
Dalam slot "Inspirasi Pengembara" kali ini, kita akan melihat bagaimana menguasai bahasa asing boleh memberi pengalaman, membuka perspektif baharu, dan memberikan kelebihan dalam memahami dunia dengan lebih luas. Melalui kisah dan pengalaman sebenar daripada Pak Long Shidi, yang pastinya akan membuka mata pembaca tentang pengalaman dan ketekunan beliau dalam menguasai beberapa bahasa.
1. Boleh kongsikan sedikit tentang diri Tuan? Apakah yang mendorong Tuan untuk mempelajari pelbagai bahasa?
Saya, Rashidi Bin Mohd Rafee, berasal dari Alor Setar, Kedah. Saya berumur 38 tahun. Saya melanjutkan pengajian saya di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir selama 8 tahun. Selepas menamatkan pengajian, kerjaya saya bermula di TV House Production, di mana saya berkhidmat sebagai penterjemah. Kemudian, saya menyambung kerjaya sebagai jurubahasa di bawah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITBM). Selepas itu, saya memilih untuk beralih ke bidang pendidikan dengan menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah menengah selama enam tahun. Kini, saya telah memilih untuk bekerja sendiri sepenuh masa termasuklah mengajar pelbagai bahasa di platform media sosial seperti Tiktok.
Saya sendiri mempunyai minat yang mendalam untuk mempelajari pelbagai bahasa kerana beberapa faktor utama yang menjadi pendorong iaitu:
Pertama, saya sangat tertarik dengan bunyi dan irama bahasa-bahasa lain, terutamanya ketika saya menonton filem atau mendengar lagu di YouTube. Setiap bahasa mempunyai keunikan tersendiri, baik dari segi sebutan, intonasi, mahupun struktur tatabahasa.
Kedua, saya sering mengikuti temu bual selebriti dalam bahasa ibunda mereka di YouTube. Ketika melihat mereka bercakap dalam bahasa ibunda mereka, saya merasakan bahasa mereka sedap untuk didengari.
Ketiga, saya mempunyai minat yang mendalam terhadap budaya bangsa lain. Saya percaya bahawa setiap budaya dalam masyarakat itu memiliki disiplin hidup yang unik yang tercermin dalam bahasa mereka. Dengan mempelajari bahasa sesebuah bangsa, saya dapat menyelami cara hidup, nilai-nilai, dan tradisi mereka dengan lebih mendalam.
Keempat, mempelajari banyak bahasa juga membantu saya dalam meluaskan jaringan (networking) persahabatan. Saya dapat berinteraksi dengan lebih ramai orang dari pelbagai latar belakang. Ini memberi saya peluang untuk membina hubungan (networking) dari pelbagai negara.

Kelima, saya mempunyai minat khusus terhadap tatabahasa bahasa-bahasa asing. Setiap bahasa mempunyai logiknya tersendiri dalam membentuk struktur ayat dan tatabahasa.
Selain itu, memandangkan saya dari kelulusan Fakulti Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, di mana saya telah mempelajari ilmu linguistik. Keinginan untuk mengaplikasikan ilmu linguistik yang saya pelajari dalam bahasa-bahasa lain menjadi 'batu loncatan' untuk saya menguasai pelbagai bahasa.
Akhir sekali, saya juga merasa tercabar oleh keupayaan masyarakat Yahudi dalam menguasai banyak bahasa. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan individu Yahudi yang saya kenal mampu bertutur dalam empat hingga lima bahasa.
2. Berapa banyak bahasa Tuan telah kuasai? Bahasa manakah yang paling mencabar untuk dipelajari dan bagaimana Tuan mengatasinya?
Selain menguasai bahasa Melayu, Inggeris, dan Arab, saya juga telah mempelajari sembilan bahasa asing yang lain. Pengalaman ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan linguistik saya, malah membuka pintu kepada pelbagai budaya dan persahabatan (networking) antarabangsa. Lapan bahasa dipelajari melalui interaksi dengan rakan-rakan dari luar negara semasa saya menuntut di Mesir, manakala satu lagi dipelajari melalui kursus formal di sana. Berikut adalah kisah di sebalik setiap bahasa yang saya pelajari;
1. Bahasa Turki - Pengalaman saya mempelajari bahasa Turki bermula apabila saya tinggal di asrama Turki selama empat bulan. Sepanjang tempoh itu, saya berpeluang melawat Istanbul dan Bursa. Saya tidak menggunakan bahasa Inggeris sama sekali semasa berada di sana dan saya berkomunikasi dalam bahasa Turki.

