Penulis: Syazwan A. Bakar
Ketika remaja, saya mengenali bangsa Kurdi sebagai bangsa yang sama dengan Salahuddin al-Ayyubi. Pada zaman moden, mereka adalah bangsa yang mengalami pembunuhan beramai-ramai dalam Tragedi Halabja pada tahun 1988.
Perkenalan saya dengan bangsa Kurdi berlanjutan berterusan selepas saya melintas sempadan Qamishli (Syria) - Nusaybin (Turki) sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Di situ, saya mula berbual dengan rakan-rakan sebaya yang berbangsa Kurdi dan mula memahami pemikiran serta hati budi mereka.
Geografi
Bangsa Kurdi adalah bangsa yang menetap di kawasan yang berdekatan empat buah negara; Turki (di kawasan Timur dan Tenggara Turki), Syria (sekitar Hasakeh, Deir Zour, Afrin), İran, dan Iraq. Di Iraq mereka telah mempunyai wilayah autonomi di beberapa buah negeri seperti Dohuk, Erbil, dan Sulaimaniyyah.
Bahasa
Mereka menuturkan bahasa utama negara di mana mereka menjadi warganegara sebagai bahasa rasmi. Di Turki, mereka bertutur dalam bahasa Kurmanji yang menggunakan abjad Latin. Manakala di sebelah Iraq, mereka bertutur dalam bahasa Sorani yang menggunakan abjad Arab. Terdapat juga dialek minor seperti Zazaki (di Turki) dan Gorani (di Iran).
Bahasa Kurdi termasuk dalam keluarga bahasa Indo-Eropah dan mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Farsi.
Agama
Kebanyakan mereka adalah penganut Sunni yang bermazhab Shafie. Saya tidak melihat perbezaan yang ketara dengan pengikut mazhab Hanafi dalam solat. Pada waktu Subuh, mereka tidak membaca doa qunut (mungkin kerana imam kerajaan bermazhab Hanafi). Namun, berdasarkan pengalaman saya bekerja dengan jururawat berbangsa Kurdi, apabila mereka bersedia untuk solat, mereka akan memakai sarung tangan getah kerana takut terbatal wuduk apabila menyentuh pesakit lelaki.
Terdapat juga pengikut ajaran Alevi. Saya tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai ajaran ini. Apa yang saya tahu, mereka solat tiga kali sehari, berpuasa selama 12 hari (bukan pada bulan Ramadan) dan merayakan Hari Asyura seperti penganut Syiah. Jika pengikut Alevi di sebelah barat mengikut ajaran Hacı Veli Bektaş, di sebelah timur yang kebanyakannya orang Kurdi, mereka mengikut ajaran Pir Abdal.
Saya pernah berbual dengan seorang penjaga gereja (mungkin juga seorang paderi) di Mardin. Beliau mengatakan pada hari kelahiran Nabi Isa, terdapat 3 orang bijaksana (wise men) dari timur yang berkunjung ke Bethlehem dan mereka digelar Magi, yang dipercayai berbangsa Kurdi. Mereka dikaitkan dengan kepercayaan Majusi yang juga dikenali sebagai Zoroaster.
Budaya
Setiap 21 Mac, mereka mengadakan perayaan budaya yang dipanggil Nevruz (bermaksud hari baru). Mereka meraikan kedatangan musim bunga dan pada tarikh tersebut kedudukan bumi adalah ekuinoks di mana bahagian Hemisfera Utara menghadap matahari. Musim bunga sangat bermakna bagi mereka setelah beberapa bulan menghadapi musim sejuk yang agak ekstrem sehinggakan terdapat ungkapan dalam bahasa Kurdi “Bihare pez, payize rez, zivistane ez u ez” (Musim bunga dia sibuk dengan ternakan, musim luruh dengan tanaman, musim sejuk cuma ada aku sebagai teman).
Dalam kalangan mereka masih terdapat yang mengamalkan sistem aşiret, yang mungkin serupa dengan kabilah dalam kalangan bangsa Arab. ‘Ayahanda’ (ketua) bagi setiap aşiret dikenali sebagai Ağa. Setahu saya, mereka akan bermesyuarat untuk sesetengah urusan seperti urusan tanah.
Politik
Isu politik adalah isu yang agak sensitif dan kebanyakan mereka tidak akan berbicara mengenainya dengan orang yang baru mereka kenal. Sama seperti orang lain, mereka meginginkan kehidupan yang aman dan stabil.
Di sesetengah kawasan di Turki, tidak digalakkan untuk menunjuk simbol “peace” (jari telunjuk yang tengah diangkat) dan lambang rock/serigala (jari telunjuk dan kelingking diangkat) yang mempunyai maksud politik dan kebangsaan.

Untuk melihat suasana di kawasan berkenaan, anda boleh cuba menonton filem “İki Dil Bir Bavul”.