top of page

5 Filem Inspirasi untuk Pengembara.

Writer's picture: Pengembara NomadPengembara Nomad

Hakikatnya, begitu banyak filem Barat berkaitan pengembaraan yang boleh ditonton. Namun, setelah melalui refleksi, ternyata mesej yang ingin disampaikan belum benar-benar meresap ke dalam jiwa saya walaupun ia adalah kisah benar dan diangkat sebagai sebuah filem yang sarat dengan inspirasi dan pengajaran selepas saya menontonnya. Saya tidak mengatakan saya tidak menonton filem-filem Barat, tetapi banyak yang perlu ditapis semula, lebih-lebih lagi kerana ideologi, pemikiran, persepsi, dan kepercayaan yang bertentangan dengan falsafah hidup sebagai seorang pengembara Muslim. Filem yang saya rekomendasikan ini mempunyai nilai-nilai baik dari sudut Islam yang boleh dipelajari dan ditonton oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dengan bimbingan ibu bapa. Filem-filem ini saya melihat dengan aspek yang menyeluruh dan terdapat nilai dan pengajarannya untuk pengembara.


Assalamualaikum Beijing (2014)


Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Asmara yang kecewa dengan tunangnya kerana berlaku curang dengan wanita lain. Asmara membawa diri ke Beijing untuk memulakan kehidupan baharu demi melupakan tunangnya dan menerima sebuah tawaran pekerjaan di sana. Sepanjang di Beijing, Asmara bertemu dengan seorang lelaki tempatan bernama Zhongwen yang baik hati. Zhongwen tertarik dengan Islam kerana perwatakan Asmara dan Zhongwen banyak mempelajari Islam melalui Asmara.


Hubungan mereka semakin rapat, tetapi diuji dengan kehadiran bekas tunang Asmara yang meminta peluang kedua, namun ditolak oleh Asmara. Ujian hidupnya bertambah berat apabila Asmara didiagnosis dengan penyakit yang membolehkan Asmara tidak dapat hidup dengan lebih lama. Asmara merasa bersalah terhadap Zhongwen kerana mengetahui keadaan kesihatannya, tetapi Zhongwen tetap menerima Asmara dengan ikhlas.


Filem ini mengingatkan saya tentang pengalaman sendiri ketika pernah patah hati dan membawa diri ke luar negara sebagai pemulaan hidup baharu. Asmara menjadi contoh seorang pengembara di negara asing yang menyebarkan Islam melalui akhlak yang baik yang secara tidak langsung menarik minat orang bukan Islam. Bagi saya dakwah itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan cukup menunjukkan teladan yang baik walaupun hanya dakwah yang kecil. Filem ini juga mengajar erti nilai cinta, persahabatan, ketabahan, dan keikhlasan untuk diaplikasikan dalam kehidupan sebagai seorang pengembara.


Bajrangi Bhaijaan (2015)


Filem ini mengisahkan seorang lelaki India yang bernama Pawan Kumar Chaturved yang memiliki hati yang mulia dan sangat beriman kepada Dewa Hanuman. Takdir telah menemukan beliau dengan seorang kanak-kanak perempuan bisu yang bernama Munni (Shahida) yang terpisah dengan ibunya di kuil. Pawan tidak mendapat maklumat yang tepat untuk menghantar kanak-kanak tersebut kepada keluarganya semula. Pawan dengan baik hatinya dan berniat ingin membantu Munni dengan berusaha untuk mendapatkan petunjuk daripada Munni. Setelah mendapat petunjuk, Pawan berusaha menghantar Munni pulang kepada keluarganya walaupun kemudiannya beliau mengetahui Munni berasal dari Pakistan dan beragama Islam. Pawan telah mendapat sokongan kuat daripada Rasika meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perbezaan agama, tentangan daripada bapa teman wanitanya dan juga hubungan negara yang tegang antara India dan Pakistan.


Dalam filem ini dapat dilihat bagaimana Pawan menangani situasi sukar kerana Munni adalah seorang Muslim dan bisu. Akan tetapi, Pawan menjalankan tanggungjawabnya atas dasar kemanusiaan. Hatinya yang tulus, Tuhan telah menghantar seorang jurnalis yang ingin membantu Pawan kerana niat baik Pawan untuk menghantar Munni kepada keluarganya dengan mencuba rentas sempadan secara haram. Dalam situasi ini juga dapat dilihat, Pawan yang bersifat lurus, bercakap jujur dan menyatakan hasrat baiknya demi menghantar Munni semula pulang ke Pakistan.


Nilai yang ada dalam diri Pawan perlu dipelajari kerana sejajar dengan Islam, termasuk kemanusiaan, kasih sayang, kejujuran, keberanian, dan persaudaraan (silaturrahim). Sebagai seorang pengembara Muslim, kita diajar untuk menghormati perbezaan budaya dan agama dalam menjalin hubungan baik dari sudut jangka pendek atau jangka panjang.


My Name is Khan (2010)


Filem yang sangat menyentuh hati. Saya telah menonton filem ini lebih daripada sepuluh kali kerana nilai dan pengajaran yang memberi kesan mendalam.


Filem ini mengisahkan tentang pengembaraan seorang lelaki Muslim India bernama Rizwan Khan yang menghidap sindrom Asperger ke Amerika Syarikat dan di dalam perjalanannya telah bertemu seorang wanita bernama, Mandira, seorang ibu tunggal yang beragama Hindu yang bekerja di kedai salun. Mandira memiliki seorang anak lelaki. Rizwan telah jatuh cinta terhadap Mandira dan menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mandira. Mereka memulakan hidup baharu. Mandira berpegang kepada agama Hindu kerana Rizwan faham bahawa ia bukanlah soal agama tetapi kebaikan terhadap manusia adalah segalanya.


Kehidupan mereka telah bertukar menjadi sebuah tragedi yang menyayat hati. Peristiwa 11 September mengubah segalanya apabila kebencian terhadap umat Islam meningkat. Rizwan diuji dengan kehilangan anak tirinya yang menjadi mangsa buli kerana prasangka buruk terhadap Islam. Anak Mandira ditakdirkan meninggal dunia selepas salah seorang rakan anaknya menendang bola dengan tendangan kuat lalu bola tersebut terkena pada dada anaknya. Selepas Mandira menerima berita tersebut, Mandira mengalami kesedihan yang berpanjangan dan tidak lama itu Mandira telah menunjukkan perubahan yang ketara. Mandira menyalahkan Rizwan dan meminta beliau keluar dari rumah.


Rizwan dengan rasa tanggungjawab dan cintanya terhadap Mandira, Rizwan telah melakukan sebuah pengembaraan yang panjang untuk bertemu Presiden Amerika bagi menyampaikan satu mesej penting iaitu, "My name is Khan and I am not a terrorist." Dalam pengembaraannya, Rizwan juga telah bertemu pelbagai orang daripada pelbagai latar belakang, membantu mereka tanpa mengira bangsa atau agama sewaktu situasi banjir buruk yang berlaku di kawasan lain di Amerika. Tindakan Rizwan ini untuk membuang kebencian dan salah faham masyarakat terhadap orang Islam dengan memberi pertolongan tanpa mengira agama dan bangsa. Terdapat babak yang lain di mana, terdapat komuniti orang Islam menyatakan rasa geram dan benci kerana mereka dihina oleh orang bukan Islam di sana. Mereka ingin membalas dendam tetapi Rizwan berasa marah dengan tindakan mereka.


Sebagai pengembara Muslim, filem ini memberikan pengajaran tentang keimanan dan cara membawa diri di dunia yang penuh dengan cabaran. Rizwan mengajarkan pentingnya menunjukkan keindahan Islam melalui perbuatan iaitu akhlak yang baik, bukan sekadar kata-kata Islamik. Selain itu, filem ini menekankan ketabahan dalam menghadapi ujian. Rizwan tidak pernah berputus asa walaupun mendapat hinaan dan cacian. Ini telah mengingatkan saya yang telah melalui pengalaman bagaimana agama saya disindir secara sinis. Pengembaraan bukan sekadar untuk berseronok dan menikmati kecantikan alam semulajadi sahaja tetapi menunjukkan teladan dan kemanusiaan dalam tempoh perjalanan.


Haji Backpacker (2014)


Filem ini wajib ditonton oleh pengembara Muslim kerana sarat dengan mesej kerohanian (spiritual). Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.


Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Mada yang berasa kecewa kepada Tuhan kerana hidupnya sentiasa diuji satu persatu pelbagai masalah dengan kematian ibunya, konflik dengan ayahnya dan juga wanita yang dicintainya lari semasa majlis akad nikah. Akhirnya, beliau telah memilih jalan yang gelap dan meninggalkan ajaran agama. Mada mempersoalkan selama dia hidup dengan mendirikan solat, berdoa kepada Tuhan tetapi permintaannya tidak pernah dijawab oleh Tuhan. Mada telah membawa diri ke Thailand untuk mengubati kekecewaannya.


Sehinggalah pada suatu hari, Mada bermimpi melihat ayahnya memakai ihram sambil memberi nasihat kepadanya sehingga membuatkan Mada tersedar dari tidur. Tidak lama selepas itu, kakaknya datang berkunjung ke negara tempat Mada berada dan menyampaikan khabar duka bahawa ayah mereka telah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji. Jenazah ayahnya telah dikebumikan di bumi Mekah. Khabar tersebut menambahkan lagi rasa kecewa, sedih, dan bersalah dalam jiwa Mada yang semakin berkecamuk.


Tidak hanya diuji dengan itu sahaja, Marbel, kekasih gelap Mada, bergegas menemui Mada untuk memberitahu bahawa sekumpulan gangster sedang mencarinya bagi membalas dendam atas kematian salah seorang anggota kumpulan mereka. Walau bagaimanapun, Mada menafikan tuduhan tersebut. Kakaknya merayu agar Mada pulang ke Indonesia, namun Mada tetap menolak.


Mada telah membuat keputusan untuk meneruskan perjalanannya seorang diri ke Vietnam bagi menyelamatkan dirinya. Sewaktu tidur di perhentian bas, Mada mendapati wangnya telah dicuri oleh penduduk tempatan. Dalam situasi terdesak, Mada terpaksa menukar jam tangannya sebagai bayaran untuk makanan, tidur di jalanan, dan mencari pekerjaan sebagai pekerja kontrak demi mendapatkan wang. Mada diuji jatuh sakit sewaktu dalam perjalanan. Dengan kasih sayang Allah, Mada bertemu dengan insan-insan yang baik hati sepanjang perjalanannya walaupun dirinya diuji dengan pelbagai cabaran.


Perjalanan Mada menjadi semakin rumit apabila pada suatu hari, beliau tersedar di tempat yang asing. Mada telah diselamatkan oleh sebuah keluarga Islam di sebuah perkampungan kecil di Yunnan, China. Sepanjang berada di sana, Mada diperlihatkan keindahan Islam melalui layanan baik daripada sebuah keluarga dan komuniti di kampung itu. Pengalaman itu membuatkan Mada terfikir dan bermuhasabah diri. Dalam usaha mencari ketenangan, Mada memutuskan untuk terus mengembara. Sebuah buku yang penuh dengan kata-kata hikmah menjadi inspirasi untuk Mada meneruskan perjalanan yang telah diberikan oleh keluarga yang banyak membantu beliau yang akhirnya membawanya ke sembilan buah negara.


Sewaktu berada di Iran, Mada berdepan dengan pengalaman mendebarkan apabila ditahan oleh sekumpulan lelaki bersenjata. Lelaki-lelaki tersebut memaksa Mada menjelaskan tujuannya datang ke negara itu. Dalam suasana tegang, mereka meminta Mada membaca Al-Quran sebagai bukti dirinya seorang Muslim. Namun, detik yang mendebarkan itu bertukar menjadi pengalaman yang manis apabila lelaki tersebut memberikan layanan baik dan membantu Mada meneruskan perjalanan menuju Mekah dengan menaiki bot.


Setibanya di Mekah, Mada segera mengunjungi sebuah perkuburan untuk memohon keampunan daripada ayahnya. Di tanah suci itu juga, Mada membuat keputusan untuk menunaikan haji. Dengan kasih sayang Allah, Mada akhirnya mendapat pekerjaan di Mekah.


Saya dapat melihat bahawa Mada sebenarnya seorang lelaki yang baik. Perubahan yang berlaku pada dirinya kerana ujian hebat yang dihadapi. Kekecewaan dan kepenatan akibat ujian yang dihadapinya itu membuatkan beliau tersasar. Namun, dengan kasih sayang Allah, Mada dipertemukan dengan insan-insan yang baik sepanjang pengembaraannya untuk mempelajari sesuatu yang berharga.


Pengembaraan merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam perjalanannya, Mada menemui kebaikan, kesabaran, dan kebesaran Allah melalui insan-insan yang ditemuinya serta pengalaman yang dilaluinya. Peluang untuk kembali kepada Allah walau sejauh mana kita tersesat. Mada membuktikan bahawa pintu taubat sentiasa terbuka dan perjalanan hidupnya menjadi bertambah baik.


3 Idiots (2009)


Filem ini merupakan filem komedi yang mengisahkan tiga orang sahabat iaitu Rancho, Farhan, dan Raju yang merupakan pelajar kejuruteraan di sebuah universiti terkenal di India. Rancho, seorang yang genius dengan pemikiran di luar kotak dan menyindir sistem pendidikan yang lebih menekankan hafalan berbanding pendekatan yang mendorong penerokaan ilmu serta keberanian menghadapi kegagalan. Pendidikan hari ini terlalu memfokuskan kepada pemarkahan tanpa mengutamakan nilai-nilai yang lebih menyeluruh. Akibatnya, ramai antara kita berasa takut kepada kegagalan sehingga mencetuskan kemurungan dan sabotaj diri. Filem ini memaparkan cara untuk mengatasi ketakutan dalam hidup.


Filem ini telah mengubah perspektif saya dan mendorong saya memilih jalan hidup yang berbeza daripada kebiasaan orang lain, iaitu tidak hanya sekadar membaca buku tetapi juga meneroka dan belajar melalui pengalaman. Sikap Rancho yang fleksibel serta sentiasa menyokong minat dan impian sahabatnya, Farhan dan Raju, memberi inspirasi mendalam kepada Farhan. Hal ini menyebabkan Farhan berasa ingin mengenali siapakah Rancho yang sebenar kerana telah mengubah perspektif terhadap diri dan kehidupannya.


Daripada kisah ini, saya menyedari kepentingan keseimbangan dalam kehidupan. Walaupun Rancho seorang yang genius, beliau tetap memiliki nilai-nilai lain seperti percintaan, persahabatan, dan kemanusiaan. Pada pandangan saya, ini adalah elemen kehidupan yang sepatutnya wujud dalam diri setiap individu agar kehidupan kita lebih seimbang dan bermakna.


Di pertengahan cerita, selepas Rancho berjaya menyelamatkan kakak kepada teman wanitanya yang bersalin dalam situasi genting ketika berlaku blackout, serta mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, beliau tiba-tiba menghilang selepas tamat pengajian. Beberapa tahun kemudian, Farhan dan Raju memulakan pengembaraan penuh misteri untuk mencari Rancho yang telah membawa perubahan besar dalam hidup mereka.


Filem ini bukan sekadar komedi ringan tetapi turut menyampaikan mesej mendalam tentang persahabatan, keberanian mengejar impian, serta kepentingan menikmati proses pembelajaran. Sebagai seorang pengembara Muslim, filem ini juga mengingatkan kita tentang kepentingan menyebarkan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang kita temui dalam perjalanan hidup ini.


Oleh itu, hanya lima filem setakat ini yang memberi inspirasi untuk ditonton setelah saya menilai dengan lebih menyeluruh dan memberi kesan mendalam kepada mereka yang memahami mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini.

 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page