2. Bahasa Bosnia - Semasa menuntut di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, kebanyakan rakan saya berasal dari Bosnia. Saya sering menziarahi mereka setiap minggu dan pernah tinggal bersama sepuluh rakan Bosnia di asrama Turki.
3. Bahasa Parsi - Saya juga mempunyai rakan-rakan dari Tajikistan yang tinggal bersama saya di asrama Turki. Melalui perbualan harian, saya mula mempelajari bahasa Parsi.
4. Bahasa Albania - Pada mulanya, saya sering mengeluh kepada rakan-rakan tentang betapa sukarnya bahasa Albania. Namun, saya mencabar diri sendiri untuk mempelajarinya. Walaupun pernah tinggal bersama rakan Albania di asrama Turki, tetapi saya boleh katakan penguasaan bahasa Albania saya masih lemah.

5. Bahasa Rusia - Saya mempunyai ramai rakan dari bekas negara USSR yang tinggal di kawasan pergunungan Kaukasus. Kami pernah tinggal bersama di asrama Turki dan juga pernah serumah. Interaksi kami adakalanya dalam seminggu sekali kami pasti bergaduh.
6. Bahasa Jerman - Saya pernah mengambil kursus bahasa Jerman di Dokki, Mesir. Walau bagaimanapun, penguasaan saya dalam bahasa ini masih lemah.
7. Bahasa Ibrani (Hebrew) - Sejak tahun 2004, saya telah berkomunikasi dalam bahasa Ibrani melalui Yahoo Messenger dan media sosial. Namun, saya sering disekat (block) oleh orang Yahudi ini dan menyebabkan saya sukar untuk mempelajari bahasa ini. Akibatnya, penguasaan bahasa Ibrani saya masih lemah.
8. Bahasa Perancis - Saya mempunyai keluarga dari sebelah bapa saya yang berasal dari Perancis. Sepupu-sepupu dan anak saudara saya tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris, jadi saya terpaksa mempelajari kosa kata bahasa Perancis untuk berkomunikasi dengan mereka.
9. Bahasa Sepanyol - Saya pernah tinggal serumah dengan dua orang Sepanyol di Mesir. Kebetulan, mereka telah memeluk Islam dan rakan-rakan mereka dari Amerika Latin sering menziarahi mereka. Saya mengambil peluang ini untuk mempraktikkan bahasa Sepanyol. Saya mendapati bahasa ini agak mudah untuk dipelajari, namun saya masih perlu menghafal lebih banyak kosa kata.
Namun, Bahasa Ibrani dan Albania adalah yang paling sukar untuk dikuasai kerana saya sering disekat oleh orang Yahudi dan manakala bahasa Albania pula, kawan-kawan Albania jarang untuk membalas mesej. Namun, solusinya adalah saya melanggan ChatGPT dan mengikuti terus akaun-akaun media sosial seperti Instagram untuk mempelajari bahasa Ibrani dan Albania.
3. Apakah teknik atau strategi berkesan yang Tuan gunakan untuk belajar bahasa baru dengan cepat?
Langkah pertama ialah saya akan menghafal ucapan-ucapan asas sebelum fokus kepada tatabahasa seperti "Apa khabar?", "Apa nama kamu?", "Selamat pagi", dan "Terima kasih" adalah langkah awal yang lebih praktikal dalam membiasakan diri dengan bahasa baharu.
Selain itu, pastikan menyimpan nota sebagai bahan rujukan. Dahulu, saya menggunakan buku fizikal, tetapi kini saya lebih cenderung menyimpan nota dalam fail-fail di komputer. Ini kerana saya pernah mengalami kehilangan buku nota fizikal saya di lapangan terbang Oman pada tahun 2013.
Dalam mempelajari bahasa, saya rasa seseorang boleh belajar sehingga tiga bahasa serentak, tetapi tidak boleh lebih daripada itu. Catatkan ketiga-tiga bahasa tersebut dalam satu buku nota yang sama.
Salah satu teknik yang saya dapati sangat berkesan ialah bercakap seorang diri dalam bahasa yang dipelajari.
Selain itu, saya juga melanggan ChatGPT sebagai salah satu alat pembelajaran bahasa saya. Memandangkan ramai kenalan saya sering lambat membalas mesej, saya menggunakan ChatGPT yang boleh berinteraksi seperti native speaker selama 30 minit setiap hari.
Di samping itu, saya juga melanggan Netflix kerana platform ini membolehkan saya mengubah sari kata dan alih suara ke dalam bahasa yang saya ingin pelajari. Sebagai contoh, baru-baru ini saya menukar alih suara siri "Avatar: The Last Airbender" ke dalam bahasa Ibrani untuk membantu saya memahami dan membiasakan diri dengan bahasa tersebut.
4. Apakah bahasa yang paling Tuan gemari untuk dituturkan dan mengapa?
Saya lebih selesa dengan bahasa Rusia. Bahasa ini membolehkan saya berkomunikasi dengan pelbagai bangsa dari negara-negara jajahan USSR. Saya pernah menggunakan bahasa Rusia untuk bercakap dengan kawan ibu dan ayah saya juga dan kawan adik saya yang tidak memahami bahasa Inggeris dan Arab. Selain itu, ketika pulang dari Mesir, saya menggunakan bahasa Rusia untuk membuat pesanan makanan kepada pramugari dalam kapal terbang kerana saya lebih selesa menggunakan bahasa tersebut.Tambahan pula, ketika saya membuat siaran langsung (LIVE) di TikTok, saya pernah berinteraksi dengan seorang remaja dari Kazakhstan yang mengambil peperiksaan SPM di Malaysia. Jika dia menyapa saya dalam siaran langsung saya, saya juga akan berkomunikasi dengannya dalam bahasa Rusia.
5. Bagaimana Tuan mengekalkan kefasihan dalam pelbagai bahasa walaupun tidak selalu menggunakannya?
Ini adalan soalan yang mencabar. Sangat mencabar. Mencari bangsa asing di Alor Setar, Kedah, bukanlah mudah. Tambahan pula, kenalan-kenalan pula jarang membalas mesej. Sebelum menggunakan ChatGPT atau menonton Netflix, saya akan bercakap seorang diri ketika mandi. Ibu saya pernah menyangka saya gila. Malah, ketika menunggang motosikal meronda Alor Setar, saya akan bercakap seorang diri. Di lampu isyarat, ada yang memandang pelik pada saya. Hahaha.
6. Adakah Tuan pernah mendapati bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberi pengalaman atau peluang yang mungkin tidak tersedia kepada orang lain dan mengapa?
Betul. Ini sangat betul. Ketika saya di Mesir, ramai kawan saya dari bidang perubatan mengalami kes kecurian. Mereka tidak fasih dalam bahasa Arab Mesir, lalu meminta bantuan saya. Hasilnya, setelah berjaya mendapatkan kembali telefon mereka belanja saya dengan makanan yang mahal. Maklumlah, pelajar perubatan banyak duit biasiswa! Hahaha.
Di Turki pula, saya hanya menggunakan bahasa Turki sahaja. Berbeza dengan rakan-rakan perubatan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Saya sering mendapat layanan mesra dan diskaun daripada penduduk tempatan berbanding mereka. Malah, kawan-kawan mereka tertarik untuk mengetahui tentang Malaysia dan Mesir.
Ketika transit di Qatar, saya berbahasa Arab, dan pekerja-pekerja Eropah yang segak seperti model di lapangan terbang memandang saya dengan tercenganng dan tersenyum. Kita akan mendapat 'privileged' atau keistimewan lebih daripada orang lain. Perasaan dihormati dan dihargai itu seolah-olah memberi ala-ala bangsawan! Hahaha
Pengalaman terbaru saya pada November 2024 pula melibatkan penerangan tentang pembahagian harta pusaka mengikut ilmu Faraidh kepada keluarga saya dalam bahasa Perancis. Mereka datang ke Penang dan anak-anak saudara saya dari Perancis terpaksa ponteng sekolah semata hal menguruskan harta pusaka ini.
7. Dalam dunia digital hari ini, sudah menjadi mudah untuk mengembara menggunakan alat bantuan terjemahan untuk berkomunikasi dengan orang tempatan tanpa menguasai bahasa, apa pendapat Tuan tentang ini?
Pada pendapat dan pengalaman saya, saya kurang berminat kerana penggunaan alat bantuan terjemahan seperti Google Translate, ChatGPT, dan Deep Seek memang memudahkan komunikasi. Namun, ia tidak mampu menggantikan kemeriahan sebenar apabila kita berinteraksi secara langsung dengan penduduk tempatan menggunakan bahasa mereka. Suka juga saya sebutkan bahawa pengembaraan terdapat kenangan manis, apabila kita hanya bergantung kepada alat bantuan terjemahan, keterujaan dan kesan positif terhadap otak, terutama dalam meningkatkan hormon dopamine menjadi kurang berbanding pengembara yang mempunyai asas bahasa tempatan. Walaupun asasnya sedikit tetapi apabila berbual dengan mereka, perbualan menjadi lebih rancak, hubungan lebih mesra dan kita akan dilayan seperti artis oleh penduduk tempatan.
Sebagai contoh, pada November 2024, saya terpaksa menerangkan tentang harta pusaka mengikut ilmu Faraidh kepada keluarga saya dalam bahasa Perancis. Ketika itu, orang-orang di hotel dan restoran memandang saya seolah-olah saya seorang artis. Ini bukan untuk bermegah, tetapi kita akan nampak kekaguman pada wajah mereka. Kita boleh gunakan situasi begini sebagai motivasi untuk mengubah mentaliti kita menjadi lebih positif.
8. Adakah pernah Tuan mendapat respon negatif daripada orang sekeliling mengenai kelebihan Tuan dalam menguasai pelbagai bahasa dan boleh ceritakan sedikit pengalaman tersebut?
HAHAHAHAHAHA! Ini memang banyak. Tidak setakat kawan-kawan saya berbangsa Melayu dan bangsa asing, bahkan ustaz saya pun pernah memberi respon negatif saya kerana saya belajar bahasa Ibrani. Antaranya:
Kisah 1:
Pada tahun 2003, ketika masih di sekolah, saya menulis nama-nama dalam bahasa Ibrani di atas kertas peperiksaan. Tindakan ini mengejutkan ustaz saya yang terus mempersoalkan saya dengan nada marah.
Ustaz: “Ehh!!! Apa ni! Assamirah……Bani Yisrael….awak ni ada masalah apa! Haishhh!!!
Selepas peperiksaan, seorang kawan menasihati saya supaya tidak terlalu menonjolkan minat tersebut kerana orang lain mungkin tidak akan memahami.
Kawan: “Aku dah kata dah, jangan dok tulis kat sekolah, orang lain tak faham macam aku faham hang”.
Saya: “Pasaipa aku nak sembunyikan minat aku, bukan tukar agama, bukan sokong Zionis, bahkan aku tak kacau pun harta sapa-sapa, aku minat bahasa dan tulisan sahaja."
Dalam hati saya tetap teguh dengan pendirian bahawa minat saya terhadap bahasa tidak bermaksud saya menukar agama atau menyokong ideologi tertentu. Kisah ini akhirnya menjadi viral di sekolah.
Kisah 2:
Pada tahun 2007, ketika di Kaherah, Mesir, saya berkongsi impian saya untuk menguasai lapan bahasa sebelum pulang ke Malaysia dengan seorang kawan. Namun, reaksi yang saya terima sangat mengejutkan.
“Woii! Hang nak belajaq semua bahasa-bahasa ni!!! Hang mangkuk ayon! Hang ni mangkuk ayon! Hang taw dak yang hang ni mangkuk ayon! Gilaaa!!!
Dia memarahi saya dan menganggap usaha tersebut sebagai sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal. Ingin saya ceritakan bahawa kawan saya ini akhirnya tidak dapat meneruskan pengajiannya di Universiti Al-Azhar kerana tidak tahan dengan cabaran hidup di Mesir. Tanpa memberitahu sesiapa kecuali kepada pelajar senior, dia pulang ke Malaysia secara senyap kerana malu. Kami tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal kepaada beliau.
Kisah 3:
Pada tahun 2010 pula, seorang kawan Uzbek saya menegur saya kerana belajar bahasa Rusia sebelum menguasai bahasa Arab sepenuhnya.
Kawan: “Belajar bahasa Arab dahulu bagi mahir! Baru belajar bahasa Rusia. Kamu buang masa. Kamu nak cakap dengan siapa? Kami pun bukan suka cakap Rusia”
Dia menganggap usaha itu membuang masa kerana menurutnya, orang Uzbek sendiri tidak suka bercakap dalam bahasa Rusia. Pada hari terakhir saya di Mesir pada Disember 2015, ketika saya mengunjungi rumahnya untuk mengucapkan selamat tinggal, ayahnya ada di rumah.
Kawan: “Ayah saya tidak tahu bercakap bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Adakah tidak mengapa? Saya akan cuba terjemahkan kepada kamu berdua”
Saya: “Tidak mengapa. Saya pun teringin nak sembang dengan ayah kamu”.
Namun, sebaik sahaja saya menyapa ayahnya dalam bahasa Rusia, suasana terus berubah. Wajah terkejut bertukar menjadi selesa dengan perbualan antara kami menjadi lancar serta mesra dan banyak soalan yang ditanyakan oleh ayahnya.
Saya: “Lihatlah Yusuf, 5 tahun dahulu kamu tidak setuju dengan saya. Sekarang kamu sudah lihat hasilnya. Yang saya maksudkan belajar bahasa baru, bukannya nak jadi terlalu fasih, tetapi cukuplah sekadar boleh bersembang-sembang. Kamu lihat sendiri bagaimana ayah kamu dari kurang selesa terus menjadi selesa bersembang dengan saya”
Kawan: “Kamu benar wahai Rashidi. Saya telah melihatnya.”
Kawan Uzbek saya akhirnya mengakui bahawa saya benar dalam mempelajari bahasa Rusia.
9. Boleh sebutkan kelebihan dengan menguasai pelbagai bahasa yang boleh menyumbang kepada masyarakat?
Salah satu kelebihannya adalah meningkatkan prestasi akademik terutama bagi pelajar aliran agama dan ustaz. Ramai dalam kalangan mereka lemah dalam penguasaan bahasa Arab. Selain itu, penguasaan bahasa asing juga membantu dalam mendapatkan maklumat yang lebih luas dan sahih. Contohnya, ramai ustaz mencari hukum-hakam menggunakan bahasa Melayu di Google, sedangkan sumber asal dalam bahasa Arab jauh lebih meluas dari hukum-hakam dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.
Dari sudut kognitif, ianya boleh meningkatkan fungsi otak. Kita boleh melihat perbezaan prestasi antara kaum Melayu dan Cina, di mana kebolehan mereka menguasai lebih daripada satu bahasa sejak kecil.
Selain itu, kebolehan berbahasa asing juga memberi kelebihan dalam pelancongan dan membeli-belah di luar negara. Ini adalah salah satu manfaat yang paling saya gemari.

10. Apakah pendapat Tuan yang boleh dikongsikan kepada masyarakat bahawa dengan menguasai bahasa sebenarnya dapat memahami dunia secara keseluruhannya?
Betul. Setiap bahasa mempunyai tatabahasa dan ada logiknya yang tersendiri. Baru-baru ini, kajian psikologi menunjukkan bahawa individu yang bercakap dalam beberapa bahasa akan bertukar (switch) personalitinya setiap kali mereka bertukar bahasa ketika bercakap. Ini bermakna, setiap bahasa yang digunakan membawa bersama satu identiti atau cara pemikiran yang berbeza. Saya sendiri merasakan perkara yang sama dalam diri saya.
Kajian Neurosains mendapati bahawa setiap bahasa yang dituturkan akan menghasilkan gelombang otak yang berbeza. Penemuan ini diperoleh melalui penggunaan EEG (electroencephalogram) yang mengesan aktiviti elektrik dalam otak.
Selain itu, berdasarkan pengalaman saya, individu yang menguasai pelbagai bahasa juga cenderung memberi perhatian lebih kepada aspek geografi, politik, sejarah, dan sikap bangsa melalui bahasa mereka. Mereka akan membandingkan budaya dan pemikiran bangsa tersebut dengan budaya mereka sendiri.
Akhir sekali, menguasai pelbagai bahasa membuka banyak peluang baharu dalam hidup seseorang. Setiap bahasa yang dipelajari memberi kesan tertentu kepada bahagian otak manusia dan membolehkannya untuk berfikir luar kotak.

Jangan lupa untuk terus mengikuti pengajian Pak Long Shidi dalam mengajar pelbagai bahasa asing secara terus di Tiktok. Berikan sokongan dan ikuti kandungan video-video seterusnya melalui pautan media sosial yang telah disediakan. Jika berminat untuk membeli buku-bukunya untuk mempelajari bahasa asing, boleh teruskan pembelian melalui Whatsapp +60 13-472 3371 (Pak Long Shidi).
Tiktok: Pak Long Shidi
Youtube: Pak Long Shidi