Itinerari perjalanan ini saya fokuskan kepada pemula yang ingin menceburi dunia pengembaraan. Saya ingin menegaskan bahawa itinerari perjalanan ini dibuat untuk pengembara tetapi bukan untuk mereka yang bergelar pelancong. Saya sedaya upaya membuatnya dengan lebih ringkas dan mudah difahami bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman. Itinerari perjalanan ini adalah pendekatan secara manual sebagai asas.
Selain pendekatan secara manual, saya juga mengesyorkan penggunaan aplikasi telefon pintar sebagai pilihan yang sama praktikalnya dan pilihannya lebih banyak yang mudah didapati di Google Play Store atau Apple Store. Bagi yang lebih memilih cara manual, membuat itinerari perjalanan seperti ini dapat mendidik pemula dalam memahami tujuan, objektif, serta mempelajari kemahiran pengurusan kewangan dan juga pengurusan masa.
Berikut adalah contoh itinerari perjalanan bagi merancang sesebuah perjalanan untuk pemula yang terdapat cara menyediakan dokumen, merancang bajet dan juga merancang perjalanan.
a) Tarikh
Tetapkan tarikh perjalanan berdasarkan kesesuaian waktu dan keperluan. Rancang tempoh perjalanan mengikut bajet yang sedia ada, disamping memastikan sikap berhemah dan berjimat dalam tempoh pengembaraan. Pilih tarikh perjalanan yang tidak jatuh pada hujung minggu atau musim perayaan di negara yang ingin dilawati untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan harga yang lebih rendah.
b) Lokasi dan Aktiviti
Pilih lokasi atau destinasi tertentu dalam negara yang ingin diterokai supaya dapat melihat hala tuju perjalanan seterusnya. Sebagai contoh, jika destinasi adalah Turki, senaraikan lokasi tertentu seperti Istanbul, Ankara, Cappadocia, dan Izmir. Gunakan Google Maps untuk mengira jarak dan masa perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Contohnya, jarak dari Istanbul ke Ankara adalah 448 km dan mengambil masa sekitar 5 jam dengan menaiki bas pada waktu pagi, jadi setibanya di Ankara, aktiviti mungkin hanya boleh dilakukan pada waktu petang atau malam.
Dari segi aktiviti, kebiasaan bagi pengembara, mereka cenderung mengelak pergi ke tempat dengan bayaran masuk yang mahal seperti taman tema. Ianya tidak terhad hanya taman tema sahaja. Terdapat juga pengembara lain termasuk saya, sekiranya dikenakan bayaran untuk masuk, saya akan elakkan diri pergi ke tempat tersebut untuk tujuan berjimat. Pengembaraan bukan semata-mata untuk mencapai keseronokan.
c) Pengangkutan
Pelbagai jenis pengangkutan boleh digunakan semasa mengembara seperti kapal terbang, tren, bas, feri, teksi, e-hailing, berjalan kaki, hitchhike, motosikal, kereta, atau basikal. Jika destinasi berdekatan dengan penginapan, berjalan kaki adalah pilihan terbaik untuk berjimat. Bagi lokasi yang jaraknya jauh dari penginapan, semak semula sama ada lokasi yang ingin dituju terdapat kemudahan seperti tren atau bas. Teksi dan e-hailing sebaiknya digunakan sebagai pilihan yang terakhir. Saya sarankan untuk menyewa motosikal atau basikal terutamanya di kawasan bandar kerana ianya lebih efisien dan lebih menjimatkan wang dan masa.
d) Penginapan
Penginapan murah untuk pengembara biasanya adalah hostel. Harga penginapan di hostel boleh didapati harga serendah RM50 semalam, bergantung kepada lokasi atau negara tertentu. Hostel lebih menjadi pilihan berbanding hotel kerana mengumpulkan pengembara dari pelbagai negara dan harganya lebih murah. Alternatif lain untuk penginapan selain hostel adalah menyewa tapak perkhemahan yang lebih murah atau percuma. Namun, jika kos sewa tapak perkhemahan lebih mahal berbanding hostel, lebih baik menginap di hostel. Selain itu, platform seperti Couchsurfing memberikan peluang tinggal bersama orang tempatan secara percuma. Peluang tinggal bersama mereka dapat memahami cara hidup dan budaya orang tempatan dengan lebih mendalam.
e) Makanan
Untuk perbelanjaan makanan, tetapkan jumlah maksimum harian sebagai penanda aras, contohnya RM50 sehari. Ini akan membantu mengawal bajet. Sebaiknya, elakkan makan di restoran mewah yang sudah tentu harganya lebih mahal. Sebagai alternatif, saya sarankan untuk membawa makanan dari rumah seperti makanan segera, roti, atau makanan kering yang mudah disediakan semasa perjalanan.
Makanan yang murah boleh didapati di pasar raya atau kedai serbaneka yang dibuka 24 jam seperti 7-Eleven. Mereka sering menjual makanan siap seperti nasi, mi, atau sushi dengan harga yang murah. Selain itu, pasar malam juga menjadi pilihan saya untuk mencari makanan yang lebih murah berbanding di restoran. Namun, pastikan makanan tersebut halal dan sentiasa semak kandungan makanan tersebut terlebih dahulu, terutama jika berada di negara bukan Islam yang sukar terdapat makanan halal.
Tambahan lagi, jika menginap di hostel, kebiasaannya mereka menyediakan dapur dan ruang memasak. Ambil peluang ini untuk menyediakan menu hidangan yang mudah, mengenyangkan, dan memberi tenaga yang lebih lama. Pastikan bertanya kepada pihak hostel jika periuk atau perkakas di dapur pernah digunakan untuk makanan tidak halal. Sekiranya was-was, bawa periuk kecil dari rumah yang biasa digunakan untuk berkhemah atau beli periuk kecil di pasar raya tempatan jika harganya murah.
Alternatif lain adalah mencari hostel yang menyediakan sarapan pagi setiap hari dalam tempoh menginap di hostel tersebut. Boleh bertanyakan kepada mereka tentang jenis makanan yang disediakan, sama ada ia sesuai untuk dimakan atau tidak. Bagi saya, ini adalah satu kelebihan kerana dapat membantu menjimatkan kos ketika mengembara. Dengan adanya sarapan pagi yang disediakan oleh pihak hostel, tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk makan pagi. Ianya dapat menjimatkan bajet untuk makan.
Seperkara lagi bagi mereka yang tidak tahu, terdapat juga pengalaman menarik di mana pengembara sebelum ini meninggalkan lebihan makanan atau stok makanan, barang mandian, atau peralatan lain di hostel yang masih elok digunakan. Kebiasaanya, mereka ingin mengelakkan daripada mengambil bagasi dalam penerbangan dan untuk meringankan beg sebelum kembali pulang ke negara mereka atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Hostel selalunya membenarkan sesiapa sahaja mengambil barang tersebut. Akan tetapi, lihat kandungan makanan tersebut dan status halalnya terlebih dahulu. Pastikan bertanya atau mendapatkan keizinan daripada pihak hostel terlebih dahulu sebelum mengambil barang tersebut melainkan telah diletakkan label untuk digunakan atau diambil oleh sesiapa sahaja.
e) Bajet
Tetapkan perbelanjaan setiap hari yang meliputi penginapan, pengangkutan, makanan, dan aktiviti yang memerlukan bayaran. Usahakan untuk berjimat terutama ketika berada di luar negara. Mengurus wang dengan berjimat cermat dan berhemah amat penting kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan atau berada dalam situasi kecemasan. Dengan melakukan penjimatan dalam perjalanan, sekurang-kurangnya dapat bersedia untuk sebarang kemungkinan berlaku.
Kesimpulan
Akhir kata, berikan sedikit ruang pada diri sendiri dan juga waktu untuk berehat. Sering kali saya banyak menekankan sikap fleksibel yang perlu ada dalam diri seorang pengembara. Jadikan perjalanan ini lebih santai dan ruang untuk melakukan refleksi diri dalam perjalanan. Usah terkejar-kejar untuk mencapai senarai tempat-tempat yang ingin dilawati. Pengalaman boleh menjadi tidak menyeronokkon sekiranya terdapat sikap terkejar-terkejar untuk meneroka banyak tempat dalam sehari dan ini akan menimbulkan kepenatan untuk meneruskan aktiviti pada keesokan harinya. Apabila terlalu penat, kepuasan dan keseronokan sukar dicapai.
Untuk mendapatkan itinerari perjalanan, boleh memuat turun melalui pautan di bawah: