Hikmah dalam konteks mengembara ini bermaksud 'kebijaksanaan' seseorang dalam mengambil pengajaran dalam perjalanannya (pengembaraan) dengan berfikir, merenung atau muhasabah diri.
Perkataan lain kepada perkataan 'hikmah' iaitu kelebihan, manfaat dan faedah.
Apabila menyebut tentang hikmah mengembara ini hakikatnya terlalu banyak jika ingin saya kongsikan sepanjang dalam tempoh saya mengembara. Oleh itu, saya akan berkongsi tentang hikmah menurut perspektif saya sebagai pengembara.
Rasa syukur & lebih menghargai.
Hikmah disebalik mengembara telah mendidik saya menjadi individu yang bersyukur atas nikmat yang telah saya kecapi. Rasa syukur yang mendalam dan begitu terkesan apabila saya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Masih tetap utuh di hati saya dan masih memilih Malaysia sebagai negara yang banyak nikmat saya kecapi jika dilihat dengan aspek yang menyeluruh. Sehingga kini saya tiada lagi perasaan untuk berpindah atau menetap di luar negara walaupun banyak negara yang saya telah lawati. Dalam peribahasa ada menyebut "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri." . Sering kali saya teringat akan nikmat yang telah saya kecapi sepanjang saya berada di tanah air sendiri terutamanya kepelbagaian makanan, cuaca yang sederhana; panas dan lembap sepanjang tahun, tiada musim salji, keharmonian dalam beragama, kepelbagaian musim perayaan yang disambut dengan begitu meriah, masih aman dan selamat untuk saya berjalan secara solo dan juga tempat-tempat menarik yang saya selalu kunjungi. Saya tidak dapat lihat nikmat sebaik Malaysia walaupun terdapat negara yang dianggap maju dan membangun seperti Jepun, Korea, dan sebagainya.
Adakalanya saya pernah terfikir, mengembara sebenarnya sedang mendidik saya dengan rasa syukur pada nikmat sebelum ini yang saya tidak pernah sedari dan secara tidak langsung perkara atau pengalaman yang saya telah lalui sebelum ini saya dapat anggapnya sebagai hikmah (kebaikan) berbanding saya lihat sebelum ini sebagai keburukan.
Nikmat Kebebasan.
Nikmat kebebasan ini sesungguhnya adalah antara nikmat terbesar yang diberikan kepada saya sebagai manusia setelah saya melakukan refleksi sepanjang saya dalam tempoh mengembara. Saya menyedarinya pada ketika itu bahawa saya telah pun membuat satu keputusan untuk mengembara dan saya sudah pun melakukannya. Saya juga sedar bahawa saya sebenarnya diberikan pilihan untuk membuat sesuatu keputusan dalam hidup. Hakikatnya saya tahu kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak. Akan tetapi, apa yang saya rasakan saya diberikan kebebasan untuk 'mencorakkan' kehidupan saya yang bagaimana. Oleh yang demikian, saya masih kekal berpendapat bahawa kebebasan adalah suatu nikmat yang besar bagi saya. Sebagai contoh, saya bebas untuk membuat pilihan, saya bebas untuk bergerak ke mana-mana, saya bebas untuk bersuara, saya bebas untuk memilih pekerjaan yang bagaimana, saya bebas dalam berpendapat (pemikiran) selagi tidak melanggar nilai etika dan moral.
Disamping itu, petikan ayat dalam Al-Quran juga terdapat maksud tersirat maksud kebebasan yang menyentuh tentang mengubah nasib. Nikmat kebebasan saya kira adalah sebuah nikmat dan peluang yang terbaik untuk mengubah nasib kerana kita diberi pilihan untuk memilih.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri." - (Surah Ar-Ra’d, 13:11)
Nikmat kebebasan paling sukar untuk disyukuri apatah lagi manusia tidak menyedari tentangnya.
Pengalaman yang lebih bermakna.
Pengalaman yang mahal itu sukar dicari. Lebih-lebih lagi pengalaman melalui perjalanan yang mendidik jiwa. Dengan mengembara, pengalaman yang saya lalui itu terasa lebih bermakna kerana saya dapat melihat sesuatu keunikan dan perbezaan di sepanjang perjalanan. Pengalaman yang bermakna ini tidak hanya semata-mata tentang keseronokan sahaja. Tetapi pengalaman buruk atau yang tidak menyeronokkan tetap ia sebuah pengalaman yang bermakna. Namun untuk mencapai hikmah, sebaiknya saya cuba melihat dengan perspektif yang berbeza. Apabila melihat dengan perspektif yang berbeza, ianya lebih bermakna kerana melihat dengan menyeluruh. Sebagai contoh, bagaimana saya mengendalikan perbincangan bersama orang Atheis yang sentiasa menegakkan hujah dan pendiriannya bahawa beliau berada dalam golongan yang benar. Namun, saya kekal tenang dan tidak menghukumnya terlebih dahulu. Saya memberi sepenuh perhatian dan tidak memilih untuk berdebat dengannya. Tetapi apa yang berlaku selepas peristiwa itu, kami menjadi rakan di media sosial dan ada waktu kami menghubungi dan bertanya khabar. Peristiwa ini membuatkan saya teringat sehingga kini kerana masih dapat mengekalkan hubungan baik antara saya dan beliau.
Selain itu, pengalaman di mana saya telah memberi nasihat kepada pengembara dari Korea yang mengalami depresi yang teruk dan pernah melakukan 'self-cutting' sebelum itu dan beliau telah meminta pendapat dari saya adakah baik untuk beliau membuat keputusan untuk bercerai kerana situasi kesihatan mentalnya yang tidak berapa baik. Saya menyantuni emosinya terlebih dahulu dan saya memberi nasihat supaya jangan bercerai, fikirkan anak perempuan yang memerlukan seorang bapa dan juga kesan selepas perceraian. Dengan izin Tuhan, beliau mendengar nasihat saya dan sehingga kini kami masih berkawan baik. Saya masih ingat lagi pada masa itu tahun 2022, beliau sanggup datang ke Singapura untuk melihat keadaan saya selepas saya melakukan surgeri dan pada masa itu tahap kesihatan saya masih dalam proses untuk sembuh. Pada tahun 2019 juga, beliau pernah datang ke Malaysia berjumpa dengan saya sambil melawat Malaysia masa itu dan saya membenarkan beliau tinggal di rumah saya di Kuala Lumpur pada waktu itu bagi menyantuni tetamu.
Bagi saya ini pengalaman yang bermakna buat saya di mana mereka walaupun mengalami konflik jiwa tetapi kami masih mempunyai hubungan baik sehingga kini.
Menambah rangkaian atau rakan baharu.
Selain itu, hikmah yang saya dapat daripada mengembara sudah pasti saya berjumpa dan mengenali ramai pengembara di serata dunia termasuk orang tempatan di negara tersebut. Kuncinya adalah sentiasa berbual dengan mereka dan fokuskan bertanya tentang diri mereka dan pengalaman hidup mereka. Saya mengambil inisiatif mengenali mereka memandangkan saya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan secara tidak langsung kisah mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi yang berguna. Selain itu, hikmah ini saya dapat lihat sebenarnya tanpa saya sedar akan memudahkan urusan saya pada masa hadapan sekiranya saya ingin pergi ke negara tersebut dan mungkin berpeluang berjumpa dengan mereka di sana dan dapat menyelami budaya hidup orang tempatan yang sebenar. Tambahan lagi, rangkaian dan rakan baharu juga saya dapat lihat ianya merupakan sebagai perantaraan atau pemudahcara untuk mendapat peluang kerja, perniagaan, kolaborasi sesebuah projek dan sebagainya yang kita tidak tahu bagaimana akan datang perancangan Tuhan.
Pada tahun 2019, saya pernah menjadi sukarelawan sewaktu di Kyrgyzstan melalui satu platform Workaway untuk mengajar kanak-kanak di perkampungan Osh. Selepas itu, ditakdirkan berjumpa dengan orang tempatan di situ yang telah menerima saya sebagai tetamunya dan saya telah menginap beberapa hari di rumahnya. Kini, beliau telah menjadi sebahagian tim kolaborasi saya untuk akan datang.
Hakikat lain pastinya ramai yang terlepas pandang bahawa apabila mempunyai rakan baharu secara tidak langsung dakwah boleh disampaikan tanpa perlu perdebatan tentang perbezaan agama. Dakwah di zaman ini lebih kepada mereka hanya melihat cara dan tingkah laku kita sebagai Muslim terhadap mereka. Cukup dengan dakwah dengan teladan.
Memahami Islam yang sebenar.
Hakikatnya, saya memahami Islam yang sebenar melalui mengembara. Saya maksudkan ini bukanlah negara lain itu lebih Islamnya berbanding di Malaysia, tetapi saya dapat melihat kepelbagaian dan perbezaan mazhab, sikap dan akhlak mereka, budaya, kepercayaan dan sebagainya supaya saya dapat meraikan perbezaan ini dengan berlapang dada. Walaupun terdapat perbezaan mazhab dan budaya dalam beragama, tetapi tauhid tetap satu seperti Muslim yang lain. Hakikat perasaan memahami Islam yang sebenar itu sangat berbeza sekiranya tanpa melihat Islam di dunia luar. Pastinya akan terdapat penilaian yang berbeza daripada orang yang melihat dunia luar dan sebaliknya. Sebagai contoh, sebelum saya mengembara saya bersikap skeptikal tentang orang-orang Iran kerana mereka beraliran Syi'ah. Saya sangkakan mereka ekstrimis dan pastinya saya beraliran Sunni akan mendapat tentangan sekiranya saya ke Iran. Tetapi apabila saya sendiri berada di Iran, perspektif saya terhadap Iran telah berubah. Layanan dan hospitaliti mereka terhadap saya dan pengembara di negara lain sangat baik.
Saya merasakan mereka jauh lebih baik Islamnya berbanding saya yang bergelar Sunni. Salah satu sebabnya adalah layanan mereka yang begitu baik dan cara hidup mereka yang terlalu sederhana.
Mengembara salah satu cabang rezeki.
Saya percaya bahawa selepas saya melalui pengalaman ini ternyata mengembara meluaskan rezeki yang tidak khusus kepada wang semata. Tetapi, rezeki dalam menerima rakan baharu sama ada luar dan dalam negara, mendapat peluang sama ada pekerjaan atau pendapatan. Malah, ada yang saya lihat mereka ini kreatif dalam menjana pendapatan demi meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, diberi peluang untuk berkerjasama. Malah, rezeki dan peluang untuk mengembara di negara-negara lain.
Di negara Eropah, saya ketahui bahawa mereka yang pergi mengembara menjadi sebagai batu loncatan untuk mereka mendapatkan sesuatu peluang lebih baik sama ada dalam pekerjaan atau menjana pendapatan. Hakikat lain pula, ternyata di sana kebanyakan majikan lebih menghargai kemahiran baik kemahiran 'survival' atau kemahiran-kemahiran lain disamping mengutamakan akademik.
Di Malaysia, saya perhatikan kebanyakan mereka telah memilih untuk bekerja sendiri atau berniaga berbanding makan gaji selepas melakukan pengembaraan jangka panjang. Mereka juga memilih untuk kehidupan yang perlahan dan tidak mahu menyesakkan kepala dengan pelbagai tekanan.
Justeru, terdapat banyak lagi hikmah disebalik mengembara yang saya pelajari kerana dalam setiap perjalanan yang beribu batu dan tempoh yang lama pastinya hikmah itu dapat dikutip dan dijadikan sebagai pengajaran dalam hidup.