikir dengan merangka perancangan sebelum saya membuat setiap keputusan yang muktamad tanpa perlu mendapatkan pendapat daripada orang lain.
Namun, maksud "bebas" ini tidak bermaksud sama sekali bebas ke tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya dan juga menimbulkan fitnah ke atas diri saya. "Bebas" dalam konteks ini bermaksud saya lebih banyak masa untuk membuat sesuatu keputusan dan bertindak tanpa melibatkan pendapat orang lain. Semua keputusan terletak atas diri saya sendiri.
Pengalaman secara solo lebih bermakna.
Jika dibandingkan mengembara solo dan mengembara berdua dan berkumpulan, saya lebih merasakan mengembara solo pengalaman itu lebih bermakna dan mahal nilainya yang tidak dapat ditukar ganti bahkan dengan wang sekalipun. Namun, di mana logiknya pengalaman lebih bermakna untuk mengembara solo itu berbanding mengembara bersama orang lain?
Apabila berseorangan di negara orang atau di tempat yang terasing, sudah pasti perlu berdikari dan berdiri di kaki sendiri. Segala keputusan, pilihan, tindakan semuanya terletak pada diri sendiri. Saya yang menentukan perjalanan saya ini bagaimana, bukan orang lain. Sama ada pilihan, keputusan atau tindakan itu baik atau tidak, ia tetap sebuah pengalaman yang berharga kerana alasannya, saya sudah melalui pengalaman tersebut. Jatuh bangun, pahit manis saya merasainya dengan lebih lagi apabila saya memilih untuk mengembara solo. Malah, tahap survival yang tinggi diperlukan apabila memilih untuk mengembara solo.
Fleksibel.
Secara tidak langsung, lama-kelamaan saya telah menjadi seorang yang bersikap fleksibel dalam menyelesaikan masalah dan membuat sebarang keputusan. Sikap ini saya telah aplikasikan dalam kehidupan seharian saya walaupun bukan dalam tempoh mengembara. Banyak sisi kebaikan yang saya lihat apabila saya mempunyai sikap ini. Bukan sahaja 'fleksibel' pada diri saya sendiri. Tetapi saya dapat lihat apabila saya berhadapan dengan perbezaan pendapat, saya belajar untuk bersikap terbuka selagi tidak melanggar nilai moral dan juga etika. Sebolehnya saya ingin memudahkan urusan kehidupan saya sendiri dengan bersikap fleksibel.
Dalam konteks mengembara, fleksibel ini bermaksud tiada perancangan tetap dan bersikap terbuka dan bersedia sekiranya untuk mengubah perancangan mengikut keadaan dan situasi. Saya juga tidak mendesak diri saya sendiri untuk meneroka ke tempat-tempat yang saya inginkan pada perancangan asalnya. Saya akan mengikut kemampuan diri saya pada ketika itu bergantung pada situasi.
Memberi masa dan ruang pada diri sendiri untuk merawat jiwa.
Permulaan saya dalam mengembara ini, pada awalnya dengan niat untuk mencuba perkara baharu. Dalam masa yang sama dalam tempoh itu juga, saya ingin merawat jiwa selepas saya mengalami 'heartbroken' terhadap seseorang yang saya kenali. Ternyata banyak perubahan yang telah berlaku ke atas diri saya dan saya kira itu adalah suatu perkara yang positif. Semangat saya semakin pulih dan optimis walaupun saya sedar bahawa bukan setiap keputusan yang saya lakukan itu adalah yang terbaik. Namun, saya tetap teruskan mengembara dan sentiasa meneroka negara-negara yang saya ingin lawati.
Selain daripada aspek kerohanian seperti melakukan ibadah wajib kepada Tuhan seperti solat, membaca Al Quran, saya percaya mengembara adalah kaedah atau cara yang terbaik memberi ruang dan masa pada diri sendiri untuk merawat jiwa. Ketika mengembara, saya banyak melakukan refleksi diri kerana saya lebih banyak memerhati keadaan sekeliling dan juga adakalanya saya cuba merasai pengalaman tersebut. Secara tidak langsung, tanpa saya sedar bahawa saya telah menjadi orang yang berbeza dari sudut cara saya berfikir.
Alasan lain di mana apabila saya mengembara solo ini supaya saya dapat memberi ruang pada diri saya sepenuhnya tanpa orang lain mengetahui apa yang saya lalui. Saya juga sebaik mungkin tidak mahu mereka mengetahui apakah konflik jiwa dan perasaan yang saya alami sebelum ini.
Saya percaya bahawa untuk merawat jiwa memerlukan masa dan ruang pada diri. Hanya masa dan ruang yang menentukan siapakah saya selepas ini melalui keputusan yang saya lakukan dalam tempoh itu.
Mudah didekati oleh orang tempatan.
Pendapat ini mungkin jarang diterima oleh pengembara lain. Akan tetapi, hasil yang saya dapat selepas pemerhatian dan pengalaman saya sendiri sepanjang tempoh mengembara, saya mudah didekati (approach) oleh kebanyakan orang tempatan dari pelbagai negara yang saya telah lawati. Terdapat dua kemungkinan; sama ada saya mendekati mereka terlebih dahulu atau mereka mendekati saya terlebih dahulu. Kebiasaannya, saya akan bertanya kepada mereka tentang arah, tempat-tempat yang saya ingin tuju dan sebagainya. Daripada situ, adakalanya sebarang bentuk bantuan atau kebaikan datang kepada saya tanpa saya sangka. Kebaikan yang dilakukan oleh mereka sudah cukup menggembirakan saya. Antara kebaikan dan layanan yang baik saya pernah terima sepanjang saya mengembara adalah diberi makan dan minum, mengajak saya untuk datang ke rumah mereka untuk bermalam dan sebagainya.
Satu perkara yang pernah saya terfikir sebelum ini, hakikatnya saya tidak berseorangan walaupun saya mengembara secara solo. Saya menerima kebaikan dan layanan yang baik daripada mereka baik orang tempatan atau pengembara dari luar negara. Hakikatnya, saya tidak keseorangan.
Namun, saya sebagai pengembara ingin mengingatkan bahawa perlu berhati-hati sekiranya didekati oleh orang tempatan yang mempunyai niat yang tidak baik. Daripada bahasa badan, cara mereka bercakap, ekspresi wajah boleh menentukan baik atau tidak niat mereka. Selain itu, mohon perlindungan kepada Tuhan supaya sentiasa dipelihara daripada mereka yang berniat tidak baik dan kuatkan gerak hati yang kuat untuk membuat sesuatu keputusan dan tindakan.
Membina keberanian dan keyakinan diri.
Saya tidak mahu untuk membuat pengakuan bahawa saya ini seorang yang berani. Saya masih mempunyai rasa takut, risau sebagai manusia yang normal. Sama seperti orang lain. Namun, saya percaya bahawa hasil daripada saya mengembara telah menjadikan saya pada hari ini dan terus memilih mengembara selagi saya diberi kemampuan walaupun saya tahu bahawa hakikatnya saya mempunyai rasa takut. Fitrah mempunyai perasaan seperti rasa takut dan sebagainya. Saya juga telah pun melakukan berbasikal secara solo walaupun saya tiada pengalaman langsung dalam dunia berbasikal apatah lagi asas untuk membaiki basikal. Tetapi di mata sesetengah mereka (tidak semua), ini dinamakan sebuah keberanian dan yakin diri mampu untuk melakukannya walaupun terdapat kekurangan pada diri atau limitasi.
Adakah anda berani untuk mengambil keputusan untuk mengembara secara solo?