Seorang pengembara sejati memiliki falsafah hidup yang tersendiri dalam diri mereka. Setiap daripada mereka mempunyai falsafah yang berbeza. Apabila berbicara tentang falsafah, pasti terdapat visi dan misi yang jelas sebagai pengembara dan tujuan mereka mengembara. Falsafah hidup dan prinsip yang dipegang oleh seorang pengembara memainkan peranan penting dalam menentukan siapa mereka sebenarnya. Mereka sering menjadi inspirasi kepada orang lain untuk menyumbang nilai kepada masyarakat dan negara.
Bagi saya, seorang pengembara tidak perlu dilabel sebagai "berjaya" atau "gagal". Jumlah negara yang telah dilawati bukan penentu kejayaan mereka sebagai pengembara. Yang lebih penting adalah sikap dan kualiti yang ada pada diri mereka. Oleh itu, mari kita lihat beberapa falsafah hidup bagi pengembara yang berkualiti dari perspektif saya sebagai pengembara.
Keterbukaan.
Satu perkara yang pasti, sikap keterbukaan (open-minded) atau fleksibel adalah sikap yang perlu ada untuk menjadi seorang pengembara. Keterbukaan bermaksud sikap yang bersedia untuk mendengar, menerima pandangan, dan kritikan orang lain. Fleksibiliti pula bermaksud "mudah dilentur" mengikut keadaan atau situasi.
Sebagai contoh, apabila terlibat dalam perbincangan mengenai budaya orang tempatan, pengembara perlu bersedia mendengar dan menerima pandangan mereka. Perbincangan tersebut mungkin menyentuh sensitiviti, bias, atau perasaan 'terasing', tetapi ia perlu dikendalikan dengan profesional dan tanpa emosi yang boleh mencetuskan konflik. Sikap keterbukaan ini dapat melahirkan kepercayaan dan memudahkan kerjasama dengan sesiapa sahaja pada masa akan datang. Hakikatnya, sikap keterbukaan ini menjadikan urusan lebih lancar dan mudah.
Sikap keterbukaan membantu pengembara mengadaptasi diri dengan perbezaan atau pengalaman 'terasing' mengikut persekitaran yang sentiasa berubah. Lee Kok Hwan, seorang psikologis dari Korea Selatan, dalam bukunya "Hidupkan Pagi Demi Petang yang Indah" (sebuah buku motivasi atau 'self-help' mengenai nilai untuk meneruskan kehidupan), menyatakan bahawa keterbukaan dapat mengadaptasi perubahan di sekeliling. Menurut beliau, apabila kita mengembara, kita mengetahui tempat-tempat yang tidak dikenali, meluaskan ufuk pengalaman dan persepsi, dan memberi makna baharu kepada kehidupan kita.
Namun, keterbukaan tidak bermakna kita hanya menerima kritikan tanpa memberikan pendapat. Tindakan yang terbaik adalah secara berhikmah dan profesional. Jika terlibat dalam situasi sukar, berdiam diri adalah 'batas' yang lebih baik.
Sikap yang menyeluruh.
Dalam konteks pengembaraan, terdapat cabaran dan risiko yang perlu dihadapi. Daya tahan sangat penting untuk memastikan tidak mudah berputus asa. Namun, memiliki daya tahan sahaja tidak mencukupi.
Sikap menyeluruh bermaksud melihat pandangan atau pendekatan dalam semua aspek dan faktor-faktor lain mengikut keadaan atau sesuatu isu. Sikap ini mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan lain, bukan hanya satu perspektif sahaja. Selain itu, tidak hanya bergantung pada satu sumber maklumat, tetapi juga pelbagai sumber melalui pengetahuan dan pengalaman. Sebagai contoh, untuk mendapatkan pemahaman sesuatu isu dengan lebih mendalam, sekiranya hanya bergantung pengetahuan daripada buku tetapi tidak mempunyai pengalaman, ianya belum mencukupi.
Sikap fleksibel dalam menerima maklumat baru atau pandangan yang berbeza juga penting. Pengembara perlu mempunyai keseimbangan aspek fizikal, mental, emosi, rohani, dan sosial. Akhir sekali, aspek empati sangat diperlukan dalam diri pengembara. Apabila pengembara memiliki sikap ini, mereka dapat melahirkan pengembara yang berkualiti.
Saya dapati kebanyakan pengembara tidak mempunyai sikap menyeluruh dan masih terdapat prejudis, diskriminasi, dan sikap berat sebelah dalam membuat penilaian. Mereka juga tidak mengambil iktibar atau kesedaran secara menyeluruh dan mengamalkan nilai tidak bermoral dan beretika. Masih terdapat pengembara yang mengambil bahan-bahan terlarang seperti ganja. Lebih merisaukan, terdapat pengembara yang hilang pegangan akidah dan tauhid. Apa yang mereka capai semasa mengembara? Adakah hanya untuk keseronokan semata-mata?
Kesedaran.
Kesedaran atau 'awareness' dalam konteks pengembaraan bermaksud kemampuan untuk menyedari, memahami, dan peka terhadap diri sendiri, orang lain, serta persekitaran sekeliling. Kesedaran ini lebih bersifat jangka panjang dan meliputi beberapa aspek seperti kesedaran terhadap diri, masyarakat, budaya, persekitaran, keselamatan, sosial dan sebagainya.
Untuk menjadi pengembara berkualiti, kesedaran memainkan peranan penting dalam mengenal diri dengan lebih mendalam, termasuk mengenal kekuatan dan kelemahan diri. Kesedaran terhadap orang lain dengan lebih empati dan peka terhadap perasaan dan keadaan orang lain dapat mewujudkan hubungan baik yang berterusan dan harmoni.
Kesedaran ini secara tidak langsung melahirkan pengembara yang bertanggungjawab, bukan hanya berfokuskan matlamat peribadi tetapi juga peka terhadap orang lain dan persekitaran. Kesedaran ini mengelakkan untuk menjadi pengembara yang bersifat individualistik, tetapi mendidik ke arah menyumbang terhadap masyarakat dan negara.
Pembelajaran berterusan.
Pembelajaran berterusan atau sepanjang hayat bermaksud memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman. Pembelajaran sepanjang hayat boleh berlaku melalui pelbagai kaedah, tidak terhad kepada pembelajaran formal seperti di sekolah atau universiti. Ia juga boleh berlaku secara tidak formal, seperti melalui pengalaman hidup dan membaca buku. Pembelajaran sepanjang hayat memberi manfaat kepada pengembara dengan sentiasa memperbaiki diri, meningkatkan keyakinan diri, dan mengemaskini kemahiran yang relevan mengikut keperluan semasa yang sentiasa berubah.
Dari sudut psikologi, pembelajaran berterusan meningkatkan daya ingatan dan keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif. Pengembara juga memerlukan kreativiti untuk mencipta idea baru dalam menyelesaikan masalah memandangkan mereka terdedah kepada cabaran dan risiko semasa mengembara.
Kesimpulannya, falsafah sebagai pengembara merangkumi keterbukaan, sikap menyeluruh, kesedaran, dan pembelajaran berterusan. Dengan keempat-empat falsafah ini, saya percaya mereka dapat menjadi pengembara yang berkualiti dan memberi inspirasi kepada masyarakat. Dalam dunia pengembaraan yang penuh risiko dan cabaran, falsafah ini menjadi prinsip penting untuk menjadi pengembara sejati.
"Dunia ini begitu luas dan terdapat pengajaran yang tidak ternilai. Jadilah pengembara yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan pengalaman."