Pasti ada yang tertanya apakah platform digital 'Pengembara Nomad' lakukan? Apakah maksud disebalik 'Pengembara Nomad' itu sendiri?
Sebelum saya menerangkan dengan lebih terperinci apakah tujuan platform digital 'Pengembara Nomad' dibina dan maksud disebalik 'Pengembara Nomad' itu sendiri, saya ingin menceritakan perjalanan bagaimana platform ini ditubuhkan.
Sebelum saya menemukan nama 'Pengembara Nomad' ini, pada sekitar bulan Ogos dan September 2023 nama asalnya adalah 'Malaysia Nomadic'. Ketika itu saya ingin meletakkan perkataan 'Malaysia' adalah kerana saya merupakan pengembara Malaysia dan berhasrat untuk mengumpulkan ahli-ahli pengembara yang berfokuskan kepada pengembara Malaysia, bersifat nomad atau mengembara secara jangka panjang. Akan tetapi, selepas saya melakukan beberapa pencarian di Google termasuk platform media sosial yang lain bagi mengesahkan bahawa tiada sesiapa yang menggunakan nama tersebut, saya dapati terdapat beberapa orang telah menggunakan nama tersebut walaupun nampak tidak sama tetapi boleh menimbulkan konflik pada masa hadapan. Oleh yang demikian, saya telah bertanyakan pendapat kepada orang yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran mengenai laman web dan juga jenama (branding), beliau telah menasihatkan saya supaya tidak menggunakan nama tersebut dan gantikan dengan nama yang baharu.
Selepas daripada itu, saya telah memperuntukkan masa dan hari saya untuk mencari idea untuk nama jenama dan logo yang bersifatkan identiti dan jiwa seorang pengembara dan meliputi pelbagai aspek. Hakikatnya tidak mudah seperti yang disangkakan. Saya mengambil berhari-hari lamanya untuk mencari nama yang sesuai. Saya telah menyenaraikan beberapa nama selepas melakukan 'brainstorming' dan saya meminta beberapa kenalan terdekat untuk membuat pemilihan nama daripada senarai nama yang saya berikan pada mereka.
Pada waktu itu, saya belum menemukan nama 'Pengembara Nomad'. Setelah kenalan terdekat saya telah membuat pemilihan daripada senarai yang saya berikan, jiwa saya masih tidak cenderung atau memilih nama tersebut walaupun nama itu telah mendapat undian majoriti. Saya memberikan masa dan peluang pada diri saya kali ketiga untuk mencari nama yang lain sehingga jiwa saya benar-benar memilih nama tersebut.
Sehinggalah pada suatu hari, saya telah menemukan ilham untuk meletakkan nama 'Pengembara Nomad' kerana dua perkataan tersebut adalah di dalam bahasa Melayu dan saya lihat semula disebalik nama 'Pengembara Nomad' ini boleh menjadi dua maksud. Iaitu pengembara yang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk meneroka dunia tetapi bukan dengan tujuan untuk menetap. Kedua, "Nomad" itu boleh menjadi maksud "Traveler" di dalam bahasa Inggeris, manakala "Pengembara" dikekalkan di dalam bahasa Melayu yang bermaksud individu yang meneroka dunia untuk mencari pengalaman.
Tidak hanya setakat itu, saya telah memutuskan untuk mencari dua pereka grafik untuk menghasilkan logo menggunakan nama 'Pengembara Nomad' untuk saya lihat bagaimana hasilnya apabila menggunakan nama 'Pengembara Nomad' ini. Saya meletakkan beberapa kriteria yang perlu ada pada logo tersebut dan selain itu saya serahkan kepada pereka grafik mengikut kreativiti mereka.
Selepas saya mendapat hasil logo daripada dua pereka grafik tersebut, akhirnya saya telah memutuskan untuk memilih nama 'Pengembara Nomad' ini dan ternyata ianya sangat bermakna dan sesuai dengan jiwa saya sebagai pengembara. Lebih-lebih lagi setelah saya melihat logo 'Pengembara Nomad' yang dihasilkan oleh tuan Azim di mana hasilnya sangat baik.
Jadi berbalik kepada soalan utama tadi, apakah platform 'Pengembara Nomad' ini dan apakah tujuan platform ini dibina? Jawapannya adalah:-
"Menyediakan peluang kepada ahli pengembara sebagai penulis bebas berkaitan penerokaan dan pengumpulan maklumat bergantung kepada sesebuah projek dan tugasan sama ada di dalam dan luar negara."
Visi dan tujuan saya untuk membina platform 'Pengembara Nomad' adalah untuk kebaikan pada masa hadapan khususnya pada yang bergelar pengembara. Dengan satu visi iaitu:-
"Menjadikan ‘Pengembara Nomad’ sebagai platform digital yang menghasilkan ahli-ahli pengembara yang berkualiti dalam meneroka dunia dengan mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman dan seterusnya menyumbang dan menambah nilai pada masyarakat dan negara."
Justeru, menurut perspektif saya sebagai pengembara, ianya secara tidak langsung, dapat meningkatkan dan memperluaskan lagi kerjaya sebagai nomad digital sebagai peluang pekerjaan, pendapatan dan sudah tentu untuk mendapatkan pengalaman dan kemahiran bagi pengembara meneruskan kelangsungan hidup yang makin mencabar di zaman moden ini yang terpaksa bersaing dengan mereka yang sudah memiliki peluang pekerjaan secara tetap sama ada sektor kerajaan mahupun swasta.
Pengembara sebaiknya perlu memiliki kemahiran survival yang tinggi kerana kebiasaan bagi seorang pengembara itu adalah pemikirannya berbeza dan sudah keluar dari 'sistem' yang telah ditetapkan pada hari ini dan sebelumnya. Malah, tanpa melihat dan meneroka dunia luar untuk melihat perspektif berbeza. Seharusnya tidak hanya melihat hitam dan putih, tetapi melihat sesuatu itu lebih berwarna-warni selagi mana tidak melanggar nilai moral dan etika.