Mengembara atau melancong, apa pun namanya, dilakukan atas tujuan tertentu, sama ada secara santai atau serius, bergantung kepada pelakunya. Berikut adalah beberapa perkara yang kita dapat daripada kegiatan mengembara dan melancong:
1. Melarikan Diri Sebentar daripada Rutin Harian
Setelah beratus-ratus atau beribu-ribu hari menghadapi rutin yang sama, kita pasti berasa bosan atau muak. Dengan mengembara ke negara lain, kita dapat melihat budaya, bahasa, masyarakat, suasana, dan pemandangan yang berbeza sebelum kembali kepada rutin harian dengan lebih bersemangat.
2. Mencari Ilham
Pada asalnya pengembaraan bermula tanpa tujuan yang jelas. Namun, setelah melalui perjalanan spiritual atau ideologi, seseorang pengembara mungkin mendapat ilham atau pemikiran baru dalam dirinya. Ini telah mengingatkan saya mengenai kisah pengembaraan seorang pelajar tahun akhir iaitu Ernesto Guevara ke Amerika Selatan telah yang mengubah pandangan hidupnya. Pengalamannya telah dicatat dalam diarinya, The Motorcycle Diaries dan ucapan beliau yang terkenal, The Revolutionary Medicine.
3. Melawat Tempat Tarikan Terkenal
Setiap negara mempunyai tempat tarikan tertentu yang menjadi destinasi utama bagi pelancong. Sebagai contoh, kota Mekah dan Madinah di Arab Saudi, Piramid di Mesir, pulau-pulau dan air terjun di Indonesia dan Thailand dan lain-lain. Kunjungan ke negara tersebut tidak lengkap tanpa melawat tempat-tempat seperti ini.
4. Mempelajari Budaya, Bahasa, dan Sejarah Masyarakat Tempatan
Bagi sesetengah pengembara, mereka tidak mempunyai rancangan yang jelas semasa melancong. Yang penting, mereka dapat ke negara tersebut, berinteraksi dengan penduduk tempatan, merasai makanan tradisional, dan cuba menggunakan bahasa atau dialek setempat. Pengalaman sebegini memberikan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan sejarah masyarakat tempatan.
5. Mencari atau Memulakan Kehidupan Baru
Ada juga yang mengembara dengan harapan untuk memulakan kehidupan baru. Selepas menjelajah sesebuah negara, seseorang mungkin terinspirasi untuk menjadi pemandu pelancong, memulakan perniagaan, bahkan ada juga ingin bekerja dan menetap di negara tersebut. Ada juga yang bertemu pasangan hidup semasa pengembaraan.
Pengalaman Peribadi Saya dalam Mengembara
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya dalam mengembara. Setakat ini, saya telah berkunjung ke lapan negara. Antaranya, Singapura, Arab Saudi, Jordan, Lubnan, Syria, Iran, Turki, dan Bulgaria. Selain beberapa negara yang saya transit adalah Thailand, Qatar, Oman dan Emiriah Arab Bersatu. Saya juga telah menjelajah 35 negeri di Turki. Berikut adalah catatan ringkas mengenai pengembaraan saya:
1. Singapura
Kali pertama saya ke Singapura adalah ketika saya merasa tertekan dengan pekerjaan. Saya merayau tanpa arah dan sempat tidur semalaman di Lapangan Terbang Changi sebelum pulang ke rumah. Kali kedua, saya ke sana untuk mendapatkan cop visa untuk isteri saya. Saya sempat merasai suasana negara yang paling maju di Asia Tenggara sebelum pulang pada hari yang sama.
2. Jordan
Jordan adalah tempat saya belajar selama enam tahun. Di sinilah bermulanya kehidupan pengembaraan saya. Dari Jordan, saya mula menjelajah ke Lubnan, Syria, dan juga Turki.
3. Syria
Saya tidak banyak tempat saya lawati sewaktu di Syria, hanya beberapa tempat bersejarah seperti di Damsyik, Halab, Hasakeh, dan Idlib. Ketika itu, saya kurang mengambil berat tentang sejarah. Namun, saya masih teringin untuk melawat Maloula untuk melihat masyarakat tempatan di sana yang menggunakan bahasa Aramaik.
4. Lubnan
Saya hanya bermalam sehari di Beirut. Saya sempat berjalan-jalan di sekitar pantai dan kawasan perumahan di sana. Saya juga melawat lokasi di mana Perdana Menteri Lubnan, Rafiq al-Hariri, dibunuh.
5. Iran
Saya menaiki penerbangan Air Asia terakhir antara Kuala Lumpur dan Tehran pada tahun 2012. Saya berpeluang menjelajah Tehran dan singgah di Qom sebelum meneruskan perjalanan ke Erzurum (Turki) melalui Tabriz.
6. Arab Saudi
Arab Saudi adalah negara luar pertama yang saya lawati. Kali pertama adalah ketika menunaikan umrah bersama keluarga pada usia 15 tahun. Kali kedua dan ketiga, saya menaiki bas dari Jordan bersama rakan-rakan universiti.
7. Bulgaria
Saya ke Bulgaria sekadar untuk mendapatkan cop visa di sempadan kerana permit menetap saya di Turki hampir tamat. Saya hanya melawat Sofia dan kawasan pinggir bandar. Saya juga sempat melawat masjid peninggalan Kerajaan Uthmaniyyah. Penduduk tempatannya agak dingin, mungkin kerana saya tidak memahami bahasa mereka.
8. Turki
Dari sekadar mengembara, akhirnya saya memulakan kehidupan di Turki bersama isteri dan anak. Masih banyak kawasan yang belum saya jelajahi dan budaya yang belum saya kenali di sini. Ini adalah catatan pengembaraan saya di sepanjang di Turki, klik di pautan di bawah untuk bacaan penuh